"Kami berdepan dengan masalah keterbatasan untuk mempromosikan kedua-dua album terdahulu. Ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Siapa saja yang tidak mahu menghiburkan peminat di negara luar. Cuma kami harus bersabar sebelum menantikan waktu yang sesuai" – YUDI

PENGUNDURAN diri vokalis kumpulan dari negara seberang, Seventeen iaitu Doni lebih dua tahun lalu menimbulkan banyak persoalan yang sukar terjawab oleh para peminat baik di Indonesia mahupun Malaysia.
Ada yang membuat kesimpulan awal bahawa Doni tidak berdisipiln sekali gus menimbulkan banyak masalah. Malah, ada juga yang beranggapan berlaku perselisihan faham sesama mereka sehingga menyebabkan Doni nekad mengucapkan selamat tinggal kepada Seventeen.
Satu persatu andaian terpacul dalam bentuk dan versi berlainan walaupun kebenarannya hanya diketahui oleh ahli-ahli kumpulan itu yang terdiri daripada Yudi (gitar), Herman (gitar), Bani (bass) dan Andi (dram).
Posisi Doni kini bagaimanapun digantikan oleh Riefian Fajarsyah atau lebih dikenali sebagai Ifan, 26, sejak 6 November 2006 setelah menjalani sesi uji bakat yang dilakukan oleh Seventeen dan syarikat rakaman, MI2 Music Production selama dua bulan lamanya.
Bercakap lebih lanjut tentang ketiadaan Doni dalam kumpulan yang berasal dari Yogjakarta itu, Yudhi Rus Harjanto atau Yudi memberitahu, keputusan Doni untuk keluar daripada Seventeen bukan disebabkan mereka saling bersengketa.
"Doni sebaliknya berpisah dengan kami disebabkan konteks profesionalisme dalam bekerja apatah lagi kami melakukan banyak perubahan besar terutama dalam album ketiga ini, Lelaki Hebat.
"Doni dengan perasaan dan hati terbuka memutuskan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis setelah menyedari ada perbezaan dalam kami berkarya," katanya ketika ditemui pada pelancaran album dan MTV karaoke Seventeen di Hotel Vistana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung pemuda berusia 27 tahun itu, sebelum Seventeen menjejakkan kaki ke gelanggang muzik arus perdana sedekad yang lalu, mereka sebenarnya sudah memiliki dua vokalis yang kemudiannya turut meninggalkan kumpulan itu.
"Dalam keadaan mahu memantapkan diri dalam bidang seni dan bersaing dengan pemuzik lain, akhirnya kami menemui Doni untuk dijadikan sebagai penyanyi utama kumpulan ini.
"Malangnya apabila jodoh Seventeen dengan Doni tidak kekal berpanjangan kerana terdapat perbezaan ketara terhadap visi dan matlamat masing-masing dalam berkarya.
"Alhamdulillah, kami berjaya menemui Ifan yang banyak membawa nama Seventeen ke tahap lebih teratas. Harapan kami agar tidak ada sebarang pertukaran ahli lagi selepas ini," jelasnya bersungguh-sungguh.
Tidak ketinggalan, Yudi memohon agar Seventeen dapat kekal dalam kondisi seadanya sampai bila-bila dengan penyertaan Ifan. Bahkan setiap individu dalam kumpulannya itu digalakkan untuk mengamalkan sikap bertolak-ansur dalam melaksanakan apa jua tindakan yang berkaitan kerjaya.
"Kami seboleh-bolehnya mahu menerapkan komunikasi yang baik di antara satu sama lain dan tidak sesekali bercakap yang kurang enak di belakang kalau ada sebarang perasaan tidak puas hati.
"Sekiranya menghadapi masalah yang melibatkan kerjaya seni, kami kena bijak untuk melaksanakan perbincangan lantas menyelesaikan segala kekusutan yang dialami dalam atmosfera aman.
"Maknanya jika ada pertelingkahan dalam berkarya mahupun perselisihan pendapat peribadi maka salah seorang daripada kami kena meluahkannya dengan matang dan selalu mengalah.
"Sama saja macam lagu Selalu Mengalah yang dimuatkan ke dalam album ketiga kami. Tidak boleh sesekali bersikap individualistik apabila berdepan dengan permasalahan yang melibatkan sebuah kumpulan yang ada ramai ahli," jelasnya sambil bercanda.
Kemunculan Ifan dalam Seventeen tidak dinafikan banyak memperlihatkan impak tersendiri. Ifan ditafsirkan sebagai individu yang menyuntik pembaharuan dalam kumpulan tersebut untuk terus sukses.

Perkara itu diakui sendiri oleh Yudi dan empat anggota Seventeen lain tentang rakan seperjuangan baru mereka, Ifan yang diperhatikan mempunyai vokal dalam bunyi serta lenggok Melayu dan kedengaran sedikit rock.
"Vokal Ifan boleh didengari dalam genre rock yang mempersembahkan irama lebih segar sekali gus muncul dalam suasana yang berbeza berbanding dua buah album kami sebelumnya.
"Memanglah album sebelum ini, Bintang Terpilih yang dihasilkan pada tahun 2003 dan Sweet Seventeen (2005) ada kelainannya antara satu sama lain walaupun kami masih mengekalkan jalur muzik yang bercorak pop seventeen.
"Kalau dinilai dari segi persembahan dalam album terbaru ini pula, muzik Seventeen kini terarah menjadi lebih matang. Ia dapat dibuktikan dengan bunyi gitar, bass dan dram yang lebih terbentuk dengan konsep tersendiri.
"Perubahan lainnya adalah dengan sentuhan alunan piano, string dan sesyen brass pada beberapa lagu yang menghembuskan nafas baru kepada Seventeen," ujar Yudi.
Seventeen jadi lelaki hebat
Mengulas signifikan Lelaki Hebat yang diangkat sebagai judul dalam album Seventeen, Yudi memberitahu, bukan niat mereka untuk berbangga diri mengatakan kumpulan tersebut hebat.
Bahkan jauh sekali untuk menunjukkan kenyataan bahawa Seventeen sukar dikalahkan oleh pemuzik lain yang ada di negara mereka.
"Kami tidak berasa diri bagus ditambah kami masih mahu membina populariti dalam dunia seni Indonesia lantas mengembangkan sayap yang lebih jauh ke Malaysia.
"Orang ramai terbiasa mendengar konotasi lelaki hebat diukur menerusi otot yang sasa dan pemikiran. Tetapi pengertian Lelaki Hebat kepada Seventeen cukup berlainan sama sekali daripada tanggapan sebelumnya.
"Lelaki Hebat kepada kami bermaksud golongan lelaki yang mengutamakan perasaan dan nalurinya apabila berdepan dengan sebarang situasi yang menyulitkan.
"Lelaki yang diibaratkan ini tidak kisah untuk mengalah atau tunduk terutama bagi mengambil hati wanita yang begitu disayanginya," ungkap Yudi menjelaskan relevan Lelaki Hebat menjadi tajuk album ketiga Seventeen.
Ingin kongsi bakat seni
Walaupun sudah menghasilkan dua buah album sebelum ini, Seventeen masih belum berpeluang melangkahkan kaki ke Malaysia. Hanya dengan kemunculan Lelaki Hebat, barulah Seventeen berhasil menerobos ruang angkasa di negara ini setelah lagu hit mereka, Selalu Mengalah menjadi siulan masyarakat.
Rupa-rupanya, ada cerita di sebalik mengapa Seventeen terus sedia menanti di Indonesia tanpa mampu berbuat apa-apa untuk menjengah pasaran Malaysia.
"Kami berdepan dengan masalah keterbatasan untuk mempromosikan kedua-dua album terdahulu.
"Ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Siapa saja yang tidak mahu menghiburkan peminat di negara luar. Cuma kami harus bersabar sebelum menantikan waktu yang sesuai.
"Kini kami bersyukur sangat sebab akhirnya dapat bertemu peminat di Malaysia lalu mempromosikan album baru ini kepada kalian," tutur Yudi sempat tersenyum simpul.

Dalam pada itu, Ifan tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira dapat mempromosikan album ketiga Seventeen ke Malaysia lalu melebarkan pengaruh mereka kepada khalayak tempatan.
"Secara peribadi saya sungguh teruja dapat berada di Malaysia ditambah saya dan Bani ada saudara-mara di sini.
"Mereka (saudara-mara) tahu kami menyanyi dan bergelar artis. Cuma mereka berasa sedikit terkilan kerana CD kami sebelum ini belum menjengah di pasaran tempatan.
"Saya mewakili kumpulan Seventeen mengharapkan agar kami dapat diterima dengan hati terbuka oleh peminat di negara ini.
"Kami sekadar mahu berkongsi karya dan bakat seni yang dimiliki dengan rakyat di Malaysia. Jangan ada sikap skeptikal atau sebarang perasaan diskriminasi terhadap penggiat seni Indonesia.
"Pemuzik Malaysia juga diterima dengan baik oleh rakyat kami. Oleh itu, tiada salahnya kalau kita saling berkongsi seni yang sifatnya cukup luas ini di antara satu sama lain tanpa ada batasan," terang Ifan yang sempat membahas kehebatan artis Malaysia, Winnie K dan Hujan yang berjaya melakar kemasyhuran di Indonesia.
Album Lelaki Hebat yang menampilkan lagu-lagu seperti Untuk Mencintaimu, Jalan Terbaik, Cinta Tak Bertuan, Takkan Menyerah, Datang Padaku, Saat Harus Memilih dan Semua Untukmu sudah berada di pasaran tempatan sejak 3 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: