![]() Amyza Aznan |
Perubahan imej buka ruang kepada Amyza melebarkan pengaruh
LEBIH 14 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, 2009 membentangkan laluan berbeza kepada pelakon berkarakter, Amyza Aznan.
Lonjakan populariti yang dikecapi sejak menyertai pertandingan Sehati Berdansa, diperkuatkan dengan membolosi Top 5, Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, karier seni anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini meluncur laju.
Satu demi satu peluang mendatanginya membuatkan isteri kepada Khairil Izhar Mohd Nazir bersyukur kerana bakatnya terus dihargai.
Usai Sehati Berdansa dan ABPBH 2008, variasi kerjaya seni Amyza semakin ketara apabila dia diberi peluang untuk menjayakan pelbagai program berbentuk bual bicara. Sesuatu yang barangkali tidak pernah diimpikan wanita tinggi lampai yang peramah ini kerana sebelum ini bakatnya lebih terbatas kepada dunia lakonan.
Memberanikan diri mengubah penampilan dengan berambut pendek keperangan tanpa disangka melakar tuah kepada pelakon berusia 34 tahun ini apabila rezekinya melimpah.
“Mungkin penampilan baru ini lebih menyerlah membuatkan ramai yang nampak dan ingin mendekati. Alhamdulillah, perubahan imej juga membuka ruang kepada saya untuk melebarkan pengaruh hingga ditawarkan sebagai duta produk kesihatan.
“Selepas 14 tahun, baru sekarang terasa kehadiran saya betul-betul dihargai. Bukan bermakna sebelum ini bakat saya tidak diperhatikan cuma mungkin ruang membina nama agak terbatas memandangkan publisiti untuk karier saya agak berkurangan,” katanya.
Ditemui pada malam penghargaan Rafflesia kepada pemenang ABPBH 2008 di Bossanova, Park Royal Kuala Lumpur, baru-baru ini, Amyza tampil anggun dalam persalinan perak rekaan Michael Shu.
Bercerita lanjut mengenai karier seninya, ibu kepada Andre Mikhail, 3 tahun dan Adrian Adam, setahun berkata, limpahan rezeki yang dianugerahkan Allah tidak sesekali menggelapkan matanya.
Setiap apa juga tawaran yang datang, dia terlebih dulu mempertimbangkannya kerana bagi Amyza, kepentingan anak-anak adalah keutamaan kerana tidak mahu kebajikan dua cahaya mata kesayangannya itu terabai.
“Saya harus berlaku adil kepada keluarga. Siapa yang tidak mahu hidup dalam kemewahan? Namun saya sentiasa tanamkan dalam diri kemewahan tidak akan memberi apa-apa makna jika hidup tidak bahagia.
“Saya menerima tawaran sekadar memadai, tidak perlu berlebihan kerana anak-anak adalah harta yang tiada tolok bandingnya. Bukan bermakna saya menolak rezeki tetapi saya kasihan kepada anak-anak.
“Penggambaran memakan masa yang panjang, ada kala berterusan membuatkan saya berasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan mereka untuk tempoh yang lama. Mahu atau tidak saya harus mengelak jika perkara ini berlaku,” katanya.
Perubahan imej diri juga membuka ruang kepada pelakon yang meraikan ulang tahun pada setiap 17 Julai itu untuk mencuba watak lebih berani dan menggoda.
Semua perubahan itu menggembirakan Amyza kerana selepas 14 tahun, kehadirannya mula dipandang serius dengan variasi peranan berat yang menguji kemampuannya sebagai pelakon.
“Selepas Cerekarama, Kerana Kasih yang menemukan saya dengan pelakon hebat, Fauziah Ahmad Daud siaran TV3 tidak lama dulu, penerbit semakin berani memberikan saya peranan berat.
“Syukur kerana semuanya seperti disusun cantik hingga ada ketika saya tertanya sendiri, apakah saya bermimpi menikmati semua ini?
“Mungkin ini rahmat di sebalik kesungguhan serta ketabahan saya mengharungi hidup sebagai anak seni tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa walaupun terpaksa mengambil masa lama untuk mendaki tangga kejayaan,” katanya.
Saat membina nama yang kukuh, Amyza berkata, dia tidak sesekali menafikan tanpa doa dan restu suaminya, semua kejayaan itu tidak mampu digenggaminya.
Amyza bernasib baik kerana lelaki yang dinikahi pada 12 September 2004 itu tidak pernah sesekali bersungut, malah memberikannya kebebasan asalkan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
“Dia sangat memahami malah sabar menanti saya pulang dari kerja walaupun sehingga awal pagi. Kesabarannya menyedarkan saya ada hati yang perlu dijaga kerana saya tidak mahu kepercayaan yang diberikan itu dihancurkan.
“Saya sentiasa ingatkan diri supaya menjaga batasan dan maruah keluarga kerana kejayaan ada kalanya datang sebagai ujian daripada Allah. Saya tidak boleh leka dengan semua itu,” katanya.
INFO
Amyza Aznan:
Tarikh Lahir: 18 Julai 1974
Asal: Alor Gajah, Melaka
Profesion: Pelakon, penyanyi dan pengacara
Hobi: Menyanyi, menari dan memasak
Anak: Andre Mikhail, 2 tahun dan Adrian Adam, setahun

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: