Monday, December 7, 2009

Prism perjelas isu royalti Mawi


TIGA wakil Prism (dari kiri) Zailan Abd. Razak, Gopalkrishnan S. Annamalai dan
M. Daud Wahid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MASIH banyak pihak termasuklah karyawan muzik seperti penyanyi dan pemuzik yang belum faham sepenuhnya fungsi syarikat pengutip hak royalti persembahan artis, Prism Sdn. Bhd. (Prism) dalam usaha mereka mengutip serta mengagih-agihkan pendapatan kepada ahli-ahlinya.

Sebab itu, baru-baru ini apabila penyanyi Mawi dan Dayang Nurfaizah dikatakan hanya menerima royalti sekitar RM320 setahun daripada Prism, ramai yang terperanjat dan mempersoalkan fungsi syarikat tersebut yang berdaftar dan terikat di bawah Akta Syarikat 1965.

Bagi menjelaskan perkara itu, tiga wakil Prism termasuklah Ahli-Ahli Lembaga Pengarahnya tampil mengemukakan bukti-bukti dan mekanisme syarikat itu mengagih-agihkan hasil kutipan tahunan royalti kepada ahli-ahlinya sejak ia beroperasi pada tahun 2003.

Menurut salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Prism, Zailan Abd. Razak, setiap ahli Prism harus mendaftarkan lagu-lagu mereka sebelum ia dikira berdasarkan penyiarannya termasuklah menerusi radio, televisyen dan juga tempat-tempat umum yang lain setiap setahun sekali.

"Dalam isu royalti Mawi, penyanyi itu hanya mendaftarkan 12 hingga 18 lagu-lagunya sahaja yang dilakukan oleh pengurusnya pada 2006.

"Pembayaran telah dilakukan pada tahun berikutnya iaitu 2007. Secara purata kami membayar kadar pukul rata sekitar RM300 hingga RM360 setahun kepada ahli-ahli Prism termasuklah Mawi dan jumlah berubah ikut keadaan.

"Selain itu, pembayaran royalti Prism juga dikira untuk penyanyi iaitu sebanyak RM6.58 sen untuk setiap lagu. Kalau daripada jumlah lagu Mawi sebanyak 18 lagu itu didarab dengan RM6.58 jumlahnya RM118.44 sen. Bukan setakat penyanyi, pelaku lagu itu seperti pemuzik yang menjayakannya juga dibayar royalti," jelasnya.

Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang akhbar Prism untuk wakil-wakil media massa di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, jumlah pungutan royalti dan kadar bayaran yang diagih-agihkan kepada ahli-ahli Prism sentiasa berubah mengikut jumlah lagu dan ahli yang didaftarkan di bawah syarikat itu.

Mempengaruhi bayaran

Bilangan karyawan atau pelaku dalam sesebuah lagu dan jumlah bayaran yang mereka kutip atau terima daripada pihak-pihak terbabit juga mempengaruhi jumlah bayaran sesuatu royalti untuk ahli-ahlinya.

Sambil memberi contoh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang hanya dipertanggungjawabkan mengutip royaliti lagu buat para komposer dan penulis lirik yang bernaung di bawah badan tersebut, berbanding Prism yang membabitkan lebih ramai pelaku.

"MACP hanya bayar royalti kepada komposer dan penulis lirik sahaja, sedangkan Prism membayar royalti untuk diagih-agihkan kepada semua pelaku iaitu pemuzik yang terbabit dalam rakaman lagu-lagu terbabit.

"Lagi ramai ahli yang terbabit dalam pembayaran royalti, maka lagi sedikit bayaran yang akan diagih-agihkan secara sama rata. Misalnya pada tahun 2004, Prism mempunyai 250 ahli berdaftar di mana kami membayar royalti secara pukul rata sebanyak RM360. Pada 2005 kami membayar RM300 apabila ahli yang mendaftar pada tahun itu seramai 490," ujarnya.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah dua lagi Ahli Lembaga Pengarah Prism iaitu Datuk M. Daud yang juga merupakan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita) dan Gopalkrishnan S. Annamalai yang mewakili Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (IRIM).

Zailan, M. Daud dan Gopalkrishnan yang merupakan tiga daripada tujuh Ahli Lembaga Pengarah Prism turut menjelaskan, bilangan ahli dan bayaran royalti yang diterima ahli-ahli Prism juga sentiasa berubah-ubah mengikut koleksi lagu-lagu mereka yang didaftarkan di bawah syarikat itu.

"Sebenarnya bayaran royalti penyanyi lebih banyak kerana mereka orang penting dalam sesebuah lagu, berbanding pelaku lain seperti pemuzik yang hanya menerima RM2.72 sen bagi setiap lagu yang didaftarkan," katanya.

Sementara itu, M. Daud Wahid pula menambah bayaran royalti yang rendah dan sentiasa berubah-ubah itu turut dipengaruhi oleh agihan bayaran yang diterima oleh Prism daripada pihak-pihak yang telah menggunakan karya ahli-ahlinya.

Beliau memberi contoh, setakat ini hanya Radio Televisyen Malaysia ( RTM) sahaja badan penyiaran di negara ini yang membayar royalti untuk diagih-agihkan kepada para pemegang hakcipta dan pelaku dalam penerbitan sesebuah lagu yang mereka gunakan.

"Setiap tahun RTM membayar sekitar RM1 juta sebagai royalti lagu-lagu yang mereka siarkan di stesen-stesen penyiaran itu. Sedangkan stesen-stesen penyiaran lain seperti Media Prima Berhad dan Astro tidak berbuat demikian.

"Malah, daripada RM1 juta bayaran royalti yang dibayar oleh RTM itu ia juga terpaksa dibahagi-bahagikan kepada MACP, Prism dan PPM (Pelaku Persembahan Muzik Awam). Daripada jumlah itu, Prism hanya menerima sekitar 18 peratus atau RM180,000.

"Walau bagaimanapun, kami juga mengutip royalti ahli-ahli kami yang telah digunakan daripada pihak-pihak lain bagi menambahkan lagi kutipan mereka. Untuk kutipan bagi tahun 2008 Prism akan mengagih-agihkan kepada ahli-ahlinya sebelum penghujung Disember ini," terangnya.

Sebagai rekod katanya, pada 2007 Prism berjaya mengutip royalti sebanyak RM611,104,09 sen dan 2006 sebanyak RM373,419,46 sen di mana ia telah diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya yang sentiasa berubah-ubah bilangannya.

Pada sidang akhbar itu, Prism turut memberikan statistik bilangan ahli-ahlinya kini seramai kira-kira 863 orang, di mana 655 daripada ahli-ahli yang aktif manakala 208 sudah tidak aktif.

"Pada masa sama, ramai ahli-ahli Prism bukan sahaja tidak faham cara-cara bayaran royalti mereka dikira dan diagih-agihkan, tetapi setakat ini masih ada 185 cek bayaran royalti yang belum dituntut di pejabat Prism. Ahli-ahli Prism yang kurang faham tentang isu ini boleh datang dan berhubung terus dengan kami," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: