Thursday, July 16, 2009

'Kami bukan bergaduh, minta ruang berehat'



DARI (kiri); Mohd Pauzi, Michael dan Vernon.

TIDAK sampai setahun selepas pembubaran mengejut Ning & Associates yang dinaungi Ning Baizura, bekas pengurus penyanyi itu Vernon Kedit-Jolly pula mengambil keputusan mengundurkan diri dari Artiste United Records (AUR) secara senyap-senyap.

Vernon bagaimanapun mengambil langkah berdiam diri berhubung penarikan diri dari AUR sebaliknya berita pemberhentian itu dihebahkan Pengarah Operasi AUR, Michael Ang pada satu majlis makan tengah hari.

Bagaimanapun tujuan Michael bukan mengumumkan berita pemberhentian Vernon tetapi lebih kepada berkongsi cerita mengenai sambutan baik penonton terhadap program Gugu Gaga Erra yang turut diterbitkan sebuah lagi syarikatnya Box Lite Film.

Michael menjelaskan, Vernon mengundur diri secara baik dan bukan kerana salah faham. Dia menerima surat peletakan jawatan Vernon dua minggu lalu yang memberi alasan mahu berehat. Sebagai majikan tegas Michael, dia akur dengan permintaan anak buahnya itu.

Bagaimanapun kata Michael sejak dua bulan lalu, dia sudah dapat mencium perancangan Vernon untuk berhenti, justeru sejak itu tugas menguruskan Nikki dan Nubhan yang masih bernaung di bawah AUR diberi kepada pengurus baru Mohd Pauzi Abdul Samad atau Pojie.

“Mulai sekarang kerjaya Nikki dan Nubhan akan diuruskan Pojie. Sebenarnya saya sedih dan terkilan juga kerana Vernon terpaksa mengundur diri tetapi saya tidak mampu menghalang kerana dia memerlukan sedikit ruang untuk berehat. Kami bukan bergaduh atau berselisih faham, sebaliknya dia berhenti secara baik.

“Pengunduran Vernon tidak akan menjejaskan perancangan kami untuk Nikki dan Nubhan. Rancangan untuk membawa Nikki ke Indonesia akan tetap diteruskan. Pembikinan album Nubhan yang tertangguh pula akan diteruskan pada bulan Ramadan nanti. Sebelum Vernon meninggalkan AUR, Nubhan sempat merakamkan empat buah lagu dan kita menyambung kembali rakaman album itu dan kita dijangkakan album Nubhan berada di pasaran pada November nanti dan paling lewat Disember.

“Walaupun nama Vernon dan Aur sudah kukuh saya percaya Pojie mampu menggalas tugas yang sebelum ini dipegang Vernon dengan baik. Malah kami sudah ada perancangan untuk artis yang bernaung di bawah AUR. Antara perancangan kami ialah untuk mengubah imej Nubhan menjadi dirinya sendiri. Ini bukan bermakna saya tidak suka dengan usaha Vernon selama ini tetapi imejnya yang dulu tak sesuai untuk penyanyi baru sepertinya.

“Kami tidak mahu peminat berasakan ada jurang dengannya. Kalau boleh kami mahu mereka dekat dengannya seperti imej Aizat dan Bunkface yang membuatkan peminat selesa dengan mereka,” kata Michael.

Sementara itu, Vernon ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen mengenai pengundurannya. Bagaimanapun dia juga menjelaskan keputusan yang diambilnya itu bukan kerana salah faham dengan majikannya.

Vernon berkata, dia tidak perlu mengumumkan pemberhentiannya dan memadai kenyataan dari Michael saja. Lagipun katanya, pengundurannya itu dibuat secara baik. Vernon yang berpengalaman menguruskan kerjaya Ning Baizura selama 16 tahun enggan mendedahkan perancangannya sama ada terus aktif dalam dunia hiburan atau sebaliknya.

“Saya tak mahu berikan sebarang komen. Saya percaya Nubhan dan Nikki akan dijaga dengan rapi oleh AUR, begitu juga dengan Erra Fazira. Saya harap semua orang dapat terus memberikan sokongan kepada ketiga-tiga artis ini.

“Tunggu dan lihat apakah perancangan saya selepas ini. Memang ada sesuatu yang sedang saya rancang tetapi buat masa ini biarlah menjadi rahsia dulu. Kemungkinan ada sesuatu yang akan saya buat,” katanya.

Jangan salahkan Erra Fazira

SEJAK Gugu Gaga Erra yang memaparkan kehidupan primadona filem Melayu itu bersama puteri sulungnya, Engku Aleesya, disiarkan di kaca televisyen, secara tidak langsung peminat mengetahui kehidupan seharian dilalui seorang selebriti dan ibu bernama Erra Fazira.

Namun ada yang mula mempertikaikan kebenaran Gugu Gaga Erra dan menganggap apa yang dipaparkan di kaca televisyen hanyalah lakonan semata-mata. Bagaimanapun Michael tampil membuat penjelasan apa yang dipaparkan adalah realiti dan bukan dibuat-buat seperti tanggapan kebanyakan penonton program realiti itu.

Michael juga menerangkan apa yang dipaparkan di kaca televisyen bukanlah seperti dikehendaki pelakon dan penyanyi itu sebaliknya ia adalah tanggungjawab Box Lite Film, 100 peratus. Justeru, dia berharap agar penonton tidak menyalahkan pelakon itu dalam hal ini.

“Antara komen yang kita terima, Gugu Gaga Erra nampak seperti lakonan saja. Saya ingin jelaskan apa yang kita paparkan bukan dibuat-buat tetapi itulah realiti yang terjadi. Banyak juga penonton mengatakan Erra garang pada suami dan juga pengurusnya Azira. Itu mungkin salah kami kerana kita potong sana sini ketika proses suntingan dan bila siap, orang nampak Erra macam garang.

“Tapi kalau difikirkan secara logik, rumah dia dua tingkat. Kalau dia panggil suaminya dengan nada suara yang rendah tentu suaminya tidak dengar, jadi dia terpaksa menjerit memanggil suaminya yang berada di tingkat atas.

“Setakat ini Erra tidak pernah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap hasil kerja kami. Cuma sebelum kami memulakan penggambaran dulu, dia tegaskan supaya berhati-hati dengan imejnya supaya tak nampak seksi. Selebihnya, seperti penampilannya ketika di rumah, dia memang tak kisah kerana dia mahu peminat melihat realiti kehidupannya,” kata Michael lagi.

Walaupun menerima pelbagai kritikan, Michael berpuas hati dengan sambutan yang diterima dari penonton terhadap program itu. Gugu Gaga Erra menunjukkan perkembangan positif apabila ditonton lebih 600,000 orang pada episod pertama dan menjadi antara program diminati pada setiap Selasa, jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: