Hubungan sesama anggota kumpulan Hujan semakin akrab. |
Hujan mula gentar, berikrar tidak mahu jaja cerita peribadi anggota kumpulan
PERPECAHAN kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) secara rasmi 25 Jun lalu bukan saja dirasai peminat malah teman seperjuangan yang sama-sama memulakan karier nyanyian dari aliran bawah tanah (underground) turut merasakan tempiasnya.
Berita pengunduran Lan dari MUH sedikit sebanyak turut dirasai kumpulan Hujan yang melangkah ke arus perdana sama waktu dengan kumpulan itu. Perpecahan kumpulan itu secara tidak langsung kata vokalis Hujan, Noh memberi pengajaran kepada mereka.
“Peristiwa yang menimpa MUH secara tidak langsung menjadikan hubungan sesama anggota Hujan menjadi bertambah rapat. Apa yang berlaku kepada mereka, kami jadikan teladan. Hujan akan memastikan tidak menjaja cerita peribadi kepada umum kerana perkara seumpama itu boleh menjejaskan hubungan sesama ahli kumpulan,” kata Noh yang ditemui pada sidang media mengumumkan Showcase kumpulan itu sempena ulang tahun Restoran Kunang Kunang pada 24 Julai ini.
Walaupun bukan dari kumpulan yang sama, Noh berkata hubungan Hujan dan MUH akrab. Mereka mula berkenalan sejak sama-sama menceburi arus muzik underground. Pencapaian yang diraih dalam arus muzik perdana turut dilalui bersama. Kekerapan membuat persembahan bersama menambahkan lagi keakraban mereka.
“Sedih juga kami menerima berita pengunduran Lan dari MUH. Iyalah kita sama-sama naik, selalu mengadakan persembahan di tempat yang sama dan selalu juga kami bergabung. Apabila mendengar cerita macam ini tentulah kami berasa sedih.
“Kami ada juga memperkenalkan seorang rakan bernama Fariz kepada kumpulan MUH. Dia boleh menyanyi, kami perkenalkan dia untuk memastikan nama MUH terus ada dalam industri ini. Kami tak mahu MUH tenggelam tetapi setakat ini tidak tahu lagi apa keputusan mereka,” kata Noh.
Jika kumpulan MUH bergelora kerana masalah yang timbul antara ahli kumpulannya, Hujan pula satu ketika dulu pernah dicerca kerana sikap vokalisnya yang dituduh besar kepala dan tidak mesra media. Noh mengaku pernah tersilap langkah satu ketika dulu kerana merasai kejutan budaya tetapi setelah hampir dua tahun Hujan melakar nama dalam arus perdana, Hujan mula menyedari betapa besarnya peranan media kepada kerjaya mereka.
Alasan Noh, dia tidak menjangka kemunculan Hujan menerusi lagu pengenalan pertama mereka ke arus perdana, Pagi Yang Gelap memberi impak kepada industri, sekali gus mendapat perhatian meluas peminat dan media.
Showcase perkenal album kedua di Restoran Kunang Kunang
SELEPAS album pertama mereka yang mengambil judul Hujan diluncurkan 1 Ogos tahun lalu, kumpulan yang kini dianggotai Acer (dram), Jaja (bass), Dimas (keyboard) dan AG (gitar), bakal muncul dengan album penuh kedua mereka penghujung Julai ini.
Kesempatan menjayakan showcase sempena ulang tahun Restoran Kunang Kunang pada 24 Julai mulai 9 malam, Hujan bakal memperkenalkan peminat dengan lagu daripada baru dari album kedua mereka Mencari Konklusi.
Noh berkata, album yang dihasilkan dalam tempoh sebulan itu dihasilkan dengan lebih berhati-hati, tidak seperti album pertama mereka dulu yang tangkap muat kerana kemunculan album berkenaan tidak dirancang. Dia sendiri tidak merasai keindahan album itu.
Selain dihasilkan dengan teliti, album yang masih belum ditentukan pengedarannya itu juga dihasilkan dengan lebih kemas. Material yang disumbangkan anggota kumpulan itu sendiri mendapat sentuhan pemuzik terkenal yang dipertanggungjawabkan mengadun lagu bagi mencantikkan lagi album terbaru mereka itu.
Masih dengan konsep yang sama, Noh berkata Hujan selesa dengan genre yang diketengahkan sekarang. Mungkin bagi sesetengah orang Hujan tiada pembaharuan tetapi menurut Noh pula, mereka melakukan sesuatu mengikut cita rasa sendiri.
Tiket bagi menyaksikan showcase Hujan boleh didapati di Akustik Music Station di Kompleks Pertama dengan harga RM 38.
Pengarah Urusan Restoran Kunang-Kunang, Syamsul Hisham berkata, Hujan dipilih kerana populariti kumpulan itu dan percaya mereka dapat menarik peminat untuk ke showcase berkenaan. Sebelum Hujan, Papa Rock, Ramli Sarip pernah membuat persembahan di sana bersama The Soul Journey pada Mei 2007.
Hujan nombor 1 carta muzik indie Indonesia
BIARPUN sukar menembusi pasaran Indonesia, apatah lagi pandangan masyarakat negara itu yang masih lagi stereotaip terhadap muzik Malaysia, Hujan berjaya mendapat sedikit tempat di sana tatkala berkunjung ke negara jiran itu Mac lalu.
Muzik mereka tidak hanya berjaya menembusi secara underground, malah Hujan juga berjaya memasuki arus perdana. Tanggapan mengenai kesukaran artis kita mencari peluang di sana tidak seperti dulu, malah banyak band indie sudah pun ke sana untuk berkongsi muzik mereka.
“Pemergian kami ke sana boleh dianggap berjaya dan ramai juga yang bercerita mengenai Hujan. Kami berjaya muncul di stesen Antv, juga di stesen radio dan turut membuat persembahan di Hard Rock Cafe, Jakarta.
“Kami mendapat sambutan yang baik ketika persembahan di sana malah lagu kami turut muncul nombor satu beberapa kali dalam Carta Muzik Indie di sana dan ini adalah satu permulaan baik untuk kami membina nama di sana,” kata Noh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: