Wednesday, July 22, 2009

Bukan lelaki Inggeris!

Siapa yang tidak mahu kahwin dan mempunyai teman hidup yang akan menyokong apa saja yang saya lakukan. Apa yang boleh saya katakan setakat ini, memang saya dalam proses berkenalan dengan seseorang dan dia orang biasa




STATUS janda atau ibu tunggal yang dipikulnya sejak dua tahun lalu setelah bercerai dengan bekas suaminya yang juga seorang penyanyi dan komposer terkenal, Ajai kini dirasakan semakin berat.

Itulah pengakuan telus daripada penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah hasil perkongsian hidup bersama Ajai.

Menurutnya, sebelum menjalani kehidupan sendirian, dia langsung tidak pernah terfikir akan kesukaran memikul beban seorang ibu tunggal.

"Dulu saya tidaklah rasa berat sangat tetapi lama-kelamaan bila banyak cerita yang kurang manis tentang saya muncul di media cetak dan media massa yang lain baru saya tahu betapa beratnya status yang saya pegang sekarang ini.

"Tambahan pula pekerjaan saya sebagai seorang penyanyi dan pelakon, lagi senanglah orang nak mengata buruk tentang saya. Kadang-kadang saya terfikir lebih baik saya cepat kahwin tetapi mengenangkan kahwin untuk tutup mulut orang, rasanya tidak perlu.

"Saya bahagia dan gembira dengan kehidupan saya sekarang. Masa yang kosong diisi dengan kerja, buat apa saya nak sedih kerana kehidupan harus diteruskan," ucapnya penuh semangat.

Wanita berusia 31 tahun ini turut menafikan desas-desus kononnya dia pernah dilihat sedang menjamu selera dalam keadaan penuh romantis bersama seorang jejaka Inggeris di London tidak lama dulu.

"Saya tidak pernah ke London untuk bertemu dengan jejaka yang didakwa. Rasanya orang yang nampak saya itu tersilap pandang agaknya," katanya sambil ketawa.

Apabila ditanya soal hati, Nurul mula tersenyum dan tersipu malu. Meskipun mahu menyembunyikan cinta yang mula bersarang di hati tetapi dek asakan daripada pihak media, akhirnya Nurul mengalah.

Namun, Nurul dengan penuh tertib dan sopan menegaskan lelaki istimewa itu bukan seorang yang berpangkat atau bergelar Datuk mahupun Tan Sri, sebaliknya hanya orang biasa sahaja.

"Apa yang boleh saya katakan setakat ini, memang saya dalam proses berkenalan dengan seseorang dan dia orang biasa. Doakan yang terbaik buat saya," ujarnya.

Menyentuh soal menamatkan zaman solo, memandangkan Ajai bakal berkahwin lagi pada bulan Ogos depan, Nurul bagaimanapun hanya melempar senyuman.

Lama dia terdiam, sebelum berkata: "Siapa yang tidak mahu kahwin dan mempunyai teman hidup yang akan menyokong apa saja yang saya lakukan.

"Tetapi saya takut untuk bercakap lebih-lebih kerana bimbang perkara yang dirancang tidak jadi dan membuatkan hubungan yang baru terjalin menjadi keruh ekoran tumpuan media.

"Memanglah saya artis tetapi orang yang saya berkawan itu bukannya artis. Saya tidak mahu menakutkan mereka, rasanya lebih baik biar hubungan berjalan secara semulajadi. Kalau ada apa-apa berita gembira baru saya akan umumkan tetapi bukan dalam masa terdekat," ulasnya jujur.

Imej semakin seksi

Nurul yang ditemui pada majlis pelancaran majlis pelancaran album terbarunya yang berjudul Tika Cinta di Bangkok Jazz Thai Bistro, Chulan Square, Kuala Lumpur baru-baru dilihat semakin seksi penampilannya daripada biasa.

Mungkin kerana status ibu tunggal yang dipikulnya menyebabkan dia tanpa segan silu menggubah imej diri.


SEJAUH manakah kebenaran spekulasi mengenai Nurul yang dikatakan bercinta dengan seorang lelaki Inggeris?


Sungguhpun begitu tegas Nurul, perubahan imej yang lebih seksi bukanlah kerana status tetapi penjenamaan semula dirinya sebagai penyanyi.

"Imej duet saya bersama Ajai terlalu kuat sampai ada orang kata boleh ke saya menyanyi solo. Sebab itu, perubahan imej amat perlu. Dulu masa dengan Ajai saya seksi juga tetapi orang tak ambil pusing kerana saya ada suami.

"Kalau nak ikutkan saya selalu tampil begini, sejak zaman anak dara ketika keluar album pertama pun saya ada tampil seksi tetapi orang tak nampak kerana lepas kahwin imej berubah sedikit demi sedikit.

"Bagi saya seksi biarlah bertempat, jangan sampai terlalu menjolok mata. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai ibu dan artis. Kalau pada majlis yang membabitkan golongan korporat dan istana, saya berpakaian lebih sopan," ujarnya yang turut berlakon dalam drama bersiri E-toyol.com.

Nurul yang kini bernaung di bawah Metadome Sdn. Bhd. semakin selesa apabila lagu-lagu solonya semakin diterima ramai.


NURUL memiliki sebab penting kenapa dia kini muncul dengan imej yang lebih seksi.


Mana tidaknya, album solo terbarunya itu menampilkan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik berpengalaman seperti Sharon Paul, Mable Lew, Abie Abdullah, Fedtri Yahya, Sulu Sarawak, Johar Lucas, Tam Spider dan Allahyarham Rosli Khamis (Loloq).

Apa yang menariknya dalam album baru yang masih mengekalkan genre pop seperti album terdahulunya, Nurul juga menampilkan bakat sebagai komposer bersama Tam Spider dan M. Nasir menerusi lagu berjudul Bukan Cermin Di Hati.

"Kerjasama saya dengan komposer dalam album ini cukup serasi. Apa yang boleh saya simpulkan, komposer memberi jiwa pada lagu ciptaan mereka.

"Mereka juga merujuk pada personaliti saya untuk disesuaikan dengan kisah sesebuah lagu. Seperti Sharon, dia kreatif dan mempunyai sentuhan muzik berbeza.

"Sebenarnya, ada banyak lagu yang saya dapat untuk album baru ini. Bagaimanapun, saya hanya pilih tujuh lagu terbaik untuk dimuatkan dalam album," katanya.


TIDAK berselindung, Nurul mengakui sedang dalam proses berkenalan dengan seseorang.


Selain lagu Bukan Cermin Di Hati, albumnya turut memuatkan lagu seperti Tika Cinta, Kala Hati, Sepenuh Jiwa, Jadikan Aku Bintang, Tertutup Hati dan Tangis Syukur.

Nurul yang berkesempatan menyanyikan beberapa lagu baru sempena pelancaran albumnya membuktikan masih mempunyai vokal mantap dan mampu memberi kejutan buat peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: