Sunday, July 12, 2009

Naik angin "dikapur" promoter

APALAH nasib artis tempatan sekarang. Lepas satu-satu perkara kurang enak berlaku kepada mereka. Ada kes artis mendatangkan masalah kepada pihak penganjur, tapi kali ini yang berlaku pula sebaliknya apabila tiga artis terkenal tanah air “dikapur” oleh pihak penganjur konsert.

Sudahlah datang dari jauh ke tempat tersebut. Bayaran yang sepatutnya diterima langsung tak diberi malah penonton mula ‘naik hantu’ apabila persembahan yang dijanjikan tak kunjung tiba. Jahanam betul promoter.

Inilah yang berlaku kepada Roslan Shah, Ifa Raziah dan Fazli Zainal pada 5 Julai yang lalu. Kisah bermula apabila mereka ditawarkan membuat persembahan di Karnival Usahawan 1 Malaysia 2009 di Taiping, Perak.

Cerita Roslan, penganjur konsert berkenaan sememangnya sudah pernah berurusan dalam persembahan sebelum ini. Jadi, atas dasar sudah mengenali, Roslan pun menerima sahaja pelawaan untuk membuat persembahan tersebut tanpa sebarang keraguan.

Penganjur konsert ini juga berjanji akan menaja segala-galanya termasuklah penginapan dan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping lantas Roslan turut sama mengajak dua rakan baiknya itu untuk turut serta membuat persembahan.

“Sepatutnya show pada malam tersebut bermula pada pukul 9 malam. Tapi sehingga saat tersebut pihak penganjur atau promoter pertunjukan itu langsung tidak memberi apa-apa bayaran kepada kami.

“Rupa-rupanya Bandi (Amuk), Mus (May), Salima AF dan M. Azmin juga telah membuat persembahan pada hari sebelumnya.

“Tapi nasib baik Salima sempat memberi tahu yang mereka juga telah ‘dikapur’ oleh pihak penganjur dan mahu kami lebih berhati-hati,” kata Roslan Shah

Roslan yang kini sedang sibuk penggambaran drama Aku Dinding Hati (untuk saluran Astro Ria) juga tidak dapat menahan rasa kecewa dan malu di atas insiden tersebut.

Bayangkan hampir 500 peminat yang datang untuk menyaksikan persembahan mereka mula bising memandangkan persembahan masih lagi tidak dimulakan sehingga pukul 10 malam.

Suasana semakin tidak keruan apabila peminat mula menjerit mahukan mereka mula membuat persembahan tetapi mereka sepakat mahu penganjur memberikan deposit sebelum membuat persembahan.

“Ifa kemudian naik ke pentas dan meminta maaf kepada penonton dengan mengatakan persembahan pada malam tersebut tak jadi sebab ada masalah kewangan antara penganjur dan kami. Saya bersyukur sangat kerana peminat memahami situasi tersebut dan tidak mahu mereka menyalahkan kami.

“Kalau nak dikira malu, siapa yang tidak malu? Memang saya sangat malu kepada peminat yang hadir serta kepada Ifa dan Fazli kerana saya yang mengajak mereka datang. Tapi apa yang boleh saya lakukan?” kata Roslan lagi.

Tambahnya, perkara itu tidak terhenti setakat itu sahaja, pihak hotel pula datang ‘menyerang’ mereka dan mahu mereka melunaskan bayaran hotel lebih kurang RM3,000 walaupun bayaran itu sepatutnya dilunaskan oleh pihak penganjur konsert.

Walaupun panik dengan situasi tersebut, mereka akhirnya berbincang secara baik dengan pihak hotel tentang masalah yang dihadapi. Mujurlah pihak hotel tersebut memahaminya.

Biarpun kecewa dengan perkara tersebut, Roslan masih lagi mampu menyanyikan dua buah lagu secara percuma pada malam itu demi menjaga hati peminat yang datang dari jauh dan dekat semata-mata mahu melihat mereka beraksi.

Fazli pula berkata, dia begitu kecewa dengan apa yang telah berlaku memandangkan ia melibatkan kepercayaan kepada pihak penganjur.

“Penganjur macam ni sebenarnya pembunuh kepada industri seni kita. Sudahlah kesan kegawatan ekonomi menyebabkan album tak laku, nak buat show kena tipu pula. Apalah nasib artis Malaysia sekarang?

“Paling saya kesali apabila terpaksa menolak show yang lain atas dasar kepercayaan kepada penganjur itu. Mungkin itu bukan rezeki saya. Kes macam inilah yang akan membuatkan saya lebih berhati-hati nanti,” katanya yang popular dengan lagu Harapan.

Bagi Ifa pula insiden ini sedikitpun tidak melemahkan semangatnya sebagai artis memandangkan inilah asam garam yang harus ditempuh oleh setiap artis. Cuma apa yang dikesalkan masih ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan di atas kebaikan yang orang lain.

“Saya sedih dan marah apabila perkara sebegini terjadi. Lagipun ini melibatkan ramai artis lain pada hari sebelum itu. Kami bukan cari populariti murahan membesarkan isu ini tetapi tidak mahu perkara ini berulang lagi pada masa hadapan,” kata Ifa. Pengalaman ini membuatkan para artis akan lebih berhati-hati lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: