MOTOSIKAL sumbangan Naza Bikes. |
Dua motosikal sumbangan Naza Bikes Sdn Bhd jadi tarikan untuk pembaca undi artis pilihan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009
LEBIH menarik dan lumayan! Itulah ungkapan terbaik untuk menggambarkan hadiah yang menunggu pembaca bertuah menerusi undian pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 yang kini sudah pun bermula.
Sepanjang sejarah penganjuran ABPBH sejak 1987, edisi ke-23 muncul penganjuran paling hebat dari segi habuan untuk peminat dan pembaca apabila hadiah lumayan seperti dua motosikal GTR 170X sumbangan Naza Bikes Sdn Bhd setia menunggu mereka.
Semua habuan menarik berkenaan disediakan penganjur bagi menghargai peminat serta pembaca Berita Harian dan Berita Minggu yang tidak putus-putus memberikan sokongan, termasuk setiap kali tibanya acara anugerah paling popular di negara ini, ABPBH.
Menurut Penaung ABPBH2009, Datuk Mior Kamarul Shahid, borang pencalonan pusingan awal mula dikeluarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu mulai 4 Disember (hari ini). Borang berkenaan akan dikeluarkan selama lima minggu bagi membolehkan peminat dan pembaca memilih lima calon kegemaran mereka untuk ke peringkat akhir dalam 16 kategori yang dipertandingkan.
PERSEMBAHAN bertenaga One Nation Emcees menghangatkan majlis pelancaran ABPBH2009. |
Sebanyak tujuh borang undian yang disiarkan secara berturut-turut perlu dikumpulkan, sebelum peminat menghantarnya sebagai satu set penyertaan lengkap kepada penganjur. Bagaimanapun, mereka boleh mengumpul sebanyak mana set borang tetapi hendaklah menghantarnya sebelum 10 Januari 2010.
Pada majlis pelancaran ABPBH2009 yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin, Mior yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd turut mengumumkan format baru undian.
Katanya, selain undian yang dihantar menerusi keratan borang yang disiarkan Berita Harian dan Berita Minggu, kini peminat juga boleh menghantar undian dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pendekatan itu dilakukan bukan saja bagi membolehkan peminat menghantar lebih banyak undian, bahkan ia turut mendekatkan golongan remaja dengan anugerah itu sendiri. Cukup dimaklumi, peminat muda lebih cenderung menggunakan SMS dalam melakukan undian sebagaimana dapat disaksikan menerusi beberapa pertandingan TV realiti.
KEMUNCULAN penyanyi baru Ana Rafali berbaju kurung tarik perhatian tetamu. |
Gabungan undian secara konvensional dan undian SMS tentunya bakal menyemarakkan lagi undian ABPBH2009 yang turut mencatat jumlah pencalonan awal cukup membanggakan.
Lebih 600 pencalonan disenaraikan pada pusingan awal bagi merebut lima tempat pada peringkat akhir, dalam 16 kategori yang dipertandingkan. Pemenang setiap kategori hanya diketahui pada malam kemuncak yang akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Kota Keriangan.
Kategori yang dipertandingkan bagi edisi ke-23 ABPBH ini ialah Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Berkumpulan/Duo Popular, Penyanyi Nasyid Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Artis Komedi Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.
Turut dipertandingkan ialah kategori Artis Baru Lelaki Popular, Artis Baru Wanita Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.
ABPBH ialah acara anugerah hiburan paling popular di negara ini, dengan jumlah penontonnya melebihi 4 juta orang pada beberapa edisi terakhir. Ia dianjurkan bagi memberikan pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping menjadi kayu pengukur kepada populariti seseorang selebriti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: