Thursday, July 23, 2009

Perebutan karakter gay -Enam aktor bersaing populariti





RAJA AZMI


MENCIPTA kontroversi menerusi judul filemnya, karya terbitan Raja Azmi, ... Dalam Botol belum lagi memulakan penggambaran mahupun mendapat senarai pelakonnya. Namun, pengumuman permulaan produksi itu sahaja sudah cukup untuk menimbulkan isu-isu sensitif dan sensasi.

Bukan sahaja judulnya yang sebelum itu berbunyi Anu Dalam Botol dikatakan tidak sesuai dengan sentimen tempatan, jalan ceritanya juga dilihat terlalu berani untuk santapan penonton. Namun, bagi menghormati kehendak ramai terutama Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), judul filem ditukar kepada ... Dalam Botol.

Raja Azmi mengakui, dia akur dengan keputusan yang telah dibuat tiga minggu lalu dengan membuang perkataan anu. Lagipun dia menganggap penukaran itu satu publisiti tambahan kepada filem itu.

"Saya tidak menganggap penukaran itu satu benda yang negatif kerana mengambil kira nasihat LPF. Namun, ini tidak bermaksud jalan ceritanya akan bertukar.

"Mesej yang ingin disampaikan masih akan kekal tetapi saya akan mengurangkan babak ranjang yang keterlaluan," kata Raja Azmi ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenal Top 6 pelakon utama filem itu.

Watak utamanya, Ruby dan Ghaus hanya akan diketahui pada 16 Ogos nanti apabila keputusan pemilihan yang dibuat oleh penonton menerusi portal hiburan www.murai.com diumumkan. Dalam portal itu, satu klip video untuk keenam-enam calon akan ditayangkan dan penonton boleh mengundi secara SMS.

Ada sebabnya mengapa cara pemilihan pelakon dibuat mengikut kesukaan penonton. Ini kerana mengikut pengalaman Raja Azmi, banyak filem terbitan dia tidak mendapat sambutan. Tidak mahu bersifat syok sendiri tanpa mempedulikan cadangan orang, Raja Azmi kini mahu mengikut selera orang ramai.

"Dulu saya suka buat filem ikut selera sendiri. Jadi sekarang saya mahu memuaskan cita rasa orang ramai. Saya tidak lagi mahu memilih orang yang rapat dengan saya untuk berlakon. Filem ini dibuat untuk tatapan ramai," ujar Raja Azmi lagi.

Dijangka bakal memulakan penggambaran selepas sambutan Hari Raya, Raja Azmi mempunyai idea untuk membikin filem ini tiga tahun lalu selepas mendengar cerita daripada kawan rapatnya. Dia begitu tertarik dengan cerita transeksual itu dan ingin menyampaikan mesej penting kepada orang ramai.

"Saya bukannya cuba mengubah apa-apa tetapi ingin menjadikan filem itu sebagai teladan kepada orang ramai. Bagi mereka yang pernah atau terfikir untuk menjalankan pembedahan transeksual, fikir dua kali. Jangan berkorban keterlaluan kerana cinta," jelasnya lagi.

Calon-calon untuk watak Ghaus ialah Norman Hakim, Wan Raja dan Fauzi Nawawi. Manakala calon untuk watak Ruby ialah Adi Putra, Wan Raja dan Arja Lee. Walaupun hanya seorang akan dipilih untuk watak masing-masing, mereka yang tidak terpilih berkemungkinan besar akan menjayakan watak-watak lain dalam filem itu.

"Watak-watak sampingan lain belum lagi dipilih kerana kami mahu mendapatkan dua pelakon utama dahulu. Kemudian dari situ kami baru dapat mencari aktres yang sesuai untuk dipadankan dengan aktor utama," ujar Raja Azmi.

Kefli sedia terima impak

Bertanding untuk watak Ruby, Kefli pada mulanya juga tidak berani untuk menghadiri uji bakat. Dia juga tidak sedar bahawa filem itu merupakan satu produksi besar dan memerlukan dia menjadi 'wanita'. Apa yang paling mengejutkan adalah apabila dia disenarai pendek sebagai Top 3.

Sudah bersedia jika dia memenangi watak itu, Kefli sedar bahawa watak Ruby itu amat berat kerana belum memulakan rakaman, banyak kontroversi telah timbul. Walaupun tidak meletakkan harapan tinggi, Kefli sedia menyahut cabaran untuk menjadi 'wanita'.

"Saya sudah bersedia menerima impak positif dan negatif menerusi watak itu. Pada saya itu semua adalah lakonan dan saya akan lakukan yang terbaik. Saya tidak kisah persepsi orang dan kita tunggu dan lihat hasilnya.

"Semasa berpakaian seperti wanita pada sesi uji bakat, saya rasa diri saya 80 peratus seperti wanita. Bayangkan saya kena memakai kasut tumit tinggi dan menari serta menjadi seksi. Seronok rasanya dapat menghadiri sesi uji bakat. Perasaannya seperti menghadiri uji bakat Akademi Fantasia," ujar Kefli yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Usik-Usik Cinta.




Wan Raja suka kontroversi

Aktif bergiat dalam pementasan teater, Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan Abu Bakar, 31, mula menceburi dunia filem menerusi wataknya dalam Sifu & Tongga. Dari situ dia mula mendapat peluang untuk berlakon dalam drama dan yang terbaru adalah telefilem Kasih yang bakal ditayang di saluran Astro Prima.

Namun, Wan Raja tidak pernah terfikir dia akan berjaya pada sesi uji bakat kerana hanya menemani kawannya ketika itu. Mungkin rezeki lebih berpihak kepada dia, Wan Raja kini merupakan Top 3 aktor yang akan berebut watak Ghaus.

Tidak takut tetapi berasa rendah diri, Wan Raja menghormati Norman dan Fauzi sebagai pesaingnya. Tapi apa yang menarik bagi Wan Raja adalah watak yang memerlukan dia menjadi seorang lelaki biseksual.

"Kalau sebelum ini saya selalu mengurat wanita, kali ini saya perlu memikat lelaki. Tapi ini satu peluang besar bagi saya untuk memperkenalkan saya kepada industri kerana saya tahu filem itu memiliki kontroversinya tersendiri. Ini satu jalan yang sihat bagi menaikkan nama saya.

"Lagipun saya seorang yang suka mencuba kepelbagaian watak dan saya merasakan filem ini ingin menyampaikan mesej moral dan bukannya negatif seperti yang difikirkan ramai," ujar Wan Raja.


WAN RAJA (kanan) bersaing dengan Norman Hakim dan Fauzi Nawawi untuk watak Ghaus.


Norman lihat yang positif

Berpendapat judul filemnya amat 'gila' dan pelik ketika mendengarnya pada pertama kali sekitar Mac lalu, Norman sebenarnya menghadiri sesi uji bakat secara suka-suka. Dia juga tidak tahu bahawa dia perlu bersaing dengan pelakon lain untuk mendapatkan watak Ghaus.

Melihat jalan ceritanya sebagai sesuatu yang positif dan bermoral, watak Ghaus tidak mencipta begitu banyak sensitiviti berbanding Ruby tetapi mereka berdua saling memerlukan untuk perkembangan watak.

"Saya tidak menafikan masyarakat kita amat sensitif tetapi kita perlu menerima filem ini daripada sudut yang berbeza. Terima mesejnya dari segi positif.

"Saya sebagai pelakon pula akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan keberkesanan filem," kata Norman yang menyaksikan filem Milk sebagai rujukan wataknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: