Monday, July 13, 2009

Fan Fest ‘09 - Bunkface jadi tarikan


BUNKFACE berbangga kerana karya mereka akhirnya diiktiraf banyak pihak.


Bermula sejak empat tahun lalu, kempen tahunan Fan Fest yang menyiarkan seleksi filem-filem menarik kembali di saluran Star Movies (Astro 413) dengan 62 filem blockbuster sepanjang 62 hari bermula 1 Julai lalu.

Kempen tahunan itu bakal berlangsung sehingga 31 Ogos ini dan menariknya, Fan Fest 09 memaparkan tujuh genre filem berbeza termasuk aksi, drama, romantik, komedi, seram, thriler dan keluarga.

Menawarkan filem-filem Hollywood pada setiap malam, pukul 10 malam, hanya karya-karya yang mencatat kutipan blockbuster atau naskhah yang dibintangi pelakon popular akan ditayangkan sepanjang kempen itu.

"Filem-filem yang ditayangkan perlu mencatat kutipan sebanyak AS$100 juta (RM350 juta) atau melibatkan pelakon-pelakon popular. Itu kriteria bagi filem-filem yang pernah ditayangkan sebelum ini.

"Sementara itu, kami akan menayangkan filem-filem yang tidak pernah disiarkan di kaca TV pada setiap Ahad," kata Naib Presiden Pemasaran dan Publisiti Asia Tenggara dan Hong Kong Star, Nini Yusof.

Pada sidang media mengumumkan pelancaran kempen itu, Nini turut memberitahu bahawa seleksi filem yang dipilih dilakukan berdasarkan penyelidikan. Contohnya seperti filem Die Hard 4 yang mencatatkan rating tinggi tahun lalu akan ditayangkan semula tahun ini.

"Tujuan kami mengadakan kempen itu pada jangkamasa ini kerana di Amerika Syarikat (AS) sekarang adalah musim panas. Jadi lebih ramai orang akan menonton TV dalam masa dua bulan ini," tambah Nini.

Bagi memasukkan sedikit elemen tempatan bagi menarik perhatian audiens Malaysia, kempen Fan Fest 09 diceriakan dengan klip video khas nyanyian kumpulan, Bunkface sebagai senjata promosi.




Lagu mereka, Bunk Anthem ditukar lirik untuk disesuaikan dengan kempen itu yang bakal berkumandang di beberapa buah negara termasuk India, Taiwan, China, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Kerjasama antara Bunkface dan Star Movies bermula apabila kumpulan itu yang dianggoatai oleh Ahmad Farhan @ Pa'an, Shamsul Annuar Mohd Baharum @ Sam dan Muhammad Farouk Jaafar @ Youk bersama-sama menyerikan parti majalah Rolling Stone di Jakarta, Indonesia pada Mei lalu.

"Kami di Star Movies menyukai lagu Situasi dan kemudian mengetahui bahawa Bunkface juga mempunyai lagu Inggeris. Selepas menghantar lagu itu ke pejabat di Hong Kong, mereka bersetuju untuk menggunakan lagu Bunkface sebagai lagu tema kempen.

"Namun sebelum itu, kami mendapat persetujuan daripada Bunkface untuk menukar lirik lagu," katanya yang sebelum ini menggunakan lagu kumpulan Indonesia, Nidji untuk kempen sebelumnya.

Klip video itu diarahkan oleh pengarah terkenal kelahiran Indonesia, Joko Anwar. Peluang untuk bekerjasama itu memberikan kebebasan kepada Bunkface untuk berkarya walaupun konsepnya telah ditentukan oleh pengarah.

"Sudah lama menanti, tidak sangka kami akan mendapat peluang sebegini. Bukan sahaja dapat mempromosi diri, kami juga diberi kebebasan untuk beraksi tetapi berdasarkan kehendak pengarah. Ini kerana idea Joko dan kami mempunyai banyak persamaan," kata Sam yang turut hadir pada majlis itu.

Antara filem yang akan ditayangkan buat kali pertama di kaca TV adalah The Chronicles of Narnia: Prince Caspian, P.S I Love You, What Happens In Vegas, Street Kings, Horton Hears A Who, Shutter, Step Up 2: The Streets, The Happening dan Bangkok Dangerous.

Filem-filem lain pula adalah Becoming Jane, Titanic, The Bourne Identity, Road To Predition, When Harry Met Sally, Pirates of the Carribbean: At World's End, Planet of the Apes, Juno, Resident Evil: Book of Secrets, Awake, Jumper dan Hitman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: