QUE Haidar diundang untuk segmen Tangkap Leleh. |
Cabaran paling besar bagi Aznil adalah mengekalkan minat penonton program yang dihoskannya di Astro
RUTIN hariannya bermula seawal jam empat pagi, ketika insan lain sedang enak dibuai mimpi indah dia pula perlu bersiap sedia ke konti kerana jam enam pagi tugasnya mengendalikan slot Riuh Pagi Era bersama Din Beramboi bermula.
Selesai tugas di konti, insan bernama Aznil Nawawi, 45, tidak selalunya dapat pulang terus ke rumah kerana lazimnya usai tugas di konti, tugas lain pula menanti. Sudah lebih setengah tahun jadual hidupnya berubah tetapi Aznil nampak gembira melalui hari-harinya.
Sejak 28 Jun lalu pula, sebaik tugas di konti berakhir, dia harus bergegas ke studio 9 di Wisma Ali Bawal, yang terletak di Petaling Jaya menjalani rakaman musim baru program popularnya Macam Macam Aznil (MMA) yang kini memasuki musim kelima. Penggambaran pula lazimnya memakan masa berjam-jam kerana dua episod dirakamkan serentak.
Namun kerana profesionalisme, tidak terpancar langsung rasa jemu atau kepenatan di wajah Pengacara TV Lelaki Popular itu mengendalikan program yang sama sejak lima tahun lalu. Sebaliknya wajah Aznil sentiasa dilihat segar, malah dia juga masih mampu mengusik penonton.
Bagaimanapun, sesekali ketika waktu rehat sementara menanti set ditukar, dia duduk bersendirian di pinggir pentas seakan melepaskan seketika kepenatan. Tapi apabila kamera dipancarkan ke wajahnya, spontan dia kembali bertenaga dan ceria. Begitu profesionalnya insan bernama Aznil ini, maka tidak hairan usaha kerasnya membolehkan dia dan program itu menerima pelbagai pengiktirafan sama ada di gelanggang sendiri mahupun di arena antarabangsa.
MMA hasil cetusan ideanya itu pernah meraih anugerah di Anugerah Sri Angkasa, Anugerah Skrin dan tiga tahun lalu muncul Bual Bicara Terbaik di Anugerah TV Asia yang berlangsung di Singapura adalah kejayaan paling manis untuk program berkenaan. Satu lagi kejayaan besar diraih apabila namanya disenaraikan sebagai pengacara popular antarabangsa seperti David Letterman, Jay Leno, Lary King, Oprah Winfrey serta ramai lagi dalam List Of Talk Show Host oleh wikipedia.com.
MMA adalah program bual bicara berbahasa Melayu pertama berjaya menembusi senarai berkenaan. Berita itu tentunya sesuatu yang mengejutkan buat pengacara popular ini yang selama ini menyangka dirinya hanya ‘jaguh kampung’.
“Ia sesuatu yang menarik, kami bergerak menggunakan bahasa Melayu, bahasa yang tidak ramai orang faham. Bagi saya ini kejayaan luar biasa. Hanya dengan pergerakan badan dan ekspresi wajah, program ini berjaya diletakkan sebaris program popular luar negara.
“Kejayaan ini satu kejayaan yang tak terduga oleh saya dan Astro kerana saya tidak pernah terfikir nama saya diletakkan di pentas dunia. Dulu saya hanya berfikiran akan bergelar jaguh kampung saja, tidaklah mengimpikan kejayaan sejauh ini. Ia satu permulaan yang baik untuk MMA, siapa tahu mungkin selepas ini MMA boleh dikembangkan ke negara lain pula,” katanya.
Bergelar sebuah program popular yang menerima pelbagai pengiktirafan memang sesuatu yang membanggakan tetapi ia juga bererti tanggungjawab lebih berat perlu dipikul. Penonton yang mengikuti MMA sejak dulu hingga kini sudah pasti mengharapkan sesuatu yang lebih menarik setiap kali musim baru bermula.
Dan setiap kali itu jugalah kata Aznil, dia bersama pihak penerbitan akan pecah kepala malah ada kalanya berasa ingin muntah memikirkan isi kandungan menarik yang boleh diketengahkan. Namun pada masa sama kualiti program yang sudah menerima pelbagai anugerah itu tidak terjejas.
“Sebenarnya tidak mudah berada di tahap ini kerana bila-bila masa penonton akan membandingkan musim baru dengan yang terdahulu. Itu yang sebenarnya lebih mencabar dan menakutkan. Lagipun melihat kemunculan banyak program bual bicara yang lain, kami tidak boleh berdiam diri. Jika format lama tidak jalan lagi, kami perlu fikirkan format baru pula.
“Adakalanya sampai nak termuntah memikirkan apa lagi yang boleh kami beri pada penonton. Tanggungjawab terletak di bahu saya sebagai pengacara dan harapan pula disandarkan oleh Astro dan pelanggan. Takut juga apabila diri sentiasa menjadi perhatian, saya terasa seperti berada di bawah mikroskop.
“Saya bukan saja perlu menjaga kualiti kerja tetapi juga etika. Masyarakat mahu lihat Aznil yang mereka tengok di dalam televisyen dan di luar sama, jika sekali saja saya tersilap langkah tidak mustahil mereka akan meminggirkan program kendalian saya,” katanya.
6 segmen baru dalam musim kelima Macam-Macam Aznil
SEMPENA musim kelima yang akan kembali bersiaran di Astro Ria saluran 104, bermula 23 Ogos depan setiap Ahad jam 9 malam, beberapa segmen baru diperkenalkan kepada penonton. Musim ini sebanyak enam segmen diperkenalkan untuk program berdurasi selama satu jam itu.
Menurut Aznil, sebelum membuat keputusan untuk memperkenalkan segmen berkenaan, mereka terlebih dulu mencuba keberkesanannya ketika sesi brainstorming tidak sekadar memberikan idea semata-mata.
Segmen yang dimuatkan musim ini ialah Pakaian Beragam membabitkan empat ahli keluarga yang dikehendaki memakai pakaian beragam. Segmen kedua Debat Kecoh pula akan mengundang dua artis bersama dua penonton untuk berdebat mengenai sesebuah topik diberikan. Tangkap Leleh pula mengundang seorang pelakon untuk memberikan tips mengalirkan air mata dan dua penonton juga akan diundang untuk mengakplikasikan tips berkenaan.
Cili Padi pula adalah segmen untuk kanak-kanak yang mengundang mereka untuk menjawab simpulan bahasa diberikan mengikut pemahaman mereka. Segmen Satu Malaysia pula mengajar penonton bahasa lain di Malaysia seperti India dan Cina dan segmen terakhir Ribut Taufan pula adalah sebuah permainan yang melucukan membabitkan penonton.
Mengulas penukaran MMA dari Astro Prima ke Astro Ria, Aznil berkata ia tiada kena mengena dengan kejatuhan jumlah penonton apabila bersiaran di Prima, sebaliknya MMA kembali ke Ria kerana konsep program itu lebih sesuai untuk saluran berkenaan yang ceria dan muda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: