Wednesday, December 16, 2009

Hak komuniti OKU


ASNIZA Mohd. Ismail mengait kain di gerainya sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KESEJAHTERAAN, kemakmuran dan kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil percaturan bijak kerajaan dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Kepentingan dan keperluan semua golongan dan lapisan masyarakat sentiasa diberi keutamaan termasuklah golongan orang kurang upaya (OKU).

Pelbagai inisiatif dan peluang telah disediakan oleh kerajaan bagi memastikan golongan OKU ini mencapai kecemerlangan yang berterusan termasuklah melalui pembangunan modal insan dengan menitik beratkan penguasaan ilmu dan kemahiran diri.

Apa yang diharapkan adalah agar golongan OKU dapat meningkatkan daya saing mereka dalam masyarakat, seterusnya mengorak langkah untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Umum mengetahui, negara kita mula menyambut Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan pada tahun 1994 selaras dengan pengisytiharan tarikh 3 Disember sebagai Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1992.

Sejak itu, kerajaan telah menunaikan tanggungjawab untuk memperingati hari yang bermakna ini dan memberi pengiktirafan kepada golongan OKU yang merupakan sebahagian daripada penduduk negara.

Sehubungan itu, bagi tahun ini, sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat Kebangsaan kali ke-16 telah disambut 5 Disember lalu di Kuala Lumpur.

Dengan bertemakan 'Pendayaupayaan Orang Kurang Upaya Ke Arah Pembangunan Potensi Diri', sambutan tersebut berasaskan matlamat utama untuk menggalak dan membantu OKU supaya hidup berdikari dengan penyediaan sistem sokongan sosial serta pelbagai kemudahan dan keistimewaan untuk membangunkan potensi diri mereka.

Dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, antara lain tujuan sambutan tersebut diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada golongan OKU untuk berganding bahu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang alaf baru nanti.

Dalam masa yang sama, sambutan itu juga ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa golongan OKU juga merupakan sebahagian daripada komuniti yang mempunyai hak dalam apa bidang dan peluang sekalipun.

Menurut Shahrizat, sambutan ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap golongan ini seterusnya menggerakkan komuniti supaya lebih meningkatkan kemudahan-kemudahan khusus untuk golongan ini.

Perayaan kali ini lebih bermakna dan menarik apabila sambutan tersebut diadakan di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang terletak di Brickfields.

Ini kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tumpuan OKU selain terdapat banyak kemudahan untuk mereka.

Dalam pada itu, Shahrizat turut mengumumkan, kerajaan memperkenalkan tiga lagi kategori baru bagi OKU iaitu golongan kurang upaya pertuturan, golongan kurang upaya mental dan mereka yang mengalami lebih daripada satu ketidakupayaan dan semua pendaftaran golongan ini boleh dibuat mulai 1 Januari depan.

Ketika mengumumnya, Shahrizat menjelaskan golongan kurang upaya pertuturan merujuk mereka yang tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi seperti afonia (tiada suara) dan dysarthia (tidak boleh bercakap).

OKU mental pula adalah individu yang menghidap penyakit mental kronik seperti 'skizofrenia', 'mood disorder' dan 'organic mental disorder' yang serius serta kronik dan sudah menjalani rawatan psikiatri sekurang-kurangnya dua tahun.

Ia tambahan kepada empat kategori sedia ada iaitu kurang upaya penglihatan, pendengaran, kurang upaya fizikal dan masalah pembelajaran.

''Kategori baru ini diwujudkan selepas mengambil kira maklum balas diterima serta rundingan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta OKU sendiri.

''Mereka meminta diwujudkan kategori OKU lebih menyeluruh, menepati kehendak semasa dan selaras definisi diterima pakai dalam Akta OKU 2008,'' jelasnya.

Tambah beliau, menerusi kategori baru itu, lebih ramai individu mengalami ketidakupayaan, mendapat manfaat daripada perkhidmatan dan kemudahan disediakan kerajaan dan pihak lain selaras Dasar dan Pelan Tindakan Nasional OKU.

Pada masa yang sama, dalam bajet 2010, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan program pemulihan dalam komuniti dan menaik taraf empat buah institusi Taman Sinar Harapan untuk pemulihan OKU.

Sementara itu, sambutan sehari tersebut turut mengadakan aktiviti-aktiviti seperti aktiviti permainan, aktiviti karnival serta aktiviti ceramah.

Kemuncak majlis tersebut, Shahrizat menyampaikan Anugerah Orang Kurang Upaya Cemerlang Tahun 2009 kepada empat penerima daripada empat kategori iaitu kategori penglihatan, Godfrey Ooi Goat See, 62; kategori pendengaran, Razani Ramli, 43; kategori fizikal, Zaharul Lail Awang Lateh, 50; dan kategori masalah pembelajaran, Johari Jamali, 29.

Kesemua penerima anugerah menerima wang tunai RM3,000, trofi serta sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: