Diana (kiri) dan Nadiya mempunyai latar belakang pendidikan, namun memilih bidang lakonan untuk mencabar diri di samping menimba pengalaman. |
Drama bersiri yang masuk musim kedua ini akan mula bersiaran di TV3 esok
MEMILIH bidang seni sebagai sebagai kerjaya tetap ada kalanya dipandang sinis sesetengah pihak. Jika dulu ada pandangan lapuk yang mengandaikan kerjaya seni tidak menjamin masa depan. Namun semuanya berbalik kepada soal rezeki serta usaha yang berlipat ganda.
Ada golongan seni yang mampu mengumpul aset dan harta demi masa depan. Malah ada juga yang mampu mempelbagaikan keupayaan yang ada dan tidak hanya terbatas kepada satu ruang lingkup semata-mata. Ada yang mampu membina rangkaian hubungan yang baik hingga mampu membabitkan diri dalam bidang perniagaan seperti membuka restoran.
Berkongsi pendapat mengenai subjek yang diketengahkan Hip ini ialah dua pelakon baru, Diana Amir dan Nadiya Nisaa yang berlakon di dalam drama Impian musim kedua. Paling penting mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang boleh dibanggakan.
Drama yang dibawakan khas oleh jenama penjagaan rambut Sunsilk itu kembali bersiaran di TV3 setiap Selasa mulai esok. Diarahkan Shamyl Othman dan Imri Nasution, Impian masih mengekalkan beberapa wajah asal musim pertama seperti Diana Amir, Wardina Saffiyah dan Esma Danial. Nadiya Nisaa, Lufyah, Kamal Adli dan Liyana Hashim antara muka baru yang diperkenalkan buat musim ini.
Bagi watak utama drama ini iaitu Aleeya yang dipegang Diana Amir kerjaya lakonannya yang bermula sejak April tahun lalu sebenarnya ditentang keluarga kerana bimbang fokusnya terhadap pelajaran dalam ijazah Pengurusan Sumber Manusia akan terabai. Namun selepas hampir setahun setengah berjinak-jinak sebagai pelakon, dia berjaya meyakinkan keluarganya bahawa dunia lakonan tidak sesekali mengganggu gugat pelajarannya.
“Ogos ini saya akan menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM). Ketika ini, saya masih menyudahkan baki latihan praktikal di sebuah syarikat di Bangsar sebagai Perunding Sumber Manusia. Selain itu, saya perlu habiskan baki penggambaran drama Impian ini. Kalau ada kelapangan saya masih menerima tawaran berlakon sebagai penampilan istimewa.
“Apabila ada di Kuala Lumpur untuk menjalani latihan praktikal, ia memudahkan saya untuk meneruskan aktiviti berlakon. Kalau dulu saya perlu berulang alik dari Pulau Pinang (USM) ke Kuala Lumpur, ia sedikit sebanyak memenatkan saya. Namun saya berbangga diundang lagi untuk meneruskan kesinambungan drama Impian.
“Saya selesa dengan kru dan persekitaran drama ini. Hubungan kami sesama pelakon cukup rapat. Untuk watak Aleeya kali ini, tiada perubahan ketara sangat dari segi karakter. Cuma bezanya ialah Aleeya kini sudah bertukar kerja dan mempunyai kawan baru. Penggambaran untuk musim kali ini sudah dimulakan sejak hampir dua bulan lalu,” katanya yang akan menamatkan latihan praktikal pada 24 Jun ini.
Ditanya mengenai impian sebenarnya, Diana yang turut membintangi filem Rempit V3, memegang watak kecil sebagai Nina, kekasih kepada Black lakonan Bront Palarae ini tidak menafikan sudah mula mencintai bidang lakonan. Bagaimanapun, dia masih belum terfikir untuk menjadikan lakonan sebagai pilihan masa depannya.
“Saya sendiri sukar mengesahkan apa hala tuju sebenar saya ketika ini. Mungkin selepas tamat pengajian, saya merancang untuk menyambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Barangkali saya akan mencari kerja yang bersesuaian dengan kelayakan yang ada atau menyambung berlakon saja. Saya belum dapat memutuskan lagi,” katanya.
Sementara itu, Nadiya Nisaa pula mula berlakon sejak usia 18 tahun dan ketika itu dia berlakon dalam telefilem arahan Osman Ali berjudul Dengan Nama Cinta. Drama Impian musim terbaru ini adalah drama siri 26 episod yang pertama dilakonkannya. Pembabitannya dalam drama terbitan Red Communications Sdn Bhd itu melalui proses uji bakat yang diadakan, malah disebabkan Nadiya sudah biasa terbabit dalam program terbitan produksi itu.
Memegang watak sebagai Rehan, wataknya kali ini lebih santai dan bersesuaian dengan usianya 24 tahun. Sebelum ini, watak yang sering diterimanya lebih menguji keupayaan lakonannya seperti dalam telefilem Hanya Aku yang memerlukan Nadiya menjadi penagih dadah yang tegar.
Hakikatnya, pelakon berasal dari Kuala Lumpur ini sebenarnya tidak mahu terlalu serius di dalam bidang lakonan biarpun ramai yang memuji bakat seninya.
“Impian saya sebenarnya mahu meneruskan hasrat bekerja dengan syarikat produksi bagi kerja belakang tabir. Dengan kelayakan bidang ijazah Penyiaran yang saya genggam sejak November tahun lalu dari UiTM, Shah Alam, saya lebih cenderung untuk membikin filem pendek atau dokumentari. Jujur saya akui hingga sekarang saya belum memikirkan sama ada mahu serius atau tidak dalam bidang lakonan.
“Tapi bayangkan sejak tamat pengajian, saya tidak putus-putus mencari peluang kerja yang seiring dengan minat sebenar. Bagaimanapun yang dicari tak kunjung tiba, tawaran berlakon pula yang datang tanpa diduga. Akhirnya saya dapat peluang berlakon filem Karaoke, telefilem Cinta Lima Bintang dan drama Impian,” katanya.
INFO: Impian musim kedua
- Disiarkan setiap Selasa jam 11 hingga 11.30 malam mulai 14 Julai ini.
- Siri ini juga memberi peluang kepada penonton untuk menentukan pengakhiran setiap episod yang disiarkan. Pada setiap episod penamatnya akan tergantung dan penonton akan menentukan kesudahan yang dipilih melalui undian SMS.
- Minggu seterusnya, siri akan bermula dengan pengakhiran yang ditentu dan dipilih penonton. Penonton (pengundi) bertuah turut berpeluang memenangi hadiah mingguan dan 10 SMS terawal daripada penonton juga berpeluang memenangi hadiah. Sebarang hebahan mengenai cara undian boleh merujuk siaran TV3.
- Disiarkan sebanyak 26 episod.
- Bertemakan Tentukan Hidup Anda, ia adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Komuniti Sunsilk dalam menerapkan nilai murni dan mesej positif kepada penonton dan pengguna setia produk itu.
- Membabitkan kempen jalanan One Minute to Great Hair dalam setiap episod dan bertujuan memastikan rakyat Malaysia mengenai kepentingan penjagaan rambut dalam masa seminit dengan hanya menggunakan perapi selepas bersyampu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: