Thursday, July 16, 2009

Fazren nafi bersikap seperti 'kera sumbang'


Fazren berhasrat untuk menjadi pengarah.

BARANGKALI kerana sifatnya yang pendiam dan gemar menyendiri membuatkan namanya kurang menonjol meskipun produksi dibintanginya mendapat sambutan hebat penonton.

Fazren Rafi, 24, yang mengukir populariti selepas drama berantai, Spa Q menerusi watak Dafi berkata, mungkin itu hanya penilaian mata kasar pemerhati industri kerana hakikatnya dia selesa dengan apa yang dilaluinya.

Kesan populariti Spa Q, nama Fazren kekal berada dalam senarai utama produksi sekali pun limpahan publisiti untuknya tidak sehebat wajah baru lain seperti Fizo Omar, Remy Ishak dan Kamal Adli.

“Saya sendiri memilih untuk menjalani hidup sederhana,” katanya mengakui pernah ditegur pelakon, Iqram Dinzly kerana gemar menyendiri di lokasi.

Sambung anak kelahiran Klang, Selangor ini mempertahankan dirinya, ada beberapa faktor yang menyebabkan dia memilih untuk bersikap begitu.

Kata Fazren, sebagai orang baru dia masih belum memahami selok belok industri hiburan lantas membuatkan dirinya bimbang andai tersasar dalam mencari kawan sejati.

“Namun itu tidak bermakna saya langsung tidak bergaul. Saya masih bertegur sapa dengan semua orang di lokasi. Cuma apabila ada masa terluang, saya selesa membuat perancangan sendiri.

“Saya masuk industri untuk mempelajari selok belok dunia balik tabir kerana apabila tiba masanya, saya ingin bergelar pengarah. Disebabkan itu saya jarang mengambil pusing apa berlaku di lokasi.

“Saya lebih senang mengisi waktu senggang dengan berkongsi pengetahuan serta bertukar pandangan bersama kru produksi. Mungkin itu lebih baik kerana sebolehnya saya tidak mahu diri menjadi sasaran gosip atau kontroversi,’ katanya menyatakan rasional bersikap demikian.

Jelas anak kedua daripada lima beradik itu, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tuntutan populariti sebagai anak seni.

Jujurnya, kata pemuda yang murah dengan senyuman itu, dia belum memahami sepenuhnya apa itu makna glamour.

Namun akui Fazren, dia bertuah kerana selama pembabitannya dia didampingi oleh mereka yang serius mengejar cita-cita dalam bidang lakonan.

“Mereka tidak pernah lokek berkongsi ilmu, malah sentiasa memberi tunjuk ajar untuk mempertingkatkan mutu lakonan. Setiap orang boleh memberikan apa saja persepsi mereka mengenai industri.

“Berdasarkan pengalaman masih ramai yang telus serta ikhlas membantu untuk menjana industri dan membangunkannya sebagai sebuah institusi profesional serta dihormati.

“Itu yang saya utamakan. Jika perasaan hormat tiada, bagaimana kita anak seni mahu orang luar menghormati dan menghargai?,” tanya Fazren.

Ditemui ketika penggambaran drama bersiri terbitan Tall Order Productions, Biru Cinta Laguna di Perhentian Island Resort, Terengganu, Fazren berkata, ketika ini tawaran untuknya masih berlegar kepada watak baik.

Entah kenapa katanya, dia sendiri tidak mempunyai jawapan mengapa pengarah acap kali menawarkannya watak serupa.

Biarpun setiap watak menawarkan cabaran berbeza, namun sesekali dia ingin keluar dari kepompong selesa dan mencuba peranan antagonis supaya khalayak dapat menilai kepelbagaian lakonannya.

“Pernah juga terfikir mengenai perkara itu tetapi siapa saya untuk menjadi terlalu pemilih? Saya masih baru untuk menolak sesuatu tawaran dan bukan masanya lagi menjadi seorang yang terlalu selektif.

“Saya belum mencapai tahap untuk berkata tidak kepada sesuatu tawaran. Bukan bermakna saya tunduk kepada kehendak orang cuma saya tidak mahu dituduh cerewet. Jadi saya hanya mengikut arus perjalanan karier.

“Saya percaya apabila sudah meraih kepercayaan nanti, pelbagai tawaran akan menanti. Buat sementara waktu ini, saya gilapkan dulu bakat yang ada supaya pengarah yakin dengan kemampuan diri,” katanya.

Dengan sedikit pengalaman yang ada serta ilmu yang digali sebagai penuntut tahun akhir Universiti Malaya dalam jurusan ijazah Seni Persembahan Drama (Pengarahan), itu belum memadai buat Fazren untuk menduduki kerusi pengarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: