Thursday, May 21, 2009

Simpati nasib Remy Ishak




SALAM hari Khamis buat semua peminat Marilyn. Seminggu Marilyn tunggu untuk berceloteh, rasanya kepala ni dah nak meletup dengan cerita-cerita 'panas' dan hangat.

Sebelum masuk kisah panas dunia hiburan, telefon Marilyn dapat satu panggilan, rupa-rupanya daripada seorang pelakon tampan yang sedang sibuk di lokasi Nur Kasih, Remy Ishak.

Berdebar dada Marilyn bila orang kacak macam Remy telefon. Maklumlah Marilyn ini agak elergi lelaki, terutama yang bertubuh sasa dan kacak macam Remy.

Ingatkan Remy nak khabarkan dia nak bertunang atau apa, tiba-tiba sahaja telefon. Rupa-rupanya Remy prihatin dengan setiap panggilan masuk yang tak sempat dijawabnya. Kebetulan pula dia baru sahaja ditimpa 'kemalangan' terus jadi bahan berbual sakan dengan Marilyn. Ops! Jangan ada yang cemburu tau. Bukan kemalangan jiwa, cuma nasib Remy agak malang apabila cermin kereta yang dinaiki bersama temannya kena pecah ketika mereka berhenti rehat di satu hentian dalam perjalanan ke rumah dari KLIA.

Sedih sungguh si Remy sekarang ni. Sedihnya bukan kepalang sebab kamera Nikon kesayangannya turut sama lesap bersama beg sandangnya yang ada dalam kereta itu.

Lebih sedih lagi pasport antarabangsanya juga hilang dan dia terpaksa berdepan dengan pihak Imigresen sebab bulan depan dia dijangka ke negara Jordan. Wah! hebat Remy sekarang, buat drama pun sampai ke luar negara.

"Risau hal pasport satu hal. Saya ni pertama kali ada pasport dan keluar negara pun sebab berlakon. Pasport itu bukti saya pernah ke Australia, Brunei dan Singapura. Ingat nak buat kenangan bila tengok balik cop-cop imigresen tu!" keluh Remy.

Sentimental pulak. Kalau ada rezeki, 10 kali salin pasport pun boleh Remy. Yang penting berlakon kena bagus, barulah penerbit berani bawa sampai ke Afrika Selatan sekalipun.

Mungkin ada hikmat di sebalik kesukaran. Sabar sajalah. Itulah, letak lagi beg berharga dalam kereta. Dah kena curi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: