Tuesday, July 21, 2009

Apa impak Shout! Awards?


MARION selepas dinamakan sebagai Personaliti Wanita Terhangat.



WATAK Upin dan Ipin mendapat sambutan memberangsangkan.



JAC semasa menyampaikan lagu Micheal Jackson.


PERTAMA kali dianjurkan, Shout! Awards 2009 yang diilhamkan oleh 8TV boleh dikatakan berlangsung dengan jayanya pada malam Jumaat lalu. Mencapai objektif dan matlamat utama, Shout! Awards menepati 'janji-janjinya' dengan menyaksikan kemenangan bertumpu kepada mereka yang berjaya mencipta revolusi dalam industri hiburan.

Merangkumi sektor radio, TV dan filem, Shout! Awards tampil urban dan menjadi satu-satunya majlis anugerah tempatan yang diadakan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Perbezaan dari segi persembahan, kategori anugerah, penglibatan artis dan konsep menjadikan Shout! Awards unik secara total.

Namun, di sebalik kemenangan yang diundi 100 peratus oleh peminat menerusi SMS dan online, ada suara sumbang yang menyatakan senarai pemenang anugerah itu lebih memihak kepada produk sendiri atau mereka yang berada di bawah payung Media Prima Berhad.

Melihat senarai pemenang, sembilan daripada 16 pemenang didominasi oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan Media Prima. Memang diakui senarai calon yang berjaya ke peringkat undian bukan terletak di dalam bidang kuasa 8TV tetapi pemilihannya dilihat belum cukup menyeluruh.

Mungkin ini percubaan sulung 8TV dan ramai pihak belum memahami mekanisme penganugerahan itu. Tidak kurang juga kerana stesen lain yang masih belum cukup 'terbuka' untuk bertanding sama. Maka, tidak hairan situasi sebegitu timbul sehingga melahirkan ramai pemenang 'sendiri'.

"Tidak kisah apa yang mereka ingin katakan mengenai senarai pemenang. Asalkan kami (8TV) telah melakukan penganugerahan itu dengan adil. Lagipun melihat senarai pemenang, bukannya semua dimenangi Media Prima. Contohnya seperti stesen radio Astro, Hitz.FM menang satu kategori.

"Situasi ini berlaku mungkin kerana banyak pencalonan yang dihantar adalah produk Media Prima. Lagipun mungkin kerana 8TV mempunyai banyak produk urban seperti yang dikehendaki dalam majlis ini, jadi kemenangan lebih berpihak kepada kami.

"Namun, kami telah lakukan yang terbaik dan berharap pada masa akan datang ada stesen TV lain yang akan menyertai kami dengan menghasilkan lebih banyak produk-produk kreatif," kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV Ahmad Izham Omar ketika ditemui selepas majlis berlangsung.


DRAMA Ghost dinobatkan sebagai siri TV Baru Pilihan.






JAC membawa pulang anugerah Vokal Terunggul.


Berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 18,000 peminat di lokasi, Shout! Awards membuka peluang kepada artis-artis baru terutama mereka yang tidak mendapat perhatian di tapak arus perdana dengan mengutamakan kesegaran.

"Selesai sahaja majlis itu, saya menerima banyak SMS terutama daripada penyanyi dan penulis lagu hip hop bahawa mereka ingin menyertai majlis itu pada masa akan datang. Pada mereka Shout! Awards adalah platform untuk menonjolkan bakat.

"Itulah impak positif yang diperolehi daripada majlis itu. Kini baru saya sedar bahawa peranan kami (Shout! Awards) adalah untuk membantu mereka yang sedang berkembang dalam industri hiburan," tambah Ahmad Izham.

Walaupun melebihi had masa sehingga berlanjutan kepada 3 jam 20 minit, majlis yang sepatutnya tamat pada pukul 11.30 malam memberi penghormatan kepada Bunkface dengan penganugerahan The Ultimate Shout!.

Selain daripada itu, kumpulan itu yang baru sahaja berkecimpungan dalam dunia hiburan selama tiga tahun turut menerima anugerah Anugerah Rockstar, Anugerah Break Out (Artis Baru Terbaik).

Melihat kejayaan yang diperolehi oleh Bunkface, ada yang tertanya-tanya mengapa kumpulan itu mampu membawa pulang trofi The Ultimate Shout!. "Seperti yang anda tahu majlis kali ini diadili oleh pasukan daripada Anugerah Industri Muzik (AIM) yang diketuai Jennifer Thompson.

"Lagipun seperti yang dikatakan sebelum ini, pemenang anugerah ini perlu dipilih daripada mereka yang ada menang dalam mana-mana kategori. Jadi memandangkan Bunkface telah menang dua anugerah, tidak hairan jika mereka diberikan anugerah The Ultimate Shout!."

Bunkface yang hanya berbekalkan dua lagu popular, Situasi dan Revolusi menyerlah apabila muzik mereka mencerminkan aliran muzik terbaru seperti yang diketengahkan oleh Shout! Awards.

Dianggotai Shamsul Annuar Mohd. Baharom (Sam) vokalis, Muhammad Farouk Jaafar @ Youk (bass) dan Ahmad Farhan Hashim @ Pa'an (gitaris), kemenangan Bunkface mencipta sedikit kejutan.

Namun, itu yang dikehendaki peminat yang berpendapat bahawa mereka berjaya menyuntik kelainan dalam dunia muzik. "Semua anugerah yang diterima pada malam ini amat bermakna bagi kami. Akhirnya kerja keras yang dilakukan selama ini mendapat pulangan dan merupakan tiket kepada kami untuk mara ke hadapan.

"Peminat telah memilih kami dan ini membuktikan kami amat gigih dan memberikan berjaya impak kepada industri. Kepada semua pemuzik berkumpulan, jangan putus asa kerana kemenangan kami adalah bukti bahawa industri kita sedang berkembang," kata Sam.

Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor (Jac) pula menewaskan saingan terdekatnya, Datuk Siti Nurhaliza dengan membawa pulang anugerah Vokal Terunggul.
TIGA anggota Bunkface (dari kiri) Pa'an, Youk dan Sam merupakan pemenang besar malam itu.


Menjadi antara pemenang yang bukan dari golongan orang baru, Jac memberitahu bahawa dia bernasib baik untuk memenangi kategori tersebut.

"Sebenarnya saya rasa diri saya masih baru dalam industri dan masih belajar. Jika dikirakan, saya hanya aktif selama lima tahun iaitu selepas pertandingan Malaysian Idol musim pertama.

"Tapi saya amat bernasib baik kerana peminat memilih untuk mengundi saya sebagai pemenang. Semua calon dalam kategori ini hebat terutama Siti," kata Jac yang menyampaikan lagu Micheal Jackson sebagai penghargaan kepada Raja Pop pada malam itu.

Dihoskan oleh Marion Caunter, Jien dan Sarah Molko, senarai artis yang membuat persembahan juga membentangkan juadah berlainan.

Tidak menyajikan artis komersial, artis seperti Pop Shuvit, Jin Hackman, Caprice, One Buck Short, Komplot, Pesawat, Estranged, Shila, Nikki serta Paolo Delfino, Mia Palencia dan Reza Salleh menguasai pentas.

Kemuncak Shout! Awards menyaksikan kemunculan penyanyi remaja, Sean Kingston yang memberikan anugerah Flava sebelum menyampaikan tiga buah lagu popularnya, Fire Burning, Beautiful Girls dan Take You There.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: