Wednesday, December 16, 2009

Bajet penyembuh 'barah' hutang


BUAT anggaran untuk perbelanjaan mengikut kemampuan termasuklah pembelian hadiah, keperluan hobi, hiburan dan pergi bercuti.


ANDA kini berada dalam keadaan kewangan yang meruncing. Hanya mampu membayar baki minimum kad kredit setiap bulan, mula mengambil pendahuluan wang tunai serta tidak membayar hutang atau lewat membuat bayaran atau membayar hanya sebilangan bil pada bulan ini dan selebihnya pada bulan-bulan akan datang.

Lebih memedihkan menerima notis bayaran kedua dan ketiga daripada bank atau pemiutang kerana tidak membayar hutang sehingga terpaksa menebalkan muka bagi meminta pinjaman daripada keluarga atau kawan untuk membayar hutang itu.

Simpanan langsung tiada untuk menangani perbelanjaan atau kecemasan yang tidak diduga. Apabila menyebut sahaja soal duit, pertengkaran bakal berlaku dengan pasangan sehinggakan menjadi anda tidak keruan.

Anda sebenarnya berada dalam kemelut kewangan yang parah dan harus bertindak segera, mencari puncanya dan jalan penyelesaiannya supaya ia tidak menjadi 'barah tahap empat.'

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamed Akwal Sultan berkata, situasi ini berlaku apabila perancangan kewangan yang lemah, tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak berdisiplin di dalam kehidupan seharian.

Perkara ini juga terjadi kerana faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan.

''Memang tidak dinafikan bahawa masyarakat Malaysia secara keseluruhannya agak lemah membuat bajet perbelanjaan. Inilah punca segala-galanya yang menyebabkan pengurusan wang tidak teratur sehingga seseorang itu boleh dirundung masalah.

''Tanda yang cukup jelas membezakan seseorang yang hidup dengan selesa tanpa perlu membuat bajet dengan seseorang yang hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' adalah cukup senang.

"Jika seseorang itu pada hujung bulan masih selesa kewangannya dengan mempunyai simpanan, maka dia tidak perlu buat bajet tetapi jika anda sebelum akhir bulan sudah tak ada duit, maka anda wajib membuat bajet.

''Bajet ini penting bagi mendisiplinkan diri dalam berbelanja. Ia boleh membantu anda dalam hidup mengikut kemampuan pendapatan bulanan; memperuntukkan wang atau menabung; mencapai matlamat kewangan; menyediakan dana kecemasan; memupuk tabiat mengurus kewangan yang baik sambil membuat tinjauan atas aliran tunai dan nilai harta bersih,'' katanya ketika ditemui di ibu pejabat AKPK Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mohamed Akwal, satu lagi kelemahan masyarakat di sini ialah tiada simpanan untuk kecemasan.

''Dicadangkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada gaji bulanan diasingkan ke dalam akaun lain sebagai dana kecemasan, pelaburan, perubatan, bencana seperti banjir dan kebakaran atau diberhentikan kerja.

''Pengurusan kewangan yang terbaik ialah berbelanja mengikut kemampuan. Apabila anda hidup mengikut kemampuan, anda juga akan berbelanja mengikut wang yang ada. Keperluan adalah sesuatu yang anda perlu ada kerana anda tidak boleh hidup tanpanya, sebagai contoh, makanan. Manakala kehendak adalah sesuatu yang anda inginkan tetapi tidak semestinya perlu,'' ujarnya.

Tambah Mohamed Akwal, majoriti yang datang mendapatkan kaunseling dan menyertai program AKPK ialah terperangkap dengan hutang kad kredit.

Hutang kad kredit

''Hampir 70 peratus yang datang, mengalami masalah dengan hutang kad kredit. Kita selalu menasihatkan pengguna kad kredit untuk menggunakan hanya untuk membeli barang keperluan bukan kehendak.

"Sebenarnya, banyak perangkap dari segi pembayaran kad ini terutama jika membuat bayaran minimum bulanan kerana anda akan dikenakan caj faedah dan masa yang lebih lama diperlukan untuk menyelesaikan hutang tertunggak.

''Maka adalah lebih baik cuba bayar habis atau jika tidak berkemampuan, ambil inisiatif mengurangkan tempoh pembayaran dalam masa dua tiga bulan sahaja.

"Juga harus sentiasa semak penyata bulanan kad kredit anda untuk memastikan urus niaga dan caj yang dikenakan adalah munasabah. Paling penting jangan gunakan kad kredit sekiranya anda tidak boleh membuat bayaran bulanan,'' katanya sambil mengesyorkan bagi mereka yang tidak mampu mengawal perbelanjaan menerusi kad kredit supaya menggunakan kad debit.

Ujarnya, kad debit menyerupai kad ATM, kecuali anda tidak perlu mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM anda. Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank anda. Kini banyak bank telah menawarkan kad sebegitu dan anda tidak perlu membawa wang tunai bersama anda.

''Memang tidak salah memiliki kad kredit lebih daripada satu. Apa yang penting ialah kawalan terhadap penggunaannya. Jika seseorang itu ada satu kad kredit pun dia tidak pandai mengawal, bagaimana nak memiliki lebih daripada satu?

''Namun dinasihatkan cukuplah dengan dua kad kredit. Ini adalah untuk menyenangkan urusan pembayaran dan had kredit.

"Jika satu kad mesinnya rosak, boleh pakai satu lagi. Tapi kalau seseorang itu ada banyak kredit, dia mungkin hilang kawal pentadbir, lupa bayar dan kena keluarkan banyak cek,'' katanya yang sambil memberitahu golongan yang sering menghadapi masalah hutang ini terdiri dari usia di bawah 40 tahun kerana golongan ini selalunya sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: