![]() |
| BUNGA Citra Lestari (kiri) sewaktu menerima trofi Artis Wanita Terbaik. |
APABILA Jakarta dipilih sebagai tuan rumah untuk Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) untuk kali pertama, ramai yang menyambutnya dengan penuh gembira.
Manakan tidak. Sepanjang lapan tahun APM diadakan, inilah kali pertama bumi jajahan Belanda itu terpilih menjadi tuan rumah untuk majlis anugerah yang menggabungkan tiga negara serantau - Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Sebelum ini, hanya Singapura dan Malaysia sahaja yang menjadi pilihan untuk menganjurkan APM sehingga ramai yang bertanya adakah Indonesia tidak layak untuk bergelar tuan rumah.
Namun kegembiraan itu terencat dengan insiden pengeboman berani mati yang melibatkan dua hotel mewah sehari sebelumnya acara gilang-gemilang itu berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Senayan, Jakarta.
Lantas, ia mengundang rasa gusar dan bimbang kepada delegasi Malaysia untuk sama-sama meraikan acara anugerah yang mengiktiraf hasil karya tiga negara serumpun itu.
Bimbang juga APM 2009 akan dibatalkan pada saat-saat akhir atas faktor keselamatan namun, atas nama cinta dan kesatuan dalam muzik, acara itu diteruskan juga pada malam Sabtu lalu.
Keputusan juga sudah diketahui dan kalau ada pertikaian sekali pun, tiada apa yang boleh diubah kerana semuanya ditentukan oleh pihak juri yang bijaksana serta pilihan penonton dan peminat yang gigih mengundi untuk memastikan artis kesayangan mereka menjulang kejuaraan.
Dominasi
Seperti biasa, sejak lapan tahun APM berlangsung, anugerah itu berakhir dengan memperlihatkan karyawan seni Indonesia yang sering kali mendominasi pengiktirafan yang menobatkan gelaran terbaik.
Tahun ini menyaksikan Indonesia berjaya merangkul tujuh gelaran terbaik dan dua lagi untuk kategori popular.
Afgan mencuri perhatian pada malam itu apabila berjaya memenangi dua anugerah iaitu Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik yang dipertandingkan menerusi album perdananya, Confession No. 1.
Begitu juga dengan Yovie & Nuno yang memenangi kategori Duo/Kumpulan Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular selain Nidji yang sudah diramal dari awal untuk membawa pulang gelaran Lagu Terbaik bagi lagu Laskar Pelangi.
Namun, apa yang mengejutkan pada malam itu adalah apabila Bunga Citra Lestari dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik dengan menewaskan calon utama, Datuk Siti Nurhaliza yang mempertaruhkan album Lentera Timur.
Ini merupakan kali kedua Siti tewas di tangan penyanyi Indonesia selepas mengungguli kategori berkenaan selama enam tahun berturut-turut sejak tahun 2001.
Tahun lalu Siti tewas di tangan penyanyi tersohor Indonesia yang juga rakan karibnya, Kris Dayanti.
Kekalahan Siti bukanlah bermakna dia bukan lagi yang terbaik tetapi mungkin rezeki tidak berpihak kepadanya sekali lagi.
Mungkin pihak juri merasakan ada kelebihan dalam diri Bunga yang tiada pada Siti untuk dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik.
Malah, Siti sendiri tidak berkecil hati mahupun kecewa apabila gelaran itu tidak lagi menjadi miliknya.
Apa yang penting baginya adalah perjuangannya dalam industri muzik itu sendiri.
Tidak menggenggam gelaran terbaik tahun ini bukanlah bermakna Siti pulang dengan tangan kosong.
Tetap unggul
APM 2009 menyaksikan populariti Siti tetap utuh dan belum mampu dikekang oleh sesiapa biarpun sudah bergelar seorang isteri.
Sebagai bukti, dia masih lagi menjadi pilihan peminat-peminatnya di Malaysia, Indonesia dan Singapura apabila menjulang kategori Artis Serantau Paling Popular yang julung kali diperkenalkan tahun ini.
Sebelum ini, ia dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Artis Lelaki, Wanita dan Duo/Kumpulan Paling Popular sebelum disatukan menjadi Artis Serantau Paling Popular.
Kemenangan itu berjaya membuktikan bahawa biarpun status dirinya sudah berubah, ia bukanlah satu halangan untuk dirinya mempertahankan gelaran popular selama 14 tahun menjadi anak seni.
Dengan gelaran itu, Siti telah menewaskan nama-nama besar seperti Afgan, Agnes Monica, ST12, Taufik Batisah serta artis tempatan lain iaitu Faizal Tahir, Hujan dan Meet Uncle Hussain.
Pada masa yang sama, Siti turut disoal tentang dominasi Indonesia yang saban tahun merangkul gelaran terbaik berbanding Malaysia terutama sekali untuk Album dan Lagu Terbaik.
Hanya dia sahaja sebelum ini pernah memecah monopoli Indonesia pada tahun 2007 apabila memenangi kategori Lagu Terbaik menerusi Biarlah Rahsia.
Itupun hasil gandingannya bersama komposer tersohor seberang, Melly Goeslaw.
Keistimewaan
Persoalannya, apakah karya dan produk dari Malaysia belum mampu berdiri sama tinggi dengan produk Indonesia untuk bergelar terbaik?
Sebagai seorang yang boleh dianggap lama dalam industri, ternyata Siti mempunyai jawapan tersendiri apabila Hits menghubunginya untuk mendapatkan pandangannya.
Sering bekerjasama dengan karyawan seni Indonesia, Siti mengakui mereka mempunyai sentuhan serta kreativiti yang tersendiri terutama dari segi melodi yang mampu meninggalkan impak besar.
Bagaimanapun, Siti menolak dakwaan karyawan Malaysia tidak bagus kerana secara peribadi penyanyi itu berpendapat, masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.
"Disebabkan itu, setiap kali saya menghasilkan album, biarpun ada lagu dari komposer Indonesia, saya tetap akan mengutamakan anak tempatan untuk memperindahkan lagu karya dalam album saya. Tidaklah berkiblatkan muzik mereka 100 peratus.
"Kita sebagai anak seni harus sama-sama memikirkan idea serta mekanisme baru untuk sentiasa menghasilkan karya yang terbaik agar kita mampu bersaing secara sihat dengan mereka.
"Bukan kita tidak bagus, cuma mungkin ada kalanya rezeki tidak berpihak kepada kita dan seharusnya kita jadikan itu sebagai semangat untuk kita terus berikan yang terbaik," ujarnya yang turut memenangi anugerah Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo! pada malam itu.
Seiring
Tidak cukup dengan itu, Siti turut ditanya tentang kemampuannya yang hanya mampu bergelar popular sahaja.
Penuh optimis dia menyifatkan dua trofi yang diraih pada malam APM 2009 adalah sebagai satu penghargaan buat dirinya daripada peminat yang tidak pernah berhenti menyokongnya.
Apatah lagi, Artis Serantau Paling Popular merupakan undian peminat daripada tiga negara serantau yang terlibat.
"Ia bukanlah sebagai satu gelaran popular semata-mata sahaja kerana pada saya, kalau terbaik tetapi tidak popular, susah juga. Begitu juga kalau popular tetapi tidak yang terbaik.
"Bagi saya, popular dan terbaik perlu seiring dalam diri mana-mana artis untuk menyakinkan peminat terhadap diri mereka. Susah juga kalau kita sudah buat yang terbaik untuk album, tetapi tidak mendapat sokongan," jelasnya yang turut membuat persembahan menerusi lagu Cindai dan Di Taman Teman pada malam itu.
Malam APM 2009 juga menyaksikan kebangkitan penyanyi dan komposer yang semakin menempa nama, Aizat apabila mengungguli dua anugerah pada malam itu menerusi kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Lagu Malaysia Paling Popular.
Kejutan
Kemenangan Aizat untuk kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dilihat sedikit mengejutkan kerana saingannya bukanlah calang-calang terutamanya Afgan yang disebut-sebut akan membawa pulang gelaran itu.
Malah, sewaktu nama Aizat disebut, tuan punya diri juga kelihatan tergamam dan bagaikan tidak percaya dia mampu menewaskan Afgan yang pengaruh muziknya bukan sedikit selepas meledak dengan lagu Terima Kasih Cinta dan Entah.
Mungkin pihak juri merasakan Aizat mempunyai kelebihan untuk bergelar Artis Baru Terbaik dan sudah pasti gelaran berkenaan adalah sebagai satu semangat baru untuk Aizat terus menghasilkan karya yang berkualiti.
Kemenangannya pada malam itu juga dilihat sebagai tiket buat Aizat untuk menembusi pasaran Indonesia dengan mudah.
Bukan itu sahaja, kemenangan Ayu untuk Artis Baru Wanita Terbaik juga membuktikan bahawa bakat mengatasi segala-galanya biarpun juara One In A Million musim kedua itu tidak mempunyai rupa paras yang menawan.
Hambar
Sedikit mengenai APM 2009, entah mengapa acara itu dilihat tidak meninggalkan impak yang besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Perjalanan acara yang memakan masa hampir tiga jam itu kelihatan sungguh hambar dan tidak bermaya.
Bahkan, persembahan artis juga bagaikan tidak bertenaga ekoran sistem bunyinya tidak seperti sebuah acara anugerah yang gah!
Malah, kehadiran tiga pengacara yang diberi mandat sebagai mengendalikan APM tahun ini iaitu Aura Shai, Aznil Nawawi dan Nirina Zubir juga seolah-olah sekadar penyeri majlis sahaja.
Adakah kerana situasi dan senario yang berlaku di sana ketika itu menjadikan APM tahun ini tidak ubah seperti rancangan hiburan biasa sahaja?
Nampaknya pihak penganjur harus mencari satu mekanisme dan jalan penyelesaian untuk mengembalikan kegemilangan APM yang bukan sekadar hanya untuk memberi pengiktirafan sahaja.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: