Monday, December 7, 2009

Dua konsert Jamal tahun depan


JAMAL ABDILLAH (dua dari kanan) turut membantu petugas melapah lembu pada majlis korban di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KEJAYAAN konsert Jamal… Kembara Seniman yang berlangsung selama lima hari di Istana Budaya, awal Ogos lalu telah membuka mata pelbagai pihak bahawa figura bervokal mantap yang telah tiga dekad mengabdikan diri di lembah seni itu masih lagi diminati.

Pernah tenggelam dengan sejarah hitam hidupnya, ternyata kehadiran pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu masih diterima ramai.

Kerana apa? Tentu sahaja kerana kebolehannya melantunkan keunikan vokal yang sehingga kini belum ada galang gantinya.

Ditemui pada majlis korban anjuran Persatuan Pengasih Malaysia di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur baru-baru ini, anak seni kelahiran Teluk Intan, Perak itu memberitahu, tekadnya kini selain terus memperbaiki kehidupan ialah mengembangkan sayap seninya ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk itu, kata penyanyi yang kini menjangkau usia 50 tahun itu, dia merancang untuk mengadakan dua konsert terbesarnya tahun depan.

Apa yang menarik, konsert yang dijangka berlangsung Mac tahun depan adalah yang julung kalinya diadakan di Singapura.

Tidak cukup dengan itu, September pula, Jamal sekali lagi merancang berkampung di Istana Budaya, Kuala Lumpur (IB) membawakan konsert yang berskala lebih besar daripada Jamal… Kembara Seniman.

Berbicara lanjut mengenai perancangan seninya itu, kata Jamal, kali ini dia lebih fokus kepada aktiviti nyanyiannya.

Selain itu, dia juga merancang untuk menyanyikan lagu-lagu daripada albumnya yang sebelum ini belum pernah atau jarang dipersembahkan dalam mana-mana persembahan pentasnya.

"Saya bersyukur kerana hasrat untuk melebarkan sayap ke luar negara hampir terlaksana. Saya bakal mengadakan konsert di Singapura, sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini.

"Apa yang sedang saya usahakan kini ialah mencari konsep serta corak penyampaian yang bakal diadakan.

"Sementara bagi konsert di IB pula, saya akan buat yang lebih besar daripada konsert Jamal… Kembara seniman.

"Perbezaan paling ketara ialah kali ini tiada lagi segmen teater muzikal, malah ia akan lebih fokus kepada nyanyian sahaja," Jamal rancak berkongsi idea yang sedang diusahakannya.

Menurut Jamal, dua konsert tersebut bakal dibahagikan kepada dua segmen iaitu segmen lagu-lagu daripada album yang belum pernah dinyanyikan di mana-mana persembahan pentasnya sebelum ini.

Sementara satu lagi segmen yang bermain di fikirannya ialah nyanyian lagu bintang-bintang legenda seperti Tan Sri P. Ramlee, S. Effendi dan Ismail Haron.

"Saya tahu dengan membawakan lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi lama membuatkan peminat akan lebih teruja untuk datang menyaksikannya.

"Manakala lagu-lagu daripada album saya pula sememangnya semuanya bagus tetapi sayang lagu-lagu tersebut tidak sepopular lagu-lagu hit saya yang lain," kata Jamal lagi.

Beli rumah di Shah Alam

Melihat kepada personalitinya hari ini, ayah kepada dua anak, Osama Yamani, 8, dan Ahmad Zaki, 3, itu ternyata semakin selesa dengan kehidupan yang dilaluinya kini.

Bukan sahaja terlibat dengan aktiviti seni, malah dia kini terlibat dengan aktiviti sosial anjuran pelbagai pihak dan juga mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

"Paling ketara kehidupan saya kini ialah semakin tenang dan lebih menghargai kehidupan.

"Azam saya akan datang adalah untuk menjadi seseorang yang lebih baik daripada hari ini dan menjadi contoh pada orang lain untuk turut melakukan perubahan dalam diri," kata Jamal lagi.

Empat tahun lalu, Jamal pernah mengeluarkan kenyataan untuk menyambung menghuni di Pengasih untuk tempoh dua tahun lagi demi memperbaiki diri kerana bimbang terhadap pengaruh yang bakal dihadapinya di luar sana.

Namun, dalam diam rupa-rupanya pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini dalam perancangan membeli sebuah rumah di Shah Alam, Selangor.

"Sudah beli rumah nanti barulah saya boleh berkahwin," katanya sambil berseloroh.

Diajak berbicara tentang peniagaan, kata Jamal bersama syarikat Bukit Merah Aquaculture (BMA), dia bertindak sebagai pelabur untuk projek pengusahaan ikan Arwana untuk tujuan eksport.

"Saya melabur untuk projek ini hampir enam bulan lalu. Saya hanya sebagai pelabur, dari segi sistem kepakaran adalah daripada pihak BMA sendiri.

"Permintaan setakat ini memang baik di mana setakat ini kami telah pasarkan ke beberapa negara Asia termasuk China, Taiwan, Dubai dan akan datang ialah Vietnam.

"Saya melihat ini sebagai satu perniagaan yang menguntungkan, kalau masih ingat dahulu saya pernah memiliki sebuah kedai binatang peliharaan. Jadi untuk projek ini saya fikir kenapa tidak saya laburkan untuk sesuatu yang menguntungkan dan saya minati," katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini, Jamal turut melaksanakan ibadat korban dengan menumbangkan seekor lembu.

Ia merupakan korban kedua yang dilakukannya selepas kali pertama yang juga dilakukan di Pengasih tahun lalu.

"Saya lakukan ibadah secara ikhlas dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberi peluang untuk melakukan ibadah korban seperti orang lain.

"Berkumpul beramai-ramai dalam melakukan ibadah seperti ini adalah sesuatu yang sihat bagi saya," kata Jamal lagi.

Selain dihadiri oleh seramai 150 penghuni Pengasih termasuk Presiden Pengasih, Mohd. Yunus Pathi dan anggota keluarga, Jamal turut menjemput 40 anak yatim daripada Sekolah Asrama Baitus Sharifah Al-Jamalullail, Bandar Country Home, Rawang untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: