
SALING lamar melamar, itulah yang terjadi dalam sejarah percintaan penyanyi dan pelakon terkenal Elyana bersama kekasih hati yang kini telah sah menjadi tunangnya pada Sabtu lalu.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, tanpa segan memberitahu selain dilamar oleh kekasihnya, Khairul Anuar Hussin sebanyak tiga kali sepanjang tiga tahun tempoh percintaan mereka, dia juga pernah melamar kekasihnya itu.
Pelik dan agak lucu, umpama perigi mencari timba. Namun kata Elyana disebabkan hubungan cintanya seperti air laut yang ada pasang surut, meskipun sebagai seorang gadis dia tetap beranikan diri melamar Khairul untuk dijadikan suaminya.
"Dia ada lamar saya dan saya pun ada lamar dia. Semuanya kerana hubungan kami bukan selalunya baik, ada kala kami bergaduh dan berjauhan.
"Bila berjauhan baru terasa berapa pentingnya dia buat saya. Selepas berfikir panjang sampai bila harus terus seperti itu, akhirnya akhir tahun lalu saya telah melamarnya," ucapnya dalam tawa.
Tambah anak kedua daripada empat adik-beradik ini lagi, keputusan untuk melangsungkan pertunangan bukannya atas paksaan sesiapa sebaliknya ia merupakan keputusannya sendiri selepas dirisik keluarga Khairul pada 11 April lalu.
Meskipun usianya baru menjangkau angka 22 tahun, tetapi dia telah bersedia daripada mental dan fizikal untuk melangkah ke alam baru sebagai tunangan orang sebelum memikul status isteri.
"Orang selalu cakap muda lagi buat apa nak kahwin awal, tetapi bagi saya itu hanyalah pandangan orang sebab yang nak bertunang dan kahwin itu saya.
"Memang saya sudah bersedia untuk menjadi isteri dan saya telah lama berfikir tentang keputusan yang diambil sebab perkara ini bukan boleh main-main. Bertunang satu perkara yang besar dan hubungan yang terjalin lebih serius daripada bercinta," ungkapnya yang ditemui pada majlis pertunangan yang berlangsung di sebuah banglo, Jeumpa D'ramo di Bangsar.
Walaupun gembira apabila impian untuk membawa hubungan cinta ke tahap lebih serius tercapai, Elyana tetap diselubungi perasaan takut kerana bimbang tidak dapat buat yang terbaik untuk pasangannya.
"Memang ini hari yang ditunggu-tunggu tetapi saya tetap rasa takut kerana bimbang akan kekurangan diri. Khairul seorang yang memahami, serasi dan mengambil berat akan diri saya serta keluarga.
"Jadi, saya bimbang saya tidak boleh beri kegembiraan seperti mana yang diberikan kepada saya. Saya berharap jodoh kami panjang sehingga ke majlis perkahwinan kelak," tuturnya yang mengakui bahagia bersama Khairul.
Bibit cinta
Namun secara tiba-tiba bilik majlis pertunangan bertukar gamat dengan gelak tawa rakan media apabila Elyana bercerita tentang detik perkenalan mereka berdua.
Menurut Elyana, perkenalan mereka berlaku secara tidak sengaja apabila salah seorang rakan Elyana memohon kerja di restoran milik Khairul.

Semenjak daripada itu mereka kerap bertemu kerana rakannya, manakala Khairul langsung tidak menyangka Elyana adalah seorang penyanyi kerana dia memperkenalkan dirinya sebagai Farah dan bekerja sebagai peniaga Tupperware.
"Dia memang tidak tahu saya penyanyi sampai satu hari kami bersama rakan-rakan yang lain pergi karaoke. Apa yang kelakarnya rakan saya telah pilih lagu saya, maka muka saya pun muncul di skrin.
"Ketika itu, dia pandang skrin kemudian pandang muka saya, dia tanya saya penyanyi ke? Saya geleng kepala dan kata sudah ramai orang kata muka saya sama dengan penyanyi itu.
"Lama kelamaan dia tahu sendiri yang saya ini penyanyi dan sejak itu dia mula menjauhkan diri kerana rasa takut untuk berdamping dengan saya.
"Namun, selepas saya terangkan kepadanya yang saya tidak kisah berkawan dengan sesiapa barulah kami mula rapat," bicaranya sambil sesekali menoleh ke wajah Khairul yang duduk di sebelahnya.
Soal kahwin masih rahsia
Apabila sudah bertunang, sudah pasti orang akan bertanya tentang perkahwinannya pula. Bagaimanapun, baik Elyana mahupun Khairul masing-masing mengunci mulut soal perkahwinan.

Beritahu mereka, masih terlalu awal untuk membicarakan soal itu memandangkan kedua-dua belah keluarga masih menjalankan perbincangan.
"Kami bertunang dalam tempoh setahun. tidak tahulah sama ada cukup setahun ataupun tidak. Tetapi yang lain-lain saya tidak tahu lagi.
"Kalau tentang perkahwinan idaman pastinya saya ingin yang ringkas dan sederhana sebab saya orang yang begitu. Itu saya sahaja yang cakap tetapi bila bekerjasama dengan pereka fesyen sudah pasti majlis yang ringkas pun jadi besar seperti hari ini, saya tengok sudah macam majlis kahwin pula," ujarnya.

Majlis pertunangan yang berkonsep glamor punk tradisional kontemporari merupakan sesuatu yang cukup ditunggu-tunggu jejaka berusia 34 tahun itu memandang dia telah melamar Elyana sebanyak tiga kali.
"Saya cukup gembira kerana semuanya berjalan dengan baik dan selepas tiga kali lamaran akhirnya dia kini menjadi tunang saya," jelas anak keenam daripada tujuh beradik itu lagi.
Meskipun terpaksa menunggu lama, semua itu bukannya hal yang besar buat Khairul setelah dia terpikat dengan keikhlasan dan sikap Elyana yang ceria serta nakal.

Soal cabaran apabila menjadi bakal suami kepada orang popular Khairul mengatakan percintaannya selama tiga tahun telah banyak mengajarnya.
"Sejak daripada bercinta lagi saya tidak fikir sangat tentang apa yang orang cakap. Saya hanya fikir untuk saya dan dia sahaja.
"Apa yang penting, kami mempunyai keserasian untuk bersama," luah jejaka kelahiran Pahang itu lagi.
Sudah cukup tempoh bercinta
Sementara itu bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin, 55, turut meluahkan kesyukurannya apabila majlis selesai.
"Eloklah, mereka sudah tiga tahun berkawan tidak elok kawan lama-lama. Apabila ada ikatan yang lebih serius sebagai bapa saya rasa lebih selamat dan nampaknya Elyana juga sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.
"Kami sekeluarga cukup senang dengan pilihan Elyana kerana dia seorang yang cukup mengambil berat bukan saja Elyana tetapi kami sekeluarga juga.
"Soal tempoh pertunangan rasanya biarlah mereka bertunang cukup setahun kemudian baru kahwin," katanya.

Dalam majlis yang sama, Elyana turut menerima tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin yang disarungkan oleh kakak kepada Khairul, Razieka Hussin dan dibalas sembilan dulang hantaran kepada pihak lelaki.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: