|
|
BENAR kata orang, rezeki, jodoh, ajal dan maut di tangan Tuhan. Dia yang menentukan segala-galanya. Tapi kita perlu berusaha dan terus berusaha untuk menjadi manusia yang terbaik dalam apa jua lapangan.
Kisah Mansur Ghazali, seorang pelukis yang seumur hidup mengabdikan diri pada lukisan mungkin tidak diketahui umum. Lantaran sikap merendah diri dan tawaduknya itu, pelukis ini seperti dilupakan oleh orang sekelilingnya.
Dilahirkan pada 6 Januari 1930 di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Mansur mula serius berkecimpung dalam bidang lukisan sejak tahun 1953 lagi dan telah menghasilkan ribuan lukisan yang kurang diketahui umum.
Walaupun hampir 55 tahun tidak pernah muncul dalam mana-mana pameran solo, RA Fine Art Gallery tetap mahu melaksanakan pameran solo Mansur. Pameran itu telah pun dirasmikan pada 11 Jun yang lalu.
Peluang ini bukan mudah untuk dikecapi oleh pelukis tersebut lantaran sikap sesetengah institusi yang sering memandang rendah karya-karya daripada pelukis yang kurang terkenal.
Namun, sehari sebelum pameran ini berlangsung, Mansur telah kembali ke rahmatullah tanpa sempat melihat pameran lukisannya itu. Pemergiannya bukan sahaja diratapi oleh seluruh kaum keluarga dan sahabat handai, malah merupakan satu kehilangan yang besar kepada dunia seni lukis negara ini.
Biarpun perasmian mahu ditangguhkan, anak-anak Mansur tetap mahu ia dilaksanakan seperti mana yang dihajati oleh Mansur semasa hayatnya.
Ternyata selepas tiga hari pameran berlangsung, 91 lukisannya berjaya dijual dan ini setidak-tidaknya menafikan tanggapan bahawa lukisan Mansur tidak ada kualiti dan tidak mempunyai khalayak.
Kebanyakan hasil lukisan Mansur lebih tertumpu kepada cat air berbanding dengan cat minyak. Dengan secawan air, segulung kertas, segenggam kain, sebatang pensel dan pemadam, beberapa batang berus, papan sokongan di atas rumput atau di sandarkan di tepi kereta, Mansur sudah boleh menghasilkan lukisan.
Pengalaman yang dikecapi oleh pelukis ini memang tidak terhitung. Beliau boleh mengasingkan satu pemandangan yang mempunyai bentuk pejal; sekumpulan perahu di jeti di mana bayang gelap dan cahaya terang dapat diberus ke dalam dan dikeringkan.
Malah ada beberapa pelukis negara ini terpaku apabila pertama kali melihat lukisan Mansur yang dipamerkan itu. Inilah keistimewaan insan yang tidak pernah mengejar populariti untuk menjadi yang terbaik.
Kehebatan lukisan cat air Mansur sememangnya boleh diangkat sebagai antara yang terbaik di negara ini, malah ada yang beranggapan ia setanding dengan pelukis-pelukis lain yang bertaraf dunia.
Abdullah Arif, Kaw Sia, Yong Mung Sen, A.B Ibrahim adalah pelukis cat air generasi pertama. Maka Mansur pula seharusnya diletakkan sebagai pelukis generasi kedua lantaran lukisannya boleh dianggap sebaris dengan Sir Russel Flint, Andrew Wyeth dan ramai lagi.
Tradisi cat air yang dibawa oleh Mansur agak berbeza dan menggunakan pendekatan baru lain daripada cat air aliran impresionis yang lebih kebaratan walaupun beliau mendapat pendidikan di sana.
Pameran Seni Mansur Ghazalli 1953-2008 sebenarnya membawa signifikan yang sangat besar kepada dunia lukisan tanah air memandangkan ia mengisi lompong besar yang ditinggalkan oleh aliran moden yang sedang mengusai pasaran kini.
Biarpun sehingga akhir nyawa baru orang mengenali kehebatan Mansur, itu bukanlah titik akhir. Sebaliknya ia menjadi seharusnya dijadikan teladan kepada pihak yang lain untuk terus menghargai seniman semasa masih hidup.
Seharusnya pelbagai gelaran dan pangkat itu diberikan kepada mereka ketika masih hidup dan apalah ertinya gelaran apabila mereka telah meninggal dunia.
Biarpun baru sahaja pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, kisah Mansur ini mempunyai signifikan sehingga memberikan kesan yang amat mendalam kepada keluarga dan sahabat handai. Biarpun Mansur sendiri tidak sempat melihat pameran yang dirancang khusus untuknya, namun sikap positif yang ditunjukkan oleh Allahyarham tetap akan dikenang sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: