LEBAR senyuman tiga pereka popular iaitu dari kanan; Hatta, Rizman dan Ruzaini sebaik saja diumumkan sebagai pemenang. |
Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini dinobat sebagai Pereka Paling Popular dalam ABPBH2008
SELAIN memberi perhatian kepada bakat seni, sejak tahun lalu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) turut memberi penghormatan kepada bakat tempatan dalam bidang rekaan pakaian. Jelas dalam mana-mana anugerah membabitkan selebriti pasti busana yang digayakan turut mendapat perhatian seiring.
Kalau di Barat, selebriti boleh berbangga dengan jenama mewah dan koleksi antarabangsa seperti Prada, Gucci, Dior, Diane Von Furstenberg dan banyak lagi. Kita pun apa kurangnya dan sejak kebelakangan ini sudah ada label tempatan yang mula menunjukkan taringnya.
Jika ABPBH 2007, Pereka Popular dimenangi Hatta Dolmat dan Michael Shu masing-masing untuk kategori wanita dan lelaki, ABPBH 2008 sekali lagi melihat penguasaan Hatta Dolmat yang ditabalkan sebagai Pereka Popular bagi kategori lelaki. Manakala untuk Pereka Popular bagi wanita dimenangi Rizman Ruzaini.
Hip sempat mendapatkan komen mereka sewaktu sidang media pertama ABPBH 2009 diadakan baru-baru ini. Bagi Hatta, percubaan pertamanya mereka pakaian lelaki mula menunjukkan impak dan perkembangan positif selepas pakaian yang direkanya untuk Iz Sulaini menarik perhatian juri dan pengundi.
HATTA bersama Iz dan model yang menjayakan segmen persembahan fesyen. |
Menariknya, pakaian terbabit terlebih dulu turut memenangi Pakaian Terbaik kategori Lelaki yang diumumkan di majlis post party ABPBH 2008. Bererti, kemenangan terbarunya itu adalah kali kedua dimenanginya. Menurut Hatta, kejayaan itu terus membangkitkan semangatnya untuk terus mereka pakaian untuk lelaki lagi.
“Alhamdulillah, ia rezeki untuk saya terus berkarya dalam bidang fesyen. Tahun ini, saya juga tengah mencari artis yang sesuai untuk menggayakan rekaan untuk ABPBH 2009. Saya lebih gemar bertukar-tukar artis dalam usaha memberikan variasi terhadap rekaan.
“Bagi saya ABPBH memberi landasan terbaik untuk kami sebagai pereka menyerlah sisi kreatif apatah lagi ia membabitkan golongan selebriti yang cukup luas pengaruh mereka. Di sini, ia jelas menunjukkan kerjasama dan idea artis dan pereka dalam menghasilkan rekaan yang menawan dan meletup,” kata Hatta yang pernah memenangi kategori yang sama tahun pada ABPBH 2007, namun untuk kategori wanita yang digayakan Julia Ziegler.
Sementara itu, bagi Rizman pula mewakili label Rizman Ruzaini, ini adalah kejayaan sulungnya dalam penganjuran anugerah sedemikian serentak dengan kehadiran ABPBH. Ia cukup bermakna apabila busana yang dipakai Datuk Siti Nurhaliza mula menambat perhatian pengundi SMS. Rizman menambah, insya-Allah, Datuk Siti akan menggunakan khidmatnya lagi menjelang ABPBH 2009.
DUA PULUH pembaca bertuah bergambar kenangan dengan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid (berdiri tengah) dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah (berdiri kiri). |
“Selain Datuk Siti, saya ada lagi beberapa deretan nama artis yang mula bermain di minda untuk dipilih mengenakan rekaan kami. Saya juga bercadang untuk memilih muka baru contohnya seperti Tiz Zaqyah dan Kamal Adli. Saya juga tidak mahu berkarya untuk orang yang sama saja demi mengelak rasa bosan,” kata Rizman.
Berbicara lanjut mengenai rekaannya yang dipakai Siti Nurhaliza itu, kata Rizman, hasil busana itu adalah ilham dan cetusan rasa penyanyi popular itu sendiri dibantu kerjasamanya dan Ruzaini. Kata Rizman lagi, rekaan itu direka secara kebetulan.
“Nak dijadikan cerita, Datuk Siti ada datang ke butik saya untuk mengambil tempahan pakaiannya. Secara kebetulan, beliau membelek majalah fesyen yang ada. Daripada situ lahirlah idea yang diterjemahkannya dengan kami hingga terhasilnya busana itu. Ia adalah konsep padanan kurung moden dengan gaun makan malam,” katanya.
Anugerah Pereka Popular disertai 18 orang pereka fesyen dan pemenangnya Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat memenangi hadiah tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM10,000 diiringi sebuah trofi. Pada majlis sidang media pertama ABPBH 2009 yang diadakan di Unity Ballroom, Palace Of The Golden Horses, dua pereka fesyen terbabit turut mempersembahkan koleksi terbaru mereka yang turut membabitkan peragaan daripada selebriti seperti Diana Danielle, Kamal Adli dan Zahnita Wilson.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: