Friday, July 24, 2009

Kekuatan hayun kayu pemukul


NORLIN ISMAIL


DEWASA ini kebanyakan sukan tidak lagi dimonopoli oleh kaum lelaki. Hari ini, sukan lasak turut mencuri perhatian golongan wanita.

Antaranya termasuklah futsal, bola sepak, ragbi dan sukan ekstrem lain seperti mendaki dan triatlon. Bagaimanapun, antara sukan yang paling jarang diperkatakan dalam kalangan kaum wanita ialah polo.

Walaupun polo sebenarnya sudah sekian lama bertapak di negara ini, namun sukan berprestij itu hanya lewat kebelakangan ini memperlihatkan kehadiran kaum Hawa di pentas sukan tersebut.

Kejohanan Polo Wanita 2009 yang julung kalinya diadakan di Royal Selangor Polo Club, Ampang Hilir baru-baru ini, antara acara yang berjaya mencungkil minat kaum Hawa.

Lincah

Kesungguhan para pemain yang terdiri daripada golongan wanita beraksi di padang sungguh mengagumkan. Mereka mempamerkan aksi lincah sehingga berjaya menarik perhatian para penonton.

Menceritakan bagaimana pemain-pemain ini mula meminati sukan yang penuh dengan cabaran, pemain polo profesional, Norlin Ismail, 36, memberitahu, dia sanggup menghabiskan waktu terluang semata-mata untuk mempelajari teknik menguasai sukan polo.

Ini kerana sukan tersebut bukan sahaja memerlukan kekuatan tenaga menghayunkan kayu pemukul polo, bahkan daya kemahiran yang tinggi untuk menunggang kuda.

"Saya berlatih setiap hari pada sebelah petang kecuali hari Isnin. Mulanya saya anggap untuk suka-suka sahaja, tetapi lama-kelamaan saya merasakan minat ini perlu diperluaskan lagi dengan mempelajari teknik bermain polo.

"Ini kerana mungkin ketika itu tidak ramai golongan wanita yang benar-benar berani untuk serius dalam sukan polo," katanya yang mempunyai lima tahun pengalaman selama lima tahun dalam sukan mewah itu.

Meskipun bergelar ibu kepada tiga orang cahaya mata, minatnya yang mendalam terhadap sukan ini tidak membataskan dirinya untuk aktif.

Malah, Norlin turut mengajak anaknya untuk mendalami sukan berkuda seterusnya memahirkan diri mencuba sukan polo.

Persepsi

Bagaimana dengan tanggapan masyarakat yang sering mengaitkan sukan polo sebagai salah satu sukan golongan kaya sahaja?


JENNIFER TOO


"Ia satu persepsi yang tidak tepat. Orang ramai yang mahu mencuba atau bergiat serius dalam polo tidak semestinya dalam kalangan orang kaya atau memiliki kuda persendirian.

"Jika diperhatikan semakin banyak kelab polo membuka peluang untuk orang ramai yang berminat mencuba atau belajar bermain polo dengan harga berpatutan.

"Kebiasaannya pakej yang menyediakan seekor kuda dan khidmat jurulatih hanya berharga sekitar RM80 untuk setiap sesi yang dijalankan kira-kira 45 minit," katanya.

Tambah beliau, polo adalah antara sukan berkuda paling mencabar dan agresif. "Berbanding sukan berkuda lain seperti acara lumba atau lompat berhalangan, dalam sukan polo pemainnya perlu menggabungkan kemahiran olahraga dan kecekapan menunggang kuda.

"Konsepnya tidak jauh beza dengan sukan bola, cuma pemain polo beraksi merebut bola sambil menunggang kuda," katanya.

Bagaimanapun akuinya, polo dalam kalangan kaum lelaki lebih agresif dan lasak berbanding wanita kerana kudrat lelaki menunggang dan memukul bola lebih kuat.

Berkongsi minat yang sama, rakan sepasukan Norlin, Jennifer Too, 31, memberitahu, dalam permainan polo ia melibatkan pertarungan dua pasukan yang dianggotai empat pemain. Kemenangan akan dikira melalui jaringan bola yang disumbat ke gawang gol lawan.

Setiap sesi dipanggil chukkers yang tempoh masa hanya tujuh minit dengan kebiasaannya terdapat enam chukkers dalam satu perlawanan.

Risiko cedera


NAMPAKNYA, kini sukan polo semakin mempengaruhi kaum wanita untuk mendalaminya secara serius.


Keempat-empat kaki kuda polo yang digunakan akan dibalut untuk melindungi daripada kecederaan manakala ekor mereka diikat untuk meminimumkan gangguan ketika perlawanan berlangsung.

"Selain berkuda, setiap pemain perlu menggunakan kayu pemukul yang berukuran antara 122.5 sentimeter (sm) hingga 132 sm yang diperbuat daripada buluh atau damar manakala bahagian tukulnya daripada pokok dedalu.

Dalam pada itu, bola pula diperbuat sama ada daripada buluh, dedalu, damar atau kulit dengan diameter kira-kira 8.75 sm dan berjisim 127 gram.

Namun, faktor keselamatan perlu dititik beratkan oleh pemain. Setiap pemain harus dilengkapi dengan pemakaian helmet dan pelapik lutut.

Oleh kerana sukan itu membabitkan kuda iaitu sejenis haiwan lasak, berkemungkinan penunggang berdepan dengan pelbagai risiko kecederaan.

Namun, dengan penguasaan teknik permainan yang betul, risiko ini mampu dielakkan.

"Pemain harus mampu berkomunikasi dengan kuda secara baik dan sebelum memulakan sebarang latihan, kuda tersebut mestilah membiasakan diri dengan padang yang akan digunakan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: