Monday, July 13, 2009

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga


Ako bahagia bersama isteri, Kartina yang kini hamil anak sulung.

Dihimpit kes tuduhan berkhalwat, Ako Mustapha berasa perit tawaran berlakon ditarik balik

MUNGKIN ada hikmah terselindung di sebalik apa yang sedang dihadapi pelakon Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37. Pepatah sudah jatuh ditimpa tangga sesuai menggambarkan situasi yang dihadapi aktor yang juga suami kepada Kartina Shuaib Abdullah, 29.

Di saat pelakon drama Sephia dan Kapten Boleh itu berdepan dengan kemelut kes mahkamah gara-gara tuduhan berkhalwat dua tahun lalu, isterinya pula disahkan hamil awal April lalu. Terbaru, ada cerita kurang enak lagi menyesakkan jiwa Ako apabila dikatakan kononnya sudah disenarai hitam daripada muncul di stesen TV.

Keadaan itu pastinya sedikit sebanyak akan menjejaskan pintu rezekinya yang selama ini cukup lebat menerima undangan berlakon. Ako sendiri mula tertanya-tanya kenapa tak semena-mena beberapa tawaran berlakon yang kunjung tiba ditarik kembali pada saat akhir.

Persoalan apakah perkara sedemikian terjadi dek kisah hitam (khalwat) yang terpalit dalam ruang hidupnya masih menjadi tanda tanya. Bertemunya baru-baru ini ditemani isteri tersayang di butik Calvin Thoo, Hip berkesempatan menyelami getar perasaannya yang bercampur baur. Pereka fesyen itu juga berkawan baik dengan Ako sejak sekolah lagi.

Pintasnya di awal bicara, kemunculannya di media bukan atas dasar untuk terus meraih simpati atau jauh sekali merayu mengharapkan tawaran berlakon akan singgah kepadanya.

Katanya, bimbang juga ada pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan di atas permasalahan yang melanda.

“Kalau ikutkan hati, saya lebih mahu berdiam diri daripada terus menjadikan isu (kononnya digam stesen TV). Kalau tanya kepada saya sekalipun, saya sendiri tiada penyelesaian atau jawapan kepada isu ini. Kenyataan saya di dalam akhbar sebelum ini (mengenai artikel di Betul atau tidak digam? di Harian Metro bertarikh 29 Jun) pun atas desakan isteri dan kawan-kawan untuk berbuat demikian.

“Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) turut menyatakan kesudian untuk membawa perkara ini ke peringkat seterusnya. Tetapi sebolehnya, saya tidak mahu terus-terusan dianggap cuba mencipta publisiti murahan. Peguam saya sendiri suruh tunggu saja daripada membuat tindakan melulu. Harapan saya supaya isu ini akan cepat selesai dan biarlah saya simpan sendiri rasa dan pendapat di dalam hati,” kata Ako Mustapha.

Paling mengharukan Ako sendiri ialah sokongan isteri, keluarga dan rakan seperjuangan yang tidak putus-putus ketika dia berdepan dengan ‘kesusahan’ termasuk sewaktu kesnya didengar di mahkamah.

Kata Ako, ini bukti bahawa dia masih mempunyai kawan yang sudi berkongsi ‘derita’ dan kepayahan yang melanda hidupnya.

Selain dibantu sokongan moral dan material insan mulia itu, faktor lain yang terus membuatkan dia menjadi tabah ialah kedegilan sikapnya sendiri. Malahan menerusi amalan pembacaan buku motivasi, Ako ada alasan untuk tegar meneruskan kehidupan mendatang.

“Setiap sebulan, saya akan membaca buku bersifat motivasi dan mendidik . Antaranya seperti buku tulisan Steven R Covey, The Seven Habits Of Highly Effective People. Dalam buku itu ada menyebut tidak perlu bimbangkan perkara yang tidak penting kerana pada akhirnya ia hanya akan merugikan masa dan tenaga saja. Apabila diamati, banyak juga perkara logik yang saya peroleh dengan membaca buku sebegitu.

“Saya jenis orang berpelajaran, lalu saya boleh bezakan perkara yang perlu atau tidak. Kedegilan yang saya praktikkan bukan kedegilan yang bodoh, sebaliknya kedegilan yang berasas. Apapun, saya bertuah untuk mempunyai kawan yang bersedia membantu mengurangkan beban yang saya alami. Saya cukup menghargai nilai persahabatan yang terjalin ini,” katanya sambil menyebut beberapa nama rakan artis seperti Afdlin Shauki, Azhar Sulaiman dan Ziela Jalil antara sebahagian insan yang setia memberi bantuan.

Tanpa berselindung, Ako menjelaskan dengan keadaannya yang masih belum setahun berkahwin ditambah dengan anak yang dikandung isterinya, sudah semestinya banyak wang yang diperlukan. Namun, Ako sedar rezeki itu ada di mana-mana jika diiringi dengan usaha.

“Apabila timbul masalah ini, saya banyak membuat perkara yang jarang dibuat selama sibuk di lokasi penggambaran. Di samping melakukan aktiviti membaca, saya ada masa bertemu kawan lama. Saya juga ada masa yang banyak untuk dihabiskan dengan isteri dan keluarga. Saya juga ada masa terluang untuk dihabiskan pasti dengan isteri saya.

“Dengan keadaan isteri yang mengandung, kalau tak cukup duit susah juga dibuatnya nanti. Kos masuk hospital saja memerlukan anggaran wang yang banyak. Dia beberapa kali pernah mengalami pendarahan. Mungkin juga masalah yang saya hadapi, memberi kesan kepadanya dan anak dalam kandungan.

“Apa terjadi saya tidak boleh berdiam diri biarpun bidang lakonan menjadi kecintaan saya selama ini. Saya mungkin akan bekerja di belakang tabir. Ia hanya sekadar perancangan. Kalau nak buat duit, memang boleh buat. Hendak seribu daya. Dalam al-Quran ada menyebut, jangan membunuh anak kerana takutkan kemiskinan sebaliknya kita masih ada Tuhan untuk meminta bantuan,” katanya.

Dalam sisi lain, Ako juga tidak dapat menyembunyikan perasaan untuk bergelar bapa. Keterujaannya memang tidak dapat disembunyikan, malah kenaikan berat badan Ako juga membuktikan betapa bahagianya kini menikmati hari indah.

“Bayangkan kalau isteri saya memesan makanan, apabila makanan itu tak habis, saya pula yang tolong habiskan. Kami pun kekurangan duit, lalu, sayang dan membazir sangat kalau dibiarkan makanan itu. Menghitung hari bergelar bapa, sebenarnya sudah lama saya menantikan detik itu.

“Lagipun, sudah lama saya hidup ‘solo’ dan saya harus bijak untuk menghadapi situasi ibu mengandung. Tiada penyesalan untuk apa yang saya bakal lalui kelak. Saya juga mula berfikir dengan cara berbeza. Jika dulu saya hanya mementingkan diri, kini saya harus mula memikirkan soal isteri dan anak yang bakal dilahirkan,” kata Ako.

Sementara itu, Kartina yang ditemui, memberitahu perkara yang sedang dihadapinya suaminya itu dianggap sebagai dugaan selepas berkahwin. Jika dia tidak berbadan dua, mungkin dia boleh bekerja membantu mengurangkan masalah suaminya.

“Semua yang berlaku seakan ada hikmah tersembunyi. Satu persatu keajaiban nampak di depan mata. Ingatkan hanya kami berdua saja yang ada untuk berdepan dengan masalah ini. Sangkaan itu meleset apabila ada kawan-kawan yang setia menghulurkan bantuan. Saya percaya dan yakin suami saya berada di pihak benar.

“Tak saya nafikan juga, anak di dalam perut ini juga sentiasa memberikan kami rezeki. Dugaan ini terus membuatkan kami tegar bersabar. Benda sudah nak jadi, apa yang kita boleh halang. Pada permulaan masalah ini memuncak termasuk kes mahkamah, dia (Ako) memang tertekan. Tapi semakin hari, saya lihat dia semakin tabah.

“Saya sendiri hampir tiga kali keguguran apabila terkesan dengan masalahnya. Ketika awal usia mengandung, hampir setiap hari berlaku pendarahan. Tapi kalau sudah tertulis anak dalam perut ini milik kami, dia tetap akan jadi milik kami,” kata Kartina mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: