Thursday, July 16, 2009

Dalam tarian ada cerita



ANTARA tarian moden yang dipaparkan dalan The Merchants of Bollywood.

Konflik antara orang lama dengan muda dalam muzikal The Merchants of Bollywood

MUZIK dan tari dalam filem Bollywood ibarat irama dan lagu. Setiap bait seni kata pada lagu ada ceritanya sendiri. Bagaimana warna-warni pakaian yang digunakan oleh pelakon dan penarinya, begitulah juga kandungan cerita filem dari Bollywood.

Namun, tanpa perlu menonton babak demi babak seperti dalam filem, penonton masih tetap boleh terhibur melihat cerita dalam dunia Bollywood menerus aksi dan tari. Inilah yang dapat disaksikan menerusi persembahan muzikal The Merchants of Bollywood di Istana Budaya.

Dibawakan khas dari Kota Perfileman, Mumbai, India, persembahan muzikal bertaraf antarabangsa ini sudah bermula sejak 14 Julai lalu dan berlangsung sehingga 26 Julai.

Konsep persembahan dalam The Merchants of Bollywood berbeza dengan teater muzikal. Ia tiada dialog kerana keseluruhan ceritanya disampaikan menerusi tarian dan lagu. Dalam setiap seni kata lagu itulah yang mengandungi cerita keseluruhan The Merchants of Bollywood.

Memang sukar untuk memahami cerita dalam muzikal tari ini kerana semua lagu dinyanyikan dalam bahasa Hindi. Oleh itu, penonton yang dinasihatkan untuk mendapatkan ringkasan dan latar belakang ceritanya sebelum memasuki Panggung Sari.

Bagaimanapun, sebagai sebuah persembahan yang memberi penekanan kepada tarian semata-mata, ada kalanya setiap pergerakan itu sudah membawa ceritanya sendiri. Ini diperkuatkan lagi dengan pakaian yang berwarna-warni yang digunakan oleh penarinya.

Dalam setiap babak dalam The Merchant of Bollywood ini, penarinya akan bertukar pakaian untuk membawa maksud mereka sedang membawakan cerita yang berbeza-beza.

Apa yang pasti, penonton akan kagum dengan stamina penarinya. Gerak tari yang pantas dalam masa empat hingga enam minit atau mungkin lebih memang memerlukan banyak tenaga dan kecergasan yang cukup tinggi.

Pergerakan dan seni tari dalam The Merchant of Bollywood ini adalah hasil ilham daripada koreografer berpengalaman, Vaibhavi Merchant. Vaibhavi memang datang dari keluarga koreografer, penari dan pembikin filem. Datuknya, Shri Hiralal adalah antara pengasas industri perfileman Bollywood. Dia adalah koreografer untuk beberapa lagu dalam filem Hum Dil De Chuke Sanam.

Lagu-lagu dalam muzikal tari ini adalah ciptaan dan gubahan daripada dua beradik, Salim dan Sulaiman Sadruddin. Mereka pernah menghasilkan lagu untuk soundtrack bagi filem Kaal arahan Soham dan diterbitkan bersama oleh Karan Johar dan Shah Rukh Khan.

Watak-watak utamanya pula ialah Carol Furtado sebagai Ayesha, Dipender Singh (Uday), Chander Khanna (Shantilal), Denzil Smith (Tony Bakshi/suara latar) dan Satwinder Jaspar (Happy Singh).

Keseluruhan ceritanya adalah berkisar kepada pertembungan fahaman orang lama dan muda dalam mengekalkan seni dan warisan tradisi.

Ia membawa tema sejagat apabila orang muda memang selalunya keberatan, malahan menolak terus warisan tradisi. Sedangkan, golongan tua pula bermati-matian mahu mengekalkan seni tradisi yang diwarisi turun temurun.

Pertembungan dua fahaman ini menimbulkan konflik. Dalam usaha untuk bertolak ansur itulah, golongan muda bersetuju meneruskan warisan tradisional (dalam hal ini tarian) dan pada masa tidak meninggalkan gaya tari moden.

Jadi, pada penghujung cerita The Merchants of Bollywood ini, penonton dapat menyaksikan persembahan penuh warna warni, mendebarkan dan tarian yang penuh bertenaga dengan menggabungkan bentuk klasik (lama) dan lama, Barat dan India.

Sinopsis: The Merchants of Bollywood

CERITA dalam The Merchants of Bollywood bermula di sebuah gurun di Rajasthan. Dinasti keluarga pedagang (merchant) bertanggungjawab menjaga dan memelihara sebuah tarian tradisional yang dikenali sebagai Kathak atau tarian Tuhan. Shantilal, bekas koreografer yang pernah melalui era kegemilangan industri filem Bollywood. Dia meninggalkan industri filem itu yang merosot kerana kemasukan filem dari Barat. Shantilal menubuhkan sekolah tariannya sendiri dan mengajar tarian tradisional.

Cucunya, Ayesha meninggalkan Rajasthan kerana bercita-cita hendak menjadi ratu tarian dalam industri filem Bollywood hari ini. Dia berjaya mencapai impian itu sehingga digelar ‘The Princess of Romance’.

Bagaimanapun, berlaku perbezaan fahaman antara Shantilal dan Ayesha. Shantilal yakin filem sepatutnya boleh mengubah kehidupan manusia, sebaliknya Ayesha pula beranggapan filem boleh membantu manusia melupakan ketegangan hidup. Ayesha dengan jiwa orang muda, berkeras enggan mengikuti latihan tarian klasik sebaliknya lebih meminati tarian dari Barat.

Bagi meredakan ketegangan, Ayesha melawat Shantilal. Dalam perjalanan merentasi Rajasthan itu, dia bertemu dengan Uday yang dikenalinya sejak kecil lagi.

Dalam sebuah kuil, ada cahaya lampu semakin malap. Apabila datuknya mati, tiada siapa dari kalangan anggota keluarga untuk meneruskan Kathak. Ayesha kemudian berkahwin dengan Uday dan tinggal di Rajasthan. Mereka sama-sama menguruskan sekolah tarian yang diasaskan oleh keluarganya. Bagaimanapun, Ayesha menyeimbangkan antara tarian tradisional dan moden.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: