Monday, December 28, 2009

Air mata Scha, air kencing Awal



MUNGKIN hanya kebetulan atau juga sudah ditakdirkan, penglibatan pertama Scha Al-Yahya dalam program realiti terbitan Astro, Sehati Berdansa musim ketiga bagaikan satu badai kepadanya. Sebelum pertandingan bermula Oktober lalu, Scha dikatakan telah putus cinta dengan Fahrin Ahmad kerana wujudnya pihak ketiga kononnya Awal Ashaari yang turut mengacarakan program tersebut.

Namun, tanpa memberikan sebarang penerangan lanjut mengenai 'cinta tiga segi' itu, mereka bertiga secara profesional telah melaksanakan tugas masing-masing sehingga ke penghujung program berkenaan. Malangnya, ketika hidup Scha, 26, sedang beransur pulih daripada gosip negatif, dia dilanda satu lagi kontroversi yang juga melibatkan Awal, 28.

Barangkali mereka berada di tempat dan masa yang salah. Berkunjung ke pusat hiburan Rootz Club, Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada tengah malam Khamis minggu lalu, mereka menjadi mangsa serbuan polis dan Awal ditahan kerana gagal memberikan sampel air kencing ketika itu.

Pagi Hari Natal itu, berita penahanan Awal segera tersebar di kalangan media. Kegagalan Awal bekerjasama dengan polis menyebabkan ada khabar angin mendakwa Awal positif ujian dadah, malah ada pula yang mengatakan Awal terlalu trauma sehingga tidak dapat membuang air kecil.

Bagaimanapun, sekitar pukul 11.30 pagi hari yang sama Awal dibebaskan polis selepas ujian sampel air kencing menunjukkan selebriti itu negatif dadah. Kosmo! yang menjejak Awal dan Scha sehingga ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ketika mereka menjalani latihan Sehati Berdansa sekitar pukul 5 petang bagaimanapun diminta bersabar untuk mendapatkan kenyataan kedua-dua selebriti itu.

Memandangkan acara gah final program itu pada keesokannya, penerbit memohon media memahami yang kedua-dua selebriti perlu menyelesaikan tugas terlebih dahulu tanpa sebarang gangguan. Pada hari itu, Kosmo! hanya mendapat komen pengurus Awal, Azlina Merican yang berjanji Awal dan Scha akan bersemuka selepas selesai tugas Sehati Berdansa.

Pergi parti hari jadi

Ternyata Awal dan Scha mengambil langkah bijak dengan tidak menyembunyikan diri daripada media dan realiti. Walaupun bertemu mata dengan media bukan satu tindakan yang mudah, mereka berdua memberanikan diri untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan selepas selesai sahaja pertandingan itu.

Scha yang kelihatan penat serta tertekan memulakan butir pengakuannya. Kata bintang utama drama bersiri Awan Dania itu, dia mengaku bahawa Awal turut berada di kelab itu atas undangannya. Cuma, perancangan pada asalnya bukan untuk melawat kelab itu tetapi restoran Teeq di tepi kelab itu.

"Dua hari lepas, semasa sedang sibuk dengan penggambaran drama Awan Dania, kawan saya dari Melbourne, Stefanie telah mengajak saya untuk menyambut hari jadinya di Teeq. Jadi saya mengundang Awal. Penggambaran saya habis lewat dan setibanya saya di Teeq, restoran itu sudah pun tutup.

"Kawan-kawan saya pula ingin berjumpa dengan saya. Maka, mereka menunggu saya di Rootz Club. Tidak sampai setengah di dalam kelab itu, pihak polis membuat serbuan. Saya tidak tahu langsung apa yang berlaku dan ramai orang yang menarik saya.

"Apabila disuruh untuk memberikan ujian air kencing, saya ikut sahaja kerana saya tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya ikut prosedur sahaja. Selepas disahkan negatif, saya dibebaskan," ujar Scha mempertahankan diri.


SCHA, bintang Awan Dania, menafikan dia ke kelab hiburan tersebut untuk bersosial dengan mengambil dadah dan alkohol.

Tiada urin untuk diberikan

Meminta maaf kepada pihak media kerana tidak menjawab sebarang panggilan, Awal pula menjelaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa dirinya tidak berada di tempat kejadian. Cuma disebabkan tekanan daripada kejadian itu, Awal belum bersedia untuk menjawab sebarang soalan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa memang saya berada di kelab itu atas undangan Scha. Sebenarnya, saya sampai lebih awal berbanding Scha. Disebabkan saya tidak mengenali kawan Scha, saya telah pergi ke Rootz kerana terserempak dengan kawan saya di sana.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk menunggu Scha di Rootz. Tidak lama selepas Scha sampai, lampu kelab diterangkan dan muzik dihentikan. Kami ketika difahamkan operasi dilakukan kerana terdapat pergaduhan sebelum itu."

Menyangkal dirinya ditahan polis kerana disyaki menggunakan dadah, Awal memberitahu dia cuma mengikut polis ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Kuala Lumpur kerana tidak dapat memberikan ujian air kencing dalam keadaan tertekan serta kecoh.



"Secara kebetulan sebelum serbuan dilakukan, saya sudah pergi ke bilik air. Jadi apabila pihak polis meminta untuk ujian air kencing, saya tidak dapat memberikannya. Bukan sahaja kerana saya baru pergi ke tandas tetapi juga disebabkan keadaan sekeliling.

"Selama lima tahun saya dalam industri hiburan, ini adalah situasi paling tertekan yang pernah saya hadapi. Bayangkan saya diasak oleh orang ramai dan mereka menjerit nama saya serta jurugambar tidak henti-henti merakamkan gambar saya. Semua orang mahu menjadi hero dan menyelamatkan saya.

"Bukannya saya tidak cuba untuk kencing, tetapi tidak berjaya. Jadi saya mengambil keputusan untuk pergi ke balai polis. Di sana, saya minum dua tiga botol air dan menjadi orang pertama mengambil ujian. Keputusan membuktikan saya negatif ujian dadah."


AWAL dan Scha tenang saat menceritakan mengenai peristiwa serbuah polis di sebuah kelab malam haram di Bukit Bintang malam Khamis lalu.

Selain menafikan dia bermalam di balai polis kerana bersalah, Awal menyatakan dia tidur di sana atas pelawaan polis kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan di luar balai yang masih penuh dengan kelibat jurugambar dan wartawan.

Pulang sekitar 11.30 pagi (25 Disember), Awal juga memberitahu dia bukannya mahu bersuka ria tetapi situasi itu berlaku kerana Scha tiba lambat. Malah, dia berharap orang ramai memahami situasinya kerana apa yang berlaku memberikan impak negatif bukan sahaja kepadanya tetapi juga keluarga serta kariernya.

"Saya harap orang tidak salah anggap kerana saya tidak terlibat dengan dadah. Saya tidak pernah sentuh dadah dan bukan di bawah pengaruh dadah ataupun alkohol. Memang ada seorang pengacara yang positif dadah tetapi bukan saya. Jangan hebohkan bahawa saya merupakan pengacara itu kerana saya berasa amat tertekan," pinta Awal.

Scha juga menyesal dan mengaku bahawa satu kesilapan untuk dia mengunjungi kelab itu. Namun, dia cuma memenuhi undangan kawannya yang datang dari jauh dan bukannya seorang yang suka bersosial. Tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir, Scha juga menegaskan bahawa dia tidak mengambil minuman keras.


SCHA, Awal dan Fahrin. Tiga hos program Sehati Berdansa yang punya kisah tersendiri sepanjang minggu lalu sehingga mengejutkan industri hiburan tanah air.

Malah untuk beberapa minggu lalu, aktres dan hos itu sebenarnya sakit. "Saya sedar bukan senang untuk menjadi seorang selebriti. Saya sedang melalui masa-masa yang sukar dan pada masa yang sama jatuh sakit.

"Disebabkan itu, saya sedang mengambil antibiotik. Maka, adalah mustahil jika anda menyatakan saya mengambil alkohol. Itu adalah satu tuduhan. Saya ada surat doktor yang membuktikan saya sakit sehingga tidak boleh melibatkan dalam penggambaran Awan Dania untuk seketika.

"Selain demam virus, saya juga kurang semangat. Terlalu banyak benda dan tuduhan dijatuhkan ke atas saya baru-baru ini. Semua itu membuatkan saya lemah semangat. Semua benda-benda yang kurang enak membuatkan saya sedih. Itu juga menjadi salah satu faktor saya berjumpa dengan doktor," luahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: