
MENJADI seorang bapa juga seorang ibu kepada tiga orang anak bukannya mudah.
Namun, sejak menduda tahun lalu, vokalis kumpulan Dewa 19, Dhani Ahmad Prasetyo lebih senang jika anaknya itu, Ahmad Al Gazali, 12, El Jalaluddin Rumi, 10, dan Ahmad Abdul Qodir Jaelani, 9, tinggal bersamanya.
Seboleh-bolehnya Dhani cuba mengelakkan anak-anaknya dijaga bekas isteri, Maia Ahmad. Katanya, bekas kumpulan Ratu itu langsung tidak pernah bertanyakan tentang hal anak-anak apalagi mahu menjaga mereka.
"Sejak kami tinggal berasingan lagi, anak-anak tidak pernah merindui Maia. Saya pun tak mahu memberikan anak-anak kepadanya. Bagi saya, Maia tidak tahu menjaga mereka.
"Kenapa? Sebab saya mahu anak-anak mendapat pendidikan seperti saya dapat pendidikan daripada mak dan ayah saya. Tetapi saya tak mahu anak-anak mendapat pendidikan seperti Maia dapat pendidikan daripada mak dan ayahnya.
"Memang cara mereka dibesarkan sangat teruk. Bayangkan, bila Maia dan ayahnya dalam kereta, mereka langsung tidak berkomunikasi," luahnya berterus-terang.

Dhani dan ahli kumpulan Dewa 19 lain ditemui selepas Konsert Mini Dewa 19 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur minggu lalu.
Biarpun kes dari segi hak penjagaan anak belum lagi selesai, Dhani tetap dengan pendiriannya akan menjaga anak-anaknya itu hingga akhir hayat biarpun undang-undang memberikan hak penjagaan kepada Maia sebagai ibu kandung.
"Ketiga-tiga anak saya adalah lelaki, jadi biar saya yang jaga. Saya tak mahu mereka dihimpit dengan cara ibunya yang songsang.
"Apa lagi dengan kehidupan yang penuh pancaroba di luar sana, saya takut mereka menjadi songsang. Saya sudah kaji, di Jakarta, kebanyakan anak lelaki yang dijaga seorang ibu berkemungkinan besar akan beralih ke jantina perempuan.
"Lebih-lebih lagi dari artis-artis wanita. Saya tak mahu jadi macam itu. Walaupun undang-undang akan memberikan hak penjagaan anak-anak lebih kepada ibu, pendirian saya masih lagi tetap dengan menjaga anak-anak itu.
"Keadilan tidak mungkin mempengaruhi hak anda. Lagipun saya tak boleh hidup mahupun kerja tanpa anak-anak dan memberi kasih sayang kepada mereka," katanya.
Beritahu Dhani penceraiannya pada tahun lalu langsung tidak dikesalkan kerana setelah sekian lama menahan kerenah permasalahan rumah tangga, akhirnya hari ini dia sudah bebas.

Malah Dhani juga merasakan fikirannya bebas berkarya tanpa sebarang kekusutan selepas masalah rumah tangganya berlalu pergi.
"Jangan pula membuat andaian yang Mulan punca keretakan rumah tangga kami. Tak mungkin seorang Mulan merosakkan rumah tangga saya. Dia sekadar wanita yang baik dan tak mungkin dia mahu merosakkan hubungan saya dengan Maia," katanya.
Tambah Dhani, penceraiannya itu juga tidak mungkin akan mempengaruhi teman-temannya (ahli-ahli Dewa 19). Sebati dengan kelakuan Maia, mereka juga dikatakan tidak terkejut dengan penceraian Dhani itu.
"Sebenarnya gelaran isteri dan ibu pada Maia itu sekadar nama sahaja, tiada memberi makna langsung. Kalau Maia seorang ibu yang baik, sudah pasti saya akan pertahankannya dan bukan membiarkan dia pergi," katanya.
Tumpang populariti anak
Sejak tiga anak-anak kecil Dhani mula menjinakkan diri dalam bidang nyanyian yang diberi nama The Lucky Laki, mereka semakin dikenali umum.
Apalagi dengan lagu popular yang dinyanyikan mereka, Superman, yang mendapat sambutan hebat, Dhani dikatakan cuba mengeksplotasikan anak-anaknya dan pada masa yang sama menumpang populariti mereka.
"Jangan-jangan, anak-anak yang menumpang populariti saya (ketawa). Kenapa saya perlu eksploitasikan mereka padahal mereka sememangnya meminati muzik dari dahulu lagi.
"Cuma saya tidak memberikan kebebasan untuk mereka bergiat aktif dalam nyanyian. Tetapi jika mereka benar-benar serius, saya tak boleh nak menghalang," ujarnya.
Bagaimanapun, ketiga-tiga anaknya itu mempunyai minat yang lain selain muzik.
Ghazali, Jallaludin dan Qadir sebenarnya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan bola sepak.
Malah, Dhani gembira jika anaknya menceburi bidang sukan bola sepak dan menjadikan karier muzik sebagai sampingan sahaja.
Semua pemuzik plagiat
Beralih cerita mengenai isu plagiat lagu yang semakin heboh diperkatakan baru-baru ini, apalagi bila kumpulan D'Masiv dikatakan meniru 'bulat-bulat' lagu-lagu antarabangsa, Dhani menganggap ia sesuatu yang normal dalam industri muzik dunia.

Katanya, isu ini hanya dibangkitkan di Malaysia dan Indonesia sahaja walhal ia sedikitpun tidak kecoh di negara-negara lain.
"Biasalah bila muzik itu didengar seakan-akan sama dengan muzik luar kerana alunan muzik itu sebenarnya berputar seperti roda yang kadang-kala ia diguna pakai sedikit.
"Seperti D'Masiv, saya rasa mereka adalah kumpulan band yang hebat. Salah ke jika mereka mengambil sedikit inspirasi daripada band-band kegemaran mereka?
"Jika ada yang peka dengan industri muzik dunia, Queens juga ada meniru muzik The Beatles. Sebenarnya semua orang meniru lagu-lagu yang telah dimainkan.
"Cuma ia tidaklah kedengan seperti lagu yang asal. Ia suatu perkara yang biasa.," katanya yang bakal mengeluarkan album Dewa 19 pada hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: