Tuesday, July 21, 2009

Berani cari kelainan...HANS Isaac


HANS Isaac terus aktif memainkan peranannya sebagai penerbit.

Hans giat kumpul idea mantapkan Tall Order Productions

TEKAD untuk membawa anjakan dalam setiap apa juga produksi terbitan syarikatnya, Tall Order Productions mendesak Hans Isaac supaya sentiasa berani mencari pembaharuan dan kelainan meskipun berdepan pelbagai kekangan untuk merealisasikan impian besarnya itu.

Kecintaan Hans terhadap industri hiburan terserlah dalam setiap bicaranya. Sejak enam tahun lalu sebaik Tall Order Productions memulakan operasinya, lelaki kacak itu giat memerah idea untuk menyajikan sesuatu yang berbeza kepada khalayak.

“Saya mahu menjadi contoh kepada pemain industri,” kata Hans serius sewaktu ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod, Biru Cinta Laguna terbitan syarikatnya di Perhentian Island Resort, Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Pemuda berusia 37 tahun ini berkata, dia menekankan disiplin yang tinggi dalam setiap pekerjaannya. Kemahuan yang datang atas kesedaran diri membuatkan dia begitu menghormati profesion seni yang direnanginya sejak 16 tahun lalu.

Mungkin dia bisa mendabik dada kerana sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan dikecapinya. Paling manis pada Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) apabila dia merangkul trofi Pengarah Harapan menerusi filem Cuci.

BARISAN pelakon muda dan berpengalaman yang menjadi taruhan Hans untuk produksi drama bersiri terbarunya.

Kejayaan yang sudah cukup membuktikan betapa Hans serius mahu memberi anjakan baru kepada industri penerbitan tempatan.

“Mungkin orang melihat kedudukan saya semakin selesa. Tetapi pencapaian itu sebenarnya membuat saya semakin tercabar. Khalayak pastinya mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik berbanding apa yang pernah mereka tonton dalam produksi terdahulu.

“Disebabkan itu saya tidak pernah berhenti belajar. Saya menyertai Master Class sebagai persediaan untuk melengkapkan diri dan ilmu sebelum kembali mengarah filem terbaru,” kata Hans.

Ketika ekonomi negara berdepan ketidaktentuan, pemuda yang dilahirkan pada 20 Ogos 1971 ini tidak sesekali memperlahankan perancangan syarikatnya.

DALAM hiburan diselitkan juga mesej menerusi drama Biru Cinta Laguna.

Enam projek berjalan serentak, setiap satu menuntut perhatian yang sama namun kata Hans, dia bernasib baik kerana mempunyai pasukan kerja yang dipercayai. Kedudukan sebagai Pengarah Urusan tidak pernah membuat dirinya bergoyang kaki serta cuma memantau perjalanan produksi dari jauh.

“Saya tidak pernah berkira soal kerja. Di lokasi saya turut melakukan kerja kru. Saya tidak memilih bulu kerana apabila bekerja saya mementingkan kerjasama. Saya mahu setiap mereka yang bekerja dengan produksi saya gembira dan menikmati segala pengalaman manis sepanjang kami bersama.

“Tidak kira siapa mereka, sama krew atau pelakon baru setiap seorang akan diberi layanan sama rata. Mencipta suasana kerja yang selesa dan harmoni banyak membantu untuk melahirkan produk berkualiti serta melicinkan produksi,” kata aktor yang pernah menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, FFM19 menerusi filem Buli Balik.

Akui Hans, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu boleh saja dia menangguhkan dulu segala perancangannya. Namun sebagai penerbit, kata Hans, dia turut membawa tanggungjawab lain.

Melalui detik mencabar itu membuatkan Hans sentiasa memikirkan mereka yang mencari sesuap nasi sebagai anak seni. Memperlahankan aktiviti seni bermakna pendapatan mereka juga terjejas.

“Kami mencari pendapatan dalam bidang yang sama, membuatkan saya sentiasa berusaha dan mencari jalan untuk memastikan segala perancangan berjalan sempurna.

“Saya tidak sepatutnya hanya memikirkan kepentingan diri kerana pembangunan industri penerbitan turut dijana mereka yang berdiri di belakang saya,” katanya.

Setiap satu produksinya menelan belanja besar kerana sejak menerbitkan drama bersiri, Ali Din siaran TV3, tidak lama dulu, Hans cenderung kepada drama berantai seperti Klon Teja (26 episod siaran Astro Prima), Cuci The Series (RTM), Ten Ten Ten (Astro Warna) dan Biru Cinta Laguna (26 episod - TV9).

Bebanan kewangan kata Hans, diringankan apabila dia mendapat sokongan pelbagai pihak untuk merealisasikan misinya.

Untuk Biru Cinta Laguna umpamanya, dia bekerjasama dengan Perhentian Island Resort kerana 80 peratus daripada keseluruhan penggambaran dilakukan di pulau peranginan popular itu.

“Perkongsian ini memberi pulangan sama rata dan setiap pihak mendapat manfaat daripada projek yang dijalankan. Sebelum menjalankan sesuatu projek, kami akan duduk berbincang dan membuat pembahagian bajet dalam kertas kerja berdasarkan kemampuan syarikat.

“Sebagai penerbit, saya perlu bijak merencana dan mencari penaja korporat kerana tanpa sokongan mereka sukar untuk merealisasikan pelbagai misi besar saya,” katanya.

Jadual penuh hingga akhir tahun

SELESAI penggambaran Biru Cinta Laguna, Hans akan membintangi filem arahan Afdlin Shauki seterusnya mengarahkan produksi terbaru yang terpaksa dianjakkan ke pertengahan Ogos kerana kesibukannya.

Seperti yang ditegaskan, Hans akan membawa pembaharuan untuk filem kedua arahannya itu dengan mengetengahkan mereka yang ingin serius berkarya dan berdisiplin.

Namun itu tidak bermakna Hans menolak elemen komersial kerana tiga watak utama akan diserahkan kepada nama popular, selain membuka peluang bakat baru untuk menyerlahkan kemampuan mereka.

“Saya seorang yang percaya kepada kekuatan jalan cerita. Disebabkan itu saya tidak pernah takut untuk mengetengahkan muka baru kerana apa yang penting kesungguhan mereka untuk cemerlang dalam membawakan watak yang diberikan.

“Bakat boleh dipupuk dan sebolehnya saya cuba mengelak wajah yang sudah sering ditonton khalayak untuk produksi di layar perak.

“Saya sentiasa meletakkan diri sebagai audiens dan melihat sesuatu daripada perspektif mereka. Saya mahu setiap penonton yang datang mendapat sesuatu yang berbaloi daripada setiap sen yang dibelanjakan,” katanya.

Prinsip yang sama juga dipegang Hans untuk pementasan Cuci The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya pada 23 Oktober depan.

Enggan bertolak ansur soal kualiti, Hans tidak lokek mengeluarkan peruntukan besar kerana berpendapat pementasan itu penting untuk membangunkan jenama syarikatnya.

“Dalam apa juga pekerjaan, kita harus memastikan sesuatu yang bermutu dan dalam pementasan ini saya mendapatkan khidmat semua yang terbaik dalam industri supaya penonton berpuas hati dengannya.

“Saya cukup bimbang jika penonton yang datang merungut dan berasa rugi menonton apa yang diberikan. Saya tidak mahu perasaan itu ada dalam diri mereka dan kerana itu, saya bersedia mengeluarkan peruntukan besar,” katanya.

Info:

  • BIRU Cinta Laguna diarahkan Rahim Zali membariskan pelakon seperti Hans Isaac, Sherry Ibrahim, Fazren Rafi, Julia Hana, Cico Harahap, Harun Salim Bachik, Joey selain bintang undangan antaranya Elaine Daly, Aznah Hamid, Sharifah Shahora dan Maria Farida. Skrip drama bersiri 26 episod itu ditulis Siti Jasmina Ibrahim berdasarkan idea cetusan Hans sendiri.

  • HANS berkata, sejak dulu lagi dia mengimpikan untuk melakukan penggambaran di pulau yang menyajikan visual indah serta pemandangan menyegarkan kepada penonton.

  • PADA mulanya Hans merancang untuk membuat penggambaran di Sabah. Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan soal bajet dan logistik dia beralih ke Pulau Perhentian dengan destinasi penggambaran utama di sekitar Perhentian Island Resort. Pulau yang cantik dan lokasinya yang tidak terlalu jauh membuatkan Pulau Perhentian menjadi pilihan utama.

  • BIARPUN mengutamakan elemen hiburan namun Hans tidak lupa menyelitkan mesej dalam setiap produksi supaya ia dekat di hati penonton. Setiap karakter kata Hans, mempunyai konflik dan permasalahan tersendiri sekali gus membawa penonton merenung kehidupan setiap individu sebagai insan biasa.

  • PENGGAMBARAN di Pulau Perhentian selama 23 hari itu mengambil 80 peratus daripada keseluruhan latar drama bersiri siaran TV9 itu. Selebihnya akan diadakan di Kuala Lumpur dan Melaka.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: