Tuesday, July 21, 2009

Demam Bollywood landa KL


ANTARA babak tarian yang menarik dalam muzikal tari.

Malam gala pementasan muzikal ekstravanganza berlangsung penuh warna-warni di Istana Budaya

MENYAKSIKAN kali kedua pementasan muzikal ekstravaganza, The Merchants Of Bollywood bersempena malam gala yang diadakan Jumaat lalu memberikan pelbagai tafsiran kepada Hip secara peribadinya.

Ia seperti menyegarkan kembali ingatan terhadap memori indah menontonnya pertama kali di dewan teater Arcimboldi, Milan, Itali Mei lalu.

Istimewanya malam gala yang diadakan bersempena kehadiran produksi persembahan arahan Toby Gough itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu diraja, Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang sudi mencemar duli meluangkan masa menontonnya di premis berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya.

Sebelum menonton pada malam itu, Hip sempat juga bertanya kepada rakan media yang terlebih dulu menontonnya sejak ia mula dipentaskan 14 Julai lalu. Pelbagai maklum balas diterima bergantung kepada pendirian dan pendapat tersendiri. Persembahan berdurasi hampir 100 minit ini hakikatnya masih boleh dikategorikan sebagai menghiburkan.

Barangkali buat mereka yang pernah mengagumi karya seni Bollywood, muzikal yang dibawa khas syarikat Asiapromote Ventures Sdn Bhd dan LD Sports Sdn Bhd itu tidak wajar dilepaskan begitu saja. Apatah lagi pementasan ini masih berlanjutan hingga 26 Julai ini.

WATAK utama dalam The Merchants Of Bollywood, Ayesha dan Uday di samping pereka tari, Vaibhavi Merchant.

Bagi yang merindui kegemilangan fenomena Bollywood yang pernah melanda negara kita beberapa tahun dulu, mungkin ini masanya untuk berbuat demikian.

Muzikal tari ini tidaklah sepanjang filem Bollywood yang memakan masa tiga jam. Sebaliknya dalam keghairahan kita larut menonton gemalai gerak tari penari hasil ilham koreografer berpengalaman, Vaibhavi Merchant atau terpesona dengan susuk badan penari jelita dan kacak, sebenarnya ada isi cerita yang ingin disampaikan. Malahan, kalau ada yang sedar pandangan sinikal terhadap fasa peralihan era Bollywood juga diselit.

Watak penerbit filem, Tony Bhaksi lakonan Denzil Smith berjaya menarik perhatian penonton yang hadir dengan sisi humornya. Tony sebenarnya adalah metafora kritikan sosial terhadap era perfileman di sana yang terlalu mengejar keuntungan semata-mata dengan menyajikan formula sama untuk melariskan filem seperti adegan pelakon lelaki membuka baju atau penampilan seksi pelakon wanitanya.

Persoalan perlukah mengikuti peredaran masa hingga terus melupakan khazanah dan warisan tradisi turut diterjemahkan menerusi watak utama Shantilal Merchant dan cucunya, Ayesha.

SABREE Fadzil, Zainal Abidin dan Mahadzir Lokman memperkatakan sesuatu mengenai persembahan itu.

Temanya bersifat sejagat yakni merujuk kepada pertembungan fahaman orang tua dan muda. Di saat Shantilal begitu tegar meneruskan legasi tarian tradisi, berlainan pula dengan Ayesha yang menuturkan dialog, “Saya pergi demi Bollywood”. Semuanya dilakukan kerana keinginan Ayesha yang membuak-buak seiring dengan perkembangan terkini.

Lalu konflik timbul di sini dalam mempertahankan keegoan masing-masing. Ayesha dan Shantilal bersatu kerana darah yang mengalir dan gema ritma tarian, namun mereka terpisah dek kehendak masing-masing. Lumrah alam sering berkata, tidak semua yang disukai orang pasti digemari kita. Inilah yang ingin disampaikan dan mampukah Ayesha menurut kata datuknya dan pada masa yang sama mencapai destinasi impiannya.

Jawapannya hanya boleh ditemui dengan menonton The Merchants Of Bollywood yang menjadikan Kuala Lumpur destinasi negara Asia pertama yang dilawati dan kali terakhir ia dipentaskan di Itali. Sebelum ini persembahan ini pernah menjelajah ke beberapa negara seperti United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan dan Australia.

Pengarah Urusan Asiapromote Ventures Sdn Bhd, Wan Zaleha Radzi yang juga bekas personaliti TV3, menyifatkan muzikal tari ini mampu memberi inspirasi kepada orang ramai mengenai cara terbaik mempromosikan sesebuah budaya kebanggaan negara.

“Saya mendapat maklum balas, produksi ini cukup sukakan khalayak Malaysia yang datang menonton persembahan mereka. Berbanding di negara Eropah terutamanya, masyarakat kita lebih memahami apa yang ingin disampaikan dalam muzikal ini terutama lawak sinis yang dituturkan pelakon.

“Muzikal ini menggabungkan elemen tradisi dan moden dengan begitu cantik serta berwarna warni. Tarian fusion yang dipersembahkan juga begitu dekat dengan penonton yang datang. Pertembungan fahaman dalam filem ini sebenarnya dalam erti kata lain memperlihatkan evolusi tarian di sana yang terus berkembang maju.

“Secara jujur, saya sendiri begitu takjub menonton persembahan ini. Malam gala ini menjadi malam ketiga saya menontonnya. Itupun, ada malam yang saya tidak sempat menonton sepenuhnya. Berdasarkan reaksi penonton pada malam gala ini, saya seronok jika mereka keluar panggung dengan perasaan puas hati. Malah, ada juga penonton yang turut bangun dan menari bersama,” kata isteri kepada Peter Winton Abdullah itu.

Malam gala yang dihoskan Mahadzir Lokman itu dihadiri rakan artis seperti Zainal Abidin dan Sabree Fadzil. Turut kelihatan ialah angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar dan teman rapatnya, Dr Halina. Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mior Kamarulbaid Mior Shahid, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: