
KEK fondant atau gula aising, mungkin tidak sepopular kek-kek lain yang terdapat di pasaran. Namun, kebelakangan ini cita rasa masyarakat yang semakin berubah membuatkan kek fondant semakin digemari.
Tergolong dalam kategori kraf gula, fondant diperbuat daripada gula aising yang dibancuh bersama bahan lain seperti glukos cecair, gliserin dan lelemak sayuran. Teksturnya umpama doh roti, lembut tetapi tidak mudah cair menyebabkan ia diminati ramai.
Paling unik, doh putih itu boleh diwarnakan mengikut warna kegemaran, dicanai dan dibentuk mengikut apa sahaja bentuk yang dipilih.
Daripada doh tersebut, pembuat kek boleh menghasilkan beraneka bunga comel, haiwan seperti beruang kecil, reben, bakul dan sebagainya.
Harga mahal
Disebabkan keunikan bentuknya, kek fondant biasanya dijual pada harga yang agak tinggi dan bergantung pada nilai seninya.
Semakin sukar seni hiasan yang dibuat, semakin tinggi harga kek yang dijual. Setiap kek berhias bersaiz sebesar tapak tangan dijual pada harga antara RM25 hingga RM35, manakala kek hantaran yang tinggi nilai seninya dijual pada harga antara RM200 hingga RM350 sebiji.
Kini kek fondant mulai mewarnai pelbagai majlis di negara kita. Sama seperti di negara Barat, kek fondant menjadi kek di meja utama pada majlis perkahwinan, hari jadi, meraikan tetamu atau sebagai cenderamata.
Sejajar dengan keunikannya, Utusan Malaysia melalui sisipan Mega bersama Marjerin Daisy dan D Flowers Cake, akan menganjurkan Bengkel Hias Mini Fondant pada 26 Julai ini di Dewan Bola Tampar MBSA, Seksyen 4, Shah Alam.
Bengkel yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta cara-cara untuk menghasilkan doh fondant yang baik, lembut, mewarna doh, mencanai seterusnya diajar secara praktikal menghias berdasarkan lima teknik berbeza.
Dalam pada itu, pertandingan tersebut turut mendedahkan cara penghasilan royal aising iaitu sejenis krim putih yang sering digandingkan bersama fondant sebagai hiasan.
Menyedari kek ini mempunyai potensi yang cukup besar dalam bidang perniagaan, peluang itu tidak harus dilepaskan kerana ia merupakan aktiviti asas dalam penghasilan kek fondant dan terbuka kepada semua peserta amatur.
Kepada yang berminat, mereka digalakkan membawa beberapa peralatan asas seperti berus warna kecil, crimpers (penyepit), kayu pencanai, pembentuk bunga kecil, pembentuk daun, gunting hujung tajam, potongan renda, pewarna dan peralatan asas fondant.
Fondant mini
Namun begitu sekiranya tidak memiliki peralatan berkenaan para peserta boleh mendapatkannya di bengkel itu yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Kepada yang berminat, yuran penyertaan sebanyak RM280 seorang meliputi makan minum, cenderamata, cabutan bertuah dan sijil penyertaan.
Paling menarik, setiap peserta bakal membawa pulang lima kek fondant mini yang dihias sendiri. Selain itu, penganjur turut mengadakan Bengkel Roti dan Kek yang dilancarkan esok (Sabtu) dengan yuran penyertaan sebanyak RM190 seorang di tempat yang sama bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu yuran penyertaan RM200 pula dikenakan untuk siri ketiga, Bengkel Biskut Raya dan Tatlet pada 8 Ogos ini di Senai, Johor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: