"Saya harapkan perjuangan ini bukan di bahu saya seorang tetapi semua pelakon kerana jika ia berjaya faedahnya bukan sahaja diperoleh pelakon bahkan penulis skrip dan pengarah" – FAIZAL HUSSEIN
JARANG-JARANG kita mendengar perkhabaran terbaru tentang aktor Faizal Hussein. Jika dulu kehebatan lakonannya acap kali boleh ditonton di layar perak kini bakatnya itu hanya menjadi penghias kaca televisyen.
Dengarnya ia berlaku gara-gara sikap berani Faizal yang memperjuangkan hak pelakon dan tenaga kerja warga filem supaya diberi royalti.
Dek kerana itu, Faizal mengaku pernah bersara sementara daripada dunia perfileman selama lima tahun bermula dari tahun 1995 hingga 2000.
Selepas itu, langkahnya dalam filem semakin perlahan meskipun namanya pernah meledak ketika memegang watak Azroy dalam filem hit yang diterbitkan pada tahun 1986 iaitu Gila-Gila Remaja.
"Mungkin tawaran berlakon filem kurang sebab saya perjuangkan hak royalti pelakon. Penerbit yang tidak setuju dengan perjuangan saya pastinya tidak ambil saya berlakon kerana takut saya minta royalti.
"Bukan saya tidak mahu berlakon filem lagi, cuma saya berlakon dalam filem yang memberi bayaran setimpal. Jika bayaran kurang saya tidak kisah tetapi harus memberi royalti," ujarnya.
Walaupun tidak semua penerbit filem mahupun drama di Malaysia mempraktikkan konsep memberi royalti, tegas Faizal, masih ada yang prihatin seperti penerbit filem KL Menjerit yang tidak mengabaikan tanggungjawab mereka.
Tambah anak kepada seniman Allahyarham Hussein Abu Hassan dan seniwati Mahyon Ismail itu, nasib pelakon Malaysia tidak sebaik penggiat seni yang terlibat dalam bidang muzik.
"Pelakon di Malaysia ini kasihan, kami dianaktirikan. Macam penyanyi, syarikat mereka bayar royalti, komposer dan penulis lirik ada MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) yang akan membayar royalti kepada mereka setiap tahun tetapi tidak ada persatuan pun yang perjuangkan nasib penggiat seni yang terlibat seni visual.
"Kalau pelakon patah kaki tiga bulan dan terpaksa duduk di rumah, mereka tidak boleh bekerja. Saya perjuangkan royalti filem dan drama yang disiarkan lebih daripada sekali tayangan," tuturnya dalam nada serius.
Suami kepada pelakon Suhaila itu juga sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap segelintir pelakon yang hanya mengharapkan faedah jika terlibat dalam persatuan atau perjuangan.
"Masalah kita di Malaysia ialah terlalu banyak persatuan. Bila banyak persatuan susah untuk bersatu dalam sesuatu perkara kerana banyak kepala.
"Lagi satu, artis di Malaysia kalau diminta untuk sertai sesuatu persatuan mereka akan bertanya apa faedah yang mereka dapat. Macam mana nak dapat faedah kalau perjuangan pun tidak dimulakan?
"Saya harapkan perjuangan ini bukan di atas bahu saya seorang tetapi semua pelakon kerana jika ia berjaya faedahnya bukan sahaja diperoleh pelakon bahkan penulis skrip dan pengarah," ungkapnya yang ditemui pada pelancaran drama Cantik dan Seharum Kenanga di Finas baru-baru ini.
Drama bersiri
Meskipun begitu, lelaki yang berusia 43 tahun itu masih lagi mempunyai permintaan di kalangan penerbit drama biarpun rezekinya tidaklah sekencang dulu.
Kerap berlakon dalam drama rantaian membuatkan nama Faizal masih wujud dalam industri seni.
"Saya sedar zaman saya sudah berlalu. Kalau diimbas kembali tahun 1980-an dan awal 1990-an memang nama saya dominan dalam filem, ketika itu saya masih muda. Sekarang tidak lagi," ujarnya dalam tawa.
Terbaru, bapa kepada dua orang anak yang mula menjadi hero pada usia 17 tahun menerusi filem Bujang Selamat bergandingan dengan Janet Khoo dalam drama rantaian berjudul Seharum Kenanga terbitan Bright Network.
"Saya seronok berlakon dalam drama ini kerana pengarahnya Mior Hashim Manap seorang pengarah yang berkaliber. Dia amat menjaga kualiti pelakon dan visual drama arahannya.
"Walaupun sasaran produksi menghabiskan penggambaran drama ini selama tiga bulan tetapi kami dapat lakukannya lebih awal iaitu hanya dua bulan lebih," katanya yang juga akan membuat kemunculan khas dalam filem Cempaka arahan pelakon, Hairie Othman.
Drama rantaian 26 episod itu yang mula ditayangkan pada 23 Disember lalu pada pukul 1.30 petang di TV2 mengisahkan kehidupan penuh ranjau seorang pelakon popular, Dania (Janet) yang berkahwin dengan Omar (Faizal).
Selain Seharum Kenanga, produksi milik Raja Alawiyah Idris itu juga menerbitkan sebuah telemovie berjudul Cantik arahan Azizi Adnan.
Telemovie yang dibintangi oleh Julia Ziegler dan Tony Eusoff itu mengisahkan seorang supermodel yang tidak dapat menerima kenyataan apabila dia melahirkan seorang anak cacat.
Telemovie Cantik akan mula ditayangkan pada 2 Januari tahun depan pada pukul 9 malam di TV1.
Saya memang meminati Faizal Hussein semenjak beliau berlakon sebagai hero dalam filem Gila Gila Remaja. :)
ReplyDeleteJeffery
(Singapura)