Friday, December 4, 2009

Melawan arus


Shruthi Jayashankar

Tuah penyanyi muda Shruthi terserlah apabila dilamar Rock Unite Music

DI kalangan masyarakat India di negara kita, nama Shruthi Jayashankar bukan lagi asing mengisi ruang seni. Lalu tidak hairanlah, gadis tinggi lampai berusia 14 tahun ini cuba untuk menongkah arus untuk mencuba nasib di pasaran arus perdana di negara kita.

Ironinya, bukan mudah juga untuk anak tunggal ini memecah entiti budaya yang terikat di dalam industri pasaran muzik Tamil di negara kita yang kebanyakannya lebih didominasi lelaki. Akuinya, golongan perempuan sepertinya hanya berada di barisan belakang contohnya menjadi penyanyi latar.

Kata Shruthi, jika penyanyi lelaki India gemar menyanyikan genre lagu hip hop, dia pula cuba mencari kelainan dengan memilih konsep muzik pop dance. Seawal usia empat tahun lagi, Shruthi mula terdedah dengan lagu klasikal India dan pada 2005 namanya pernah tercatat di dalam Malaysian Book Of Records sebagai penyanyi muda menghasilkan klip video.


Sepanjang tempoh itu juga, Shruthi tidak pernah berputus asa dan membuktikan cintanya terhadap bidang itu dengan menghasilkan tiga album yang tidak dikomersialkan. Bagaimanapun, tuah terus datang mendakap dirinya apabila dia dilamar syarikat Rock Unite Music tahun lalu.

“Saya harus berterima kasih kepada Rock Unite Music kerana memberi peluang. Saya hargai kesempatan berharga ini dan harapnya ia akan terus menjadi permulaan baik untuk saya terus membuktikan bakat yang ada. Saya juga ingin terus mempelbagaikan bakat.

“Saya juga mahu mengintai peluang untuk bergelar peragawati, pelakon, penari dan komposer. Pada masa yang sama, saya masih menuntut di Sekolah Antarabangsa Maz di Taman Paramount, Petaling Jaya. Kalau boleh, saya juga mahu mengejar cita-cita menjadi jurutera.

“Saya juga mahu membuktikan kepada sesetengah pandangan skeptikal masyarakat kononnya menjadi artis ini tidak menjamin masa depan. Semuanya berbalik kepada usaha, semangat dan rezeki. Selain gemar menulis lirik, saya juga suka menulis,” katanya yang turut mempelajari subjek kesusasteraan Inggeris dan berhasrat untuk menghasilkan autobiografi mengenai perjalanan hidupnya.

Berbalik kepada cerita albumnya yang berjudul Life Is A Mystery, ia disifatkan Shruthi sebagai manifestasi sulungnya sejak dipasarkan April lalu. Jika tiada aral melintang, bulan depan album itu akan dilancarkan. Malah sesi jelajah mempromosikan album terbabit turut akan diadakan enam lokasi terpilih di Malaysia.

“Sambutan album ini sangat menggalakkan dan sedang memanjat carta stesen radio THR Raaga dan Minnal FM. Malah Hitz FM turut memutarkan lagu Fiesta. Klip video lagu Life Is A Mystery juga dimainkan di Hitz TV, Muzik Aktif dan Astro Vaanavil.

“Saya juga dimaklumkan klip video single pertama itu turut ditonton 23,000 orang di laman Youtube. Ketika ini, saya sedang giat mengikut rencana mempromosikan album yang diaturkan Rock Unite Music. Kepada peminat, anda boleh menghantar emel ke shruthi@rockunite.com untuk memaklumkan enam lokasi mana yang patut saya pergi,” katanya sambil memberitahu 10 penghantar emel yang pertama dan 10 yang seterusnya akan mendapat hadiah istimewa.

Ingin belajar bahasa Melayu

KATA Shruti, album sulung edaran Universal Music yang turut menyaksikan beberapa lagu yang dibikin lirik olehnya sendiri itu memuatkan pelbagai bahasa seperti Tamil, Sepanyol, Sanskrit dan Inggeris. Ditanya kenapa tidak memuatkan lagu berbahasa Melayu, Shruthi mempunyai alasannya sendiri.

“Saya memang tidak fasih berbahasa Melayu. Begitu juga dengan ibu. Selain bahasa Tamil, saya boleh bercakap dalam bahasa Perancis, Sepanyol, Inggeris dan Itali. Hanya bapa saya yang boleh bercakap bahasa Melayu. Tetapi memang saya berhasrat untuk mempelajari bahasa Melayu.

“Malah ketika ini, saya sedang belajar vokal dengan Cikgu Siti Hajar. Dalam masa yang sama, saya ambil kesempatan belajar bahasa Melayu dengannya. Saya juga mahu merakamkan lagu dalam bahasa Melayu pada masa mendatang. Harapnya ia bukan sekadar cakap kosong dan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Info Shruthi Jayashankar

  • Lagu Life Is A Mystery memenangi kategori Best Dance Song di Voize Independent Music Awards (VIMA) 2008 pada Januari lalu menewaskan calon lain seperti Melissa Indot.

  • Tercalon lima kategori antaranya seperti Artis Popular dan Lagu Popular Sepanjang Tahun menerusi Raaga Radio Awards.

  • Facebook: shruthi@rockunite.com
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: