Thursday, May 7, 2009

Ujian besar menanti di WCOPA


Semua 24 peserta yang terpilih mewakili negara di WCOPA, Los Angeles.


MASIH segar dalam ingatan dunia seni persembahan tanah air akan kecemerlangan Malaysia dalam World Championship Of Performing Arts (WCOPA), di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat apabila berjaya membawa pulang 27 pingat emas, sembilan perak dan dua gangsa pada tahun lepas.

Malah, sepanjang 13 tahun pertandingan yang juga dikenali sebagai Kejuaraan Persembahan Seni Dunia dianjurkan, nama Malaysia cukup terkenal dengan memiliki bakat-bakat seni bertaraf antarabangsa terutamanya dalam bidang nyanyian.

Syafinaz Selamat, Deja Moss, Noryn Aziz, Iqwal dan Dina merupakan antara nama yang pernah mengharumkan nama negara di pentas berprestij itu.

Memulakan uji bakat WCOPA di seluruh negara pada 14 Februari tahun ini, melalui program Worldstars Road To Hollywood peringkat akhir, berjaya menemui 24 orang yang bakal mewakili negara di LA pada 11 hingga 19 Julai nanti.

Malaysia akan menyertai lima kategori yang terdiri daripada vokal, alat muzik, tarian, model dan lakonan.

Dua artis terkenal negara, Siti Sarah Raisuddin (Sarah) dan Yusrizan Usop (Bob) bakal menjadi tunggak negara bagi mengulangi kejayaan Noryn Aziz dan Iqwal apabila terpilih untuk bertanding dalam kategori vokal.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dan disiarkan menerusi TV2, Sarah menyampaikan lagu Respect pada pusingan pertama dan Listen untuk pusingan kedua.

Dan tiada siapa mampu menafikan kekuatan vokal yang ada pada penyanyi genit itu.

Walaupun hanya diberikan satu minit untuk membuat persembahan bagi satu lagu, ia sudah memadai untuk Sarah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

"Saya telah melakukan persiapan sejak sebulan lepas, melakukan latihan lebih kurang tujuh jam sehari, semata-mata untuk pertandingan ini.

"Namun, beberapa hari lepas, saya diserang demam yang teruk, suara tidak keluar sehingga doktor terpaksa memasukkan air ke dalam badan saya.

"Alhamdulillah, kesihatan mengizinkan malam ini, dan saya terpilih untuk mewakili Malaysia di WCOPA,'' ujarnya ketika ditemui media sebaik sahaja usai pertandingan tersebut.

Bagi Bob pula, terpilih atau tidak, bukanlah keutamaan anak kelahiran Bumi Kenyalang ini.

"Saya hanya mahu memberikan persembahan yang baik malam ini.

"Seperti juga Sarah, saya tidak menyangka akan terpilih kerana peserta-peserta lain juga mempunyai kekuatan dan kehebatan masing-masing," katanya.

Malam tersebut Bob tampil memukau dengan lantunan vokal yang hebat apabila menyampaikan lagu The Prayer dan My Baby You.

Selain Sarah dan Bob, kategori vokal turut diwakili oleh dua bakat baru iaitu Norhasmidar Ahmad dan Raja Farah Afzal.

Paling menarik apabila Norhasmidar mempunyai keunikan tersendiri, memiliki suara soprano apabila mampu menyanyikan lagu klasik, Chanson Bohem dengan baik sekali selain lagu Almost Like Be In Love.

Tidak menghairankan apabila Norhasmidar sendiri sedang belajar dalam kursus vokal klasik peringkat ijazah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Manakala Raja Farah yang mempunyai pengalaman sebagai penyanyi di kelab selama lima tahun, juga tidak kurang hebatnya apabila tampil dengan lagu bernada tinggi, I Surrender dan Hurt.

Buat pertama kali negara menghantar wakil dalam kategori lakonan apabila Putri Mardiana Zainal Abidin mampu meyakinkan para juri dengan lakonan yang mantap untuk memilihnya.

Mengisahkan kekecewaan seorang wanita yang ditinggalkan kekasih kerana menyintai kaum sejenis, lakonan Putri mampu mengalahkan empat peserta lain iaitu Sharifah Aqilah, G. Pathieswaran, Ros Ramona dan Nurul Ain untuk kategori yang sama.

"Saya tidak mempunyai asas dalam lakonan. Saya menyertai pertandingan ini atas dasar minat yang mendalam.

"Saya hanya berniaga nasi lemak dan suri rumah serta tidak mengikuti mana-mana kelas lakonan secara khusus sebelum ini.

"Sudah tentu terkejut apabila terpilih, lebih-lebih lagi wakil tunggal dalam kategori lakonan. Saya akan lakukan yang terbaik di LA nanti," kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Bagi kategori model pula, Malaysia diwakili empat orang jelitawan dan kacak negara iaitu Siti Nurizana, Dilla Syahirah, Wilson Tan Siong Ping dan Ramsheh Singh.

Mungkin nampak senang bagi kategori ini, tetapi, terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh keempat-empat mereka sebelum berjaya menempah tiket ke WCOPA.

Dilla dan Nurizana misalnya, terpaksa menolak banyak tawaran kerja semata-mata mengikuti latihan untuk pemilihan WCOPA.

"Kalau difikirkan memang rugi sebab tolak banyak tawaran kerja, tetapi berbaloi apabila kami berdua terpilih mewakili Malaysia ke LA nanti," ujar Dilla sambil mewakili rakannya, Nurizana.

Bagi Wilson pula, dia terasa puas apabila kerja kerasnya selama sebulan ini berbalas apabila turut mengiringi tiga peserta lain dalam kategori model.

"Dalam tempoh sebulan sebelum malam ini, saya banyak pergi ke gim dan menghadiri kelas bagi memperbaiki gaya jalan saya," ujarnya lagi.

Tiada wakil tarian solo

Pada malam akhir tersebut, pihak juri kategori tarian sebulat suara memutuskan bahawa tidak ada peserta yang layak mewakili Malaysia bagi kategori tarian solo tahun ini.

Baik Sharifah Nabila, Saifful Hirman, Azharudin Ramli, Noor Diana Abu Zarin dan Leslie Eli, persembahan mereka gagal menambat hati pihak juri.

Namun kategori berkumpulan, Artistana mewakili Istana Budaya berjaya mempamerkan persembahan yang meyakinkan juri, sekali gus menggalas tanggungjawab di LA nanti.

Berbeza pula dengan kategori muzik, apabila negara mempunyai wakil untuk kategori solo dan berkumpulan.

Kumpulan Tuku' Kame' dari Sarawak yang mempersembahkan lagu Puteri Santubong sememangnya layak untuk mewakili negara di pentas antarabangsa itu.

Elemen muzik tradisional Sarawak yang diadun dengan rentak yang moden, dijangka mampu menonjol di WCOPA kelak.

Malah Tuku' Kame' juga cukup kreatif apabila turut menari di samping bermain muzik.

Kejayaan berganda bagi kumpulan ini apabila salah seorang ahli kumpulannya, Jerry Kamit berjaya terpilih dalam kategori muzik solo pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: