Wednesday, December 2, 2009

Berakhirnya era PKM

Selepas ‘berjuang’ selama kira-kira 20 tahun, PKM melalui Jawatakuasa Pusatnya akur untuk berdamai dan meletak senjata pada 2 Disember 1989 hasil Rundingan Hatyai.




ISU kepulangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua ke tanah air timbul semula baru-baru ini. Kali ini dengan nada berbeza apabila beliau membuat kenyataan terbuka memohon maaf atas kesilapan masa lampau.

Malah dalam temu bual yang diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan baru-baru ini, Chin Peng dipetik berkata apa yang berlaku semasa darurat adalah korban perang. Bagi segelintir generasi muda, darurat ada kaitan dengan sejarah generasi Malaysia era 1940-an yang berjuang membebaskan negara ini daripada penjajah kolonial.

Gagalnya Rundingan Baling 1955 dan tekanan daripada kejayaan operasi bersenjata pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu yang dibantu tentera British dan negara-negara Komanwel memaksa PKM berundur ke selatan Thailand.

Di sinilah, bermulanya satu persoalan besar kepada Chin Peng. Jika benar pemberontakan pertama kerana ingin memerdekakan Tanah Melayu, soalnya mengapa perlu ada pemberontakan kedua ketika negara telah merdeka dan diperintah oleh pemimpin pilihan rakyat?

Apa yang ketara (baik dalam media cetak atau elektronik), apabila bercerita tentang ancaman PKM, jarang sekali insurgensi dikisahkan secara terperinci. Walhal, insurgensi merupakan satu-satunya penentangan bersenjata yang berjaya memerangi komunis dalam mana-mana konflik di dunia, termasuk Perang Vietnam.

Mudah sahaja untuk memahami strategi perang Chin Peng yang mengimpikan penubuhan Republik Komunis Malaya sehingga menimbulkan ketegangan. Beliau yang mengakui menyanjung pengasas Bapa China Moden, Mao Tze Dung dilihat ingin menggunakan idea yang sama iaitu kejayaan taktikal Long March Mao semasa berundur dari asakan tentera nasionalis.

Gerakan bersenjata PKM disusun semula pada tahun 1958 dengan anggaran saki-baki kira-kira 600 gerila. Di sini, (selatan Thailand), Jawatankuasa Pusat PKM telah menubuhkan tiga rejimen tentera yang baru sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan kekuatannya.

Rejimen ke-8 diwujudkan di kawasan Sadao, Rejimen ke-10 (Weng) dan Rejimen ke-12 (Betong). Dalam jangka masa lapan tahun semasa bersembunyi di selatan Thailand (1960 - 1968), PKM berjaya melakukan proses pemulihan kekuatan sebagai persediaan kembali semula ke Semenanjung Malaysia.




Kebangkitan semula 1968

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Jawatankuasa Pusat PKM mengeluarkan kenyataan penting menyeru orang ramai bertindak untuk melaksanakan apa yang dipanggil sebagai 'peperangan rakyat' serta menyertai Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLA). Kenyataan itu merupakan langkah pertama PKM menuju ke fasa bersenjata dan menyusup ke Semenanjung Malaysia.

Kegiatan penyusupan dan atur gerak Unit-unit Penggempur PKM ke Semenanjung Malaysia telah dilakukan mengikut perancangan. Sejak bulan Jun 1969, ia digerakkan mengikut arahan yang dikeluarkan berdasarkan fasa-fasa berikut:

* Fasa I (1969-1973): Dalam tempoh ini, PKM telah menubuhkan Unit Penggempur Ke-5, Ke-8 dan Ke-12 yang diatur gerak di Kedah, Hulu Perak dan Hulu Kelantan di mana kawasan itu dipilih sebagai tapak bagi penyusupan seterusnya.

* Fasa II (1973-1975): Tempoh ini dilancarkan selepas kejayaan Fasa I untuk menubuhkan pangkalan tetap di Gua Musang (melibatkan Unit Penggempur Ke-16) dan Pahang Barat (Unit Penggempur Ke-6).

* Fasa III (1975-1977): Meluaskan kawasan operasi Unit Penggempur Ke-6 sehingga ke timur laut Selangor dan utara Negeri Sembilan. Ini kemudiannya diperluaskan lagi sehingga ke arah timur sempadan Kelantan/Terengganu/Pahang.

Bagaimanapun, insiden berdarah iaitu serang hendap ke atas konvoi platun 11, Kompeni C dari Batalion Pertama Pasukan Polis Hutan (PPH) pada 17 Jun 1968 menjadi titik penting dalam kebangkitan PKM. Dalam serang hendap di Keroh, dekat Hulu Perak itu seramai 17 anggota polis terkorban manakala ramai yang lain cedera parah.


TENTERA Malaysia dan Thailand menemui kem komunis di Waeng, Thailand dalam satu operasi tentera yang dijalankan.


Penyusupan

Pada awal 1970-an, satu penyusupan serentak telah dilakukan ke negeri Kedah dan Perak melalui arahan Jawatankuasa Pusat PKM melibatkan dua kumpulan kader gerila yang baru tamat latihan di Betong, selatan Thailand. Kumpulan ini membina pangkalan di Gunung Inas/kompleks Gunung Bintang dan di Perak sebelum bergerak ke Sungai Siput.

Gerakan ini kemudian diikuti lain-lain kumpulan penyusupan PKM yang bertindak menubuhkan unit penggempur di Kedah (Unit Penggempur Ke-8), Perak (Unit Penggempur Ke-5), Hulu Perak (Unit PKM Orang Asli), Kelantan (Unit Penggempur Bebas) dan Pahang (Unit Penggempur Ke-6).

Pelaksanaan arahan ini disifatkan satu kejayaan besar PKM walaupun langkah-langkah mengekang penyusupan itu telah dilakukan oleh pasukan keselamatan. Kejayaan PKM berdasarkan beberapa faktor, antaranya keupayaan PKM menguasai jalan-jalan penyusupan di empat paksi utama iaitu Paksi Timur (ke Kelantan), Pertengahan Timur (Hulu Perak, Hulu Kelantan), Pertengahan Barat (ke Perak) dan Barat (ke Kedah).


KEKACAUAN yang dicetuskan oleh PKM memusnahkan banyak kampung.


PKM juga berjaya menubuhkan elemen bawah tanah dikenali sebagai Barisan Bersatu Komunis (BBK) yang diistilahkan sebagai penyambung dan pengembang kepada pasukan bersenjata. BBK menyusup pengaruh ke dalam kesatuan sekerja, pertubuhan belia dan pelajar serta pertubuhan siasah untuk mempengaruhi rakyat menerima fahaman komunis.

BBK turut bertanggungjawab menanam kefahaman mengenai perjuangan PKM bagi tujuan mendapatkan rekrut baru.

Berikutnya adalah penyelarasan segala bentuk persiapan dan kegiatan militan. Ini adalah tugas unit-unit kecil yang menyediakan tempat simpanan makanan (food dump), membekalkan maklumat risikan pasukan keselamatan dan menubuhkan pangkalan gerakan, melakukan pengkhianatan serta membunuh pemimpin tertinggi pasukan keselamatan.


PERJANJIAN yang membawa kepada peletakan senjata oleh PKM pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.


Seterusnya adalah kegiatan militan yang dilaksanakan oleh unit-unit penggempur di pedalaman Semenanjung Malaysia

Pada awal tahun 1980-an, corak kegiatan PKM berubah daripada bergerak aktif di dalam aktiviti militan kepada menumpukan kegiatan sosiopolitik dan hubungan massa. Strategi itu dilakukan antaranya melalui penubuhan sel-sel di dalam semua organisasi sosial, politik dan swasta untuk mempengaruhi badan-badan tersebut.

Pertubuhan anasir-anasir pengganas yang sedia ada juga diperluaskan untuk aktif di dalam masyarakat, dan akhir sekali mempertingkat kegiatan bawah tanah dengan mengukuhkan infrastruktur logistik, kewangan, senjata dan sumber tenaga manusia.

Perjalanan konflik

Keanggotaan PKM dalam kebangkitan kali ini terbahagi dua iaitu gerila bersenjata yang bergerak di hutan belantara dan kedua, anggota BBK. Kedua-dua kumpulan ini menerima latihan ketenteraan di selatan Thai setelah direkrut sebelum diserapkan sama ada untuk peranan tempur atau untuk kegiatan subversif bawah tanah di bandar-bandar.

Ketika kedua-duanya bergerak di bandar-bandar dan pekan kecil di seluruh Semenanjung Malaysia, unit-unit penggempur PKM pula bergerak dari utara Semenanjung ke Pahang dan Negeri Sembilan.

Nama-nama kawasan seperti Grik, Lenggong/Air Kala, Sungai Siput, Gopeng, dan Slim River di Perak; Kulim, Karangan dan Gunung Inas di Kedah; Batu Melintang, Lubuk Bongor, Gua Musang dan Pulai di Kelantan; serta Kuala Lipis, Raub, Bentong dan Karak di Pahang cukup digeruni semasa insurgensi.

Bentuk kegiatan militan yang dilakukan PKM tidak banyak berbeza seperti semasa darurat. Antaranya serang hendap ke atas pasukan keselamatan, sabotaj ke atas projek pembangunan (misalnya projek pembinaan Lebuh Raya Timur Barat) dan memusnahkan harta benda.

Selain itu, PKM turut bertindak menyerang pangkalan pasukan keselamatan antaranya serangan bom di Markas Briged Tengah PPH, pengeboman Tugu Negara dan serangan roket ke atas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur pada tahun 1974 yang merosakkan sebuah pesawat pengangkut Caribou.

Walaupun lebih berani, namun gerila-gerila PKM sedaya-upaya mengelak daripada bertempur secara bersemuka dengan pasukan keselamatan. Untuk melarikan diri dengan cepat dan sukar dikesan, mereka menggunakan terowong rahsia yang dibina dari markas di selatan Thai hingga ke beberapa kawasan di utara Semenanjung.

Insurgensi juga menyaksikan penggunaan senjata baru oleh gerila PKM iaitu jerangkap samar letupan dan ranjau buluh runcing. Ia bertujuan melambatkan pergerakan pihak tentera dan melemahkan semangat mereka.

Ramai anggota pasukan keselamatan yang maut dan cedera akibat terpijak jerangkap samar.

PKM juga melalui skuad bergerak telah membunuh Ketua Polis Negara ke-3, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975.

Percubaan mereka untuk membunuh Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail bagaimanapun gagal. Dalam tempoh itu, keadaan keselamatan negara begitu tegang apabila PKM mengisytiharkan tahun 1975 sebagai 'Tahun Bertempur'.

Ini dipengaruhi semangat PKM yang disuntik oleh kemenangan pihak komunis dalam Perang Vietnam dan jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Selepas 'berjuang' selama kira-kira 20 tahun, PKM melalui Jawatakuasa Pusatnya akur untuk berdamai dan meletak senjata pada 2 Disember 1989 hasil Rundingan Hatyai.

Kegagalan PKM untuk menarik sokongan majoriti Melayu diakui pengkaji penyebab utama kegagalan perjuangannya.

Biarpun sebilangan besar gerila PKM dan penyokongnya berketurunan Cina, bagaimanapun ia tidak dapat dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili suara ramai. Realitinya, selepas 20 tahun berdamai, 'luka' konflik bersenjata ini masih merah berdarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: