Tuesday, December 1, 2009

Impak tersendiri Hujan


HUJAN memberikan persembahan bertenaga.

TERNYATA musim hujan yang membasahi bumi kebelakangan ini tidak sehebat dan ‘segarang’ band Hujan yang satu ini. Penutup siri jelajah kesembilan kumpulan indie mempromosikan album Mencari Konklusi ini ternyata membuatkan segenap ruang di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail tanggal 22 November lalu ‘basah lencun’.

Irama muzik yang diperjuangkan mereka di arus perdana sejak 2006 lalu terus menjadi mukadimah terbaik membuktikan legasi seni Hujan masih kental. Biarpun bermula sedikit lambat daripada waktu yang ditetapkan, ia tidak langsung membuatkan lebih 800 orang penonton termasuk pengikut setia mereka dikenali Raingers angkat kaki.

Disebabkan masalah teknikal yang terjadi, sound check yang sepatutnya dijalankan pada sebelah pagi hanya dapat dilaksanakan pada sebelah petang yakni beberapa jam sebelum konsert berlangsung. Konsert ini menjadi siri terakhir jelajah mereka selain di Singapura, Kangar, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping, Kuala Terengganu, Kuantan, Melaka dan Kota Bharu.

Mendendangkan seleksi lagu sekitar 20 buah lagu, Hujan terus membuatkan penonton yang hadir melekat dan terpaku. Vokalisnya, Noh memukau dengan lagu yang dipetik daripada album pertama dan terbaru. Antaranya seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Obsesi dan Mencari Konklusi.


Malah, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh tidak ketinggalan menyanyikan lagu Mencintaimu dendangan asal Kris Dayanti. Barangkali lagu itu sebagai ruang membuktikan hatinya kini tidak lagi kosong selepas berpisah dengan kekasihnya. Umum juga mengetahui Noh sudah bertemu pengganti.

Bijak mengawal pentas dan penonton, Noh bijak berinteraksi dan menyelit lawak spontan sekali gus memecah keheningan ruang premis hiburan itu. Paling penting persembahan ini berlangsung dengan tenang dan terkawal tanpa mencetus situasi yang tidak diingini.

"Persembahan penutup di lokasi terakhir kami ini memberi impak yang tersendiri dan yang terbaik daripada kami setakat ini. Paling mengujakan, kami mendapat maklum balas ramai pihak yang tidak menyangka Hujan berani untuk mengadakan siri jelajah, yang mana sambutan diberikan peminat juga cukup hebat.

"Sejujurnya kami tidak meletak harapan tinggi melangit dan tak terfikir langsung siri jelajah ini akan berjaya. Siri jelajah ini seperti serampang dua mata di samping mempromosikan album, kami juga dapat berjumpa dengan Raingers dan peminat kami yang berada di luar Kuala Lumpur sebagai tanda terima kasih menyokong kami selama ini," kata Noh sewaktu sidang media diadakan.

Selain Noh, turut menjadi perhatian ialah kelibat pemain keyboard Hujan yang berasal dari Indonesia, Dimas dan AG Coco (gitaris utama). Apa yang dapat disimpulkan konsert ini dilihat cukup intim dan hasrat Hujan untuk terus berada dekat dengan peminat mereka tercapai.

Di minit akhir persembahan mereka, Noh dan beberapa orang anggota yang lain turut memberanikan diri turun pentas hingga dilambung peminat seperti ombak yang beralun.

Yang pasti siri akhir jelajah ini juga sebagai persediaan bagi Hujan sebelum melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil 10 Januari depan. Lagu dendangan Hujan, Aku Skandal antara 14 buah lagu yang mara menjadi finalis AJL 24.

Terdahulu konsert yang dihoskan Yasmin Hani ini menampilkan dua band indie, Couple dan DIA (Different In Action) sebagai pembuka tirai persembahan. Konsert yang ditaja Harosa Enterprise dan AlNajwa Productions Sdn Bhd ini turut dihadiri rakan selebriti seperti Nasha Aziz, Scha Alyahya, Natasha Hudson, Ainul Aishah dan Nora.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: