SEMUA orang tahu Amerika Syarikat (AS) mempunyai industri hiburan yang besar. Malah, ia juga dikatakan sebagai yang terbesar di dunia.
Sebutlah apa sahaja bidang hiburan seperti nyanyian, muzik, lakonan, filem, drama televisyen (TV) ataupun teater. Semuanya ada di sana.
Segala macam jenis penyanyi, karyawan muzik dan filem yang hebat-hebat, ramai yang dilahirkan dari negara Uncle Sam tersebut.
Sebab itu, kalau mahu disenaraikan nama penyanyi, pelakon atau pemuzik yang ada di AS, boleh 'demam' sekejap kita dibuatnya. Memang tidak terkira bilangannya.
Disebabkan terlalu ramai insan seni yang betul-betul berbakat di sana, maka kita juga seakan-akan tidak pasti siapa yang paling hebat di antara mereka.
Setiap daripada mereka tampil dengan kreativiti dan karya-karya yang tersendiri. Cuma di AS, kalau ada orang seni yang mendapat gelaran diva atau sifu, orang itu memang dahsyat. Memang bukan calang-calang artis.
Diva mungkin boleh disamakan dengan ratu. Sementara, sifu pula lebih kurang sama taraf kehebatannya dengan tok guru.
Tidak kiralah bidang apa sekalipun yang mereka ceburi. Sama ada golongan ini paling hebat menyanyi, berlakon, mencipta lagu ataupun sekadar pernah memenangi pertandingan Ratu Kebaya.
Setakat yang kita dengar, Celine Dion antara sekelumit daripada puluhan ribu penyanyi wanita yang mendapat gelaran diva di AS. Mendiang Michael Jackson pula dengan gelaran Raja Pop.
Mungkin keunikan suara dan prestasi jualan album-album mereka yang berpuluh-puluh juta unit jumlahnya menyebabkan ramai yang setuju dengan gelaran tersebut.
Itu cerita di AS yang mempunyai penduduk kira-kira 250 juta orang. Tetapi lain pula halnya dengan industri hiburan kita.
Dengan sekitar 28 juta penduduk, apatah lagi dengan penyanyi kita yang benar-benar layak digelar penyanyi pun tidak sampai sedozen bilangannya.
Namun, itu bukanlah menjadi kayu ukuran yang penting. Malah, kita jauh lebih hebat daripada para karyawan seni yang ada di AS.
Mana tidaknya, walaupun dunia hiburan kita cuma 'sekangkang kera', tetapi kita kini ada lebih ramai diva dan sifu daripada di negara Polis Dunia itu.
Dalam dunia hiburan kita, ramai yang telah mendapat gelaran diva, sifu dan segala macam lagi gelaran yang hebat-hebat belaka.
Contohnya, kita ada artis yang mendapat gelaran Ratu Rock, sifu bikin lagu, Ratu Dangdut, Ratu Jazz, Ratu Filem Melayu dan sebagainya.
Kalau tidak hebat, masakan mereka mendapat gelaran-gelaran yang sedemikian rupa. Sebagai antara orang yang bertanggungjawab memberi gelaran itu, kita boleh dikategorikan hebat seperti mereka juga.
Jika tidak hebat, mana mungkin kita mengiktiraf mereka itu sebagai sifu atau diva. Bak kata orang, 'hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam'. Itu adalah bukti kehebatan kita.
Kita tentunya mempunyai paras citarasa yang tinggi, bijak memilih antara kualiti dan nilai-nilai kosmetik yang ada pada artis-artis kita.
Soal lagu apa yang mereka cipta, tiru dari mana atau untuk siapa lagu itu dicipta, ia tidak penting. Album mereka wajib dibeli, konsert mereka harus ditonton termasuklah yang percuma.
Malah, kalau ada sifu atau diva yang kita angkat itu menyanyi terlupa lirik, menagih dadah, memaki hamun peminat atau memperlekeh-lekehkan kerja wartawan, itu tidak mengapa.
Sebabnya, kalau sudah bertaraf diva atau sifu mereka mungkin dibolehkan berbuat begitu. Apa yang penting, kita perlu mengangkat ratu atau diva kita sendiri. Ia sebagai suatu simbol kebanggaan dalam persada hiburan kita.
Barulah nampak hebat dan sama tarafnya dengan artis-artis luar negara. Sama ada ia bertaraf kampung atau di peringkat antarabangsa juga tidak penting.
Sekalipun ada artis yang kita angkat sebagai idola itu tidak punya apa-apa. Hanya sekadar popular kerana menerima banyak undian khidmat pesanan ringkas (SMS). Itu pun tidak mengapa.
Sebaliknya, kita bangga mengangkat nama mereka sebagai idola untuk anak-anak remaja kita. Berhabis duit kerana menghantar undian SMS buat idola kita itu juga tidak menjadi soal.
Sayangnya, selama ini kita belum terdengar pun gelaran yang lebih hebat selain gelaran seniman supaya diberikan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sedangkan huruf P pada pangkal nama Allahyarham itu sudah pun menggambarkan segala macam kelebihannya dalam bidang seni.
Ia termasuklah merujuk kepada penyanyi, pelakon, pelawak, penulis lirik, penggubah lagu, pengarah, pemuzik dan segala macam lagi.
Kredibiliti dan bakat P. Ramlee dalam bidang seni memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Tetapi kita tidak pernah pula mendengar orang menggelar Allahyarham sebagai sifu P. Ramlee.
Justeru, dalam hal ini kita seharusnya membela para diva atau sifu yang kita sanjungi selama ini kalau mereka marah kerana album-album mereka tidak laku di pasaran.
Ataupun jika mereka menyalahkan kemasukan artis-artis luar seperti dari Indonesia yang kononnya mahu mendominasi industri hiburan kita.
Seharusnya kita bersetuju bulat-bulat dengan dakwaan-dakwaan seperti itu dan terus memberi sokongan padu kepada mereka.
Kita juga biasa mendengar artis-artis kita mengeluh apabila tiada penaja yang mahu menaja konsert-konsert mereka. Mereka ini juga sepatutnya diberi perhatian dan pembelaan.
Pihak penaja haruslah dipersalahkan kerana artis-artis kita bukannya calang-calang orang kerana ramai di antara mereka yang telah pun mendapat gelaran sifu atau diva.
Bukankah kita sendiri yang telah memberi gelaran dan meletakkan mereka pada taraf tersebut?
Kalaulah kita yang tidak menyokong diva-diva dan sifu yang kita iktiraf itu, siapa lagi?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: