|
|
SELEPAS berjaya menambat hati peminat dengan lagu hit mereka, Janjiku menerusi album kedua mereka, Janjiku yang diterbitkan sekitar September 2006, kini kumpulan Sofaz kembali memancing perhatian peminat menerusi album terbaru mereka, The Best Of Sofaz.
Memuatkan 14 buah lagu, apa yang menarik, dua daripadanya merupakan single terbaru mereka yang kini hangat diputarkan di corong-corong radio iaitu Hingga Hujung Pernafasan Langitku serta Kamu Dan Dirinya.
Ini merupakan album keempat Sofaz yang telah pun menjengah ke pasaran sejak pertengahan Julai lalu. Selain Janjiku, dua lagi album mereka ialah Cintai Aku (Jun, 2004) dan Kepantasanku (Disember 2008).
Dianggotai oleh enam anak muda, mereka terdiri daripada Aremeer (Amir Mahayidin), Zimi (Zarimi Zahari), Rodie (Rodie Jamun), Fairouz (Ahmad Fairouz Mohamad), Shah (Wan Shah Baharin Niktah) dan One (Wan Shah Baharom Niktah).
Apa yang nyata, kumpulan itu kini sedang rancak dalam mengadakan sesi jelajah mempromosikan album terbaru mereka itu.
"Kami telah pun memulakan sesi mempromosikan album kami pada pertengahan November lalu di sekitar ibu negara dan kami bakal sibuk mengadakan promosi di beberapa tempat sekitar semenanjung sehingga pertengahan Disember ini," kata Aremeer mewakili rakan-rakannya.
Kumpulan tersebut bakal ke Semenyih dan Sungai Besar, Kuala Selangor pada 3 dan 4 Disember ini, Bukit Jalil (5 dan 6 Disember) manakala pada 12 Disember pula, Sofaz bakal menemui peminat mereka di Muar, Johor.
Dalam sibuk merencanakan pelbagai promosi untuk album tersebut, mengambil pengalaman lalu, rupa-rupanya Sofaz tidak mahu lagi 'sepi' daripada sebarang produk terbaru.
Dalam diam mereka kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam album terbaru mereka yang dijangka menemui peminat pada pertengahan tahun depan.
Menariknya, kata Zimi, album yang bakal memuatkan 20 buah lagu itu mengandungi sebanyak tujuh buah lagu ciptaan mereka.
Menggabungkan lagu-lagu baru dan lagu-lagu hit yang pernah menjulang nama Sofaz sejak enam tahun lalu, secara tidak langsung memberi kepuasan kepada peminat untuk memiliki album tersebut.
Ia juga sebagai hadiah dan penghargaan buat para peminat mereka yang sebelum ini tidak pernah lelah menyokong dan mengikuti perkembangan kumpulan Sofaz. Bercerita lanjut tentang album yang masih belum diberikan tajuk itu, tambah Zimi, ia berlainan daripada mana-mana album yang ada di pasaran di mana kebanyakannya lebih gemar menampilkan 12 buah lagu sahaja.
"Kami cuba mencari kelainan. Menampilkan lagu-lagu baru serta lagu-lagu hit yang pernah kami nyanyikan dalam sebuah album, kami rasa mampu memuaskan hati para peminat.
"Dari segi susunan muzik lebih segar dan tidak terlalu mengikuti konsep muzik kami yang lama," kata Zimi.
Turut dimuatkan ialah lagu tentang kisah hidup penciptanya, Zimi, iaitu Mestikah Aku Benci.
Secara ringkas, Zimi baru sahaja kecewa di alam percintaan apabila perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Ogos lalu tidak menjadi kenyataan.
Dua tahun mengenali hati budi masing-masing, Zimi bagaimanapun akur bahawa tiada jodoh di antara dia dengan bekas kekasihnya.
Antara pembaharuan lain, kata Zimi lagi, salah sebuah lagu yang dihasilkan oleh mereka bakal mempunyai vokal latar wanita.
Gosip tak ganggu promosi album
Rancak bercerita perihal album terbaru, imej Sofaz yang bersih sejak enam tahun lalu seakan tercalar baru-baru ini apabila vokalisnya, Aremeer tiba-tiba dikaitkan cuba menjaja kisah cinta apabila gambar bersama kekasih hatinya menjadi perhatian di internet.
Namun, gosip tersebut bukanlah kudis yang boleh mendatangkan nanah buat keenam-enam ahli kumpulan tersebut.
Sebagai ahli kumpulan, kata Zimi, seboleh mungkin dia menyokong Aremeer kerana mengetahui bahawa Aremeer bukanlah seorang yang suka menjaja kisah cinta.
"Gosip ada baik dan buruknya. Namun apa yang pasti, ia tidak lari dari membantu mempromosikan nama kumpulan kami secara tidak langsung.
"Saya rasa mana-mana artis ataupun band tidak terlepas daripada gosip cinta. Bezanya antara baik ataupun tidak," kata Zimi lagi.
Bagi Aremeer pula, biarpun gambarnya secara mudah dilayangkan di skrin jalur lebar namun, seboleh mungkin dia tidak mahu cepat melatah.
"Saya hanya berterus -terang dengan status hubungan saya yang kini sudah berlarutan hingga tahun ketiga.
"Tiada langsung niat untuk mencari populariti dengan menjaja kisah cinta," kata Aremeer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: