|
 |
| JIWA raganya masih pada dunia penyiaran, biarpun sudah tujuh tahun berehat daripada bidang yang melonjakkan nama Datin Seri Normala Samsuddin, 45. Kehadirannya pada majlis Makan Malam Gala Rafflesia di Tropicana Golf & Country Resort, baru-baru ini membuatkan media tidak mahu terlepas peluang bertanya cerita terbaru mengenainya. |
Selepas agak lama menyepi daripada dunia glamor sebaliknya hadir menemani suami di majlis rasmi, tentunya kehadiran wanita cantik ini bersama selebriti lainnya menjadi tumpuan. Turut memeriahkan majlis itu, Anita Sarawak, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Fouziah Ghous, Ning Baizura dan Chelsia Ng.
Ketika kemuncak pembabitannya dalam bidang penyiaran, Normala cukup popular ketika mengacarakan program majalah wanita di TV3 seperti Nona. Kepetahannya ketika berbicara meninggalkan kesan tersendiri kepada peminat setia program televisyen itu.
Sejak mendirikan rumah tangga dengan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid tiga tahun lalu, ada yang menyangka Normala sudah mengumumkan persaraan daripada dunia seni. Begitupun, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat kemunculan semula.
Sebagai permulaan, ibu kepada tiga cahaya mata ini tampil menerusi program majalah wanita Bersama Normala yang disiarkan menerusi TV1 setiap Ahad, jam 3 petang sejak 17 Mei lalu. Menariknya Normala tampil sebagai pengacara dengan imej nenek tua.
Normala berkata, perancangan untuk membuat 'come back' dalam bidang penyiaran sudah lama difikirkan walaupun kehadirannya bukan mencari keuntungan atau mengejar populariti, tetapi untuk kepuasan diri sendiri.
"Perancangan itu sudah difikirkan sejak tiga tahun lalu, tapi pembabitan saya bukan untuk mencari keuntungan atau populariti, sebaliknya untuk memeriahkan lagi industri. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, saya berasakan ini adalah masa sesuai untuk kembali.
"Saya memang jenis suka berfikir dan banyak menulis. Justeru idea yang saya ada itu cuba dikembangkan melalui penghasilan program. Idea menghasilkan program berkenaan juga daripada ilham saya di samping produksi yang menjayakannya. Bidang penulisan dan penyiaran cukup dekat dalam jiwa saya.
"Ini juga sebagai permulaan bagi saya. Jika tiada aral, saya juga akan terbabit dalam beberapa program di televisyen," katanya.
Minat pada bidang penulisan turut mendorongnya menghasilkan manuskrip berkaitan kehidupannya. Besar kemungkinan manuskrip berkenaan akan dibukukan selepas usianya meningkat 65 tahun.
Normala turut menafikan pembabitan semula dalam bidang penyiaran sebagai melepas 'gian'. Sebaliknya idea yang dicurahkan menerusi penulisan turut dihasilkan menerusi program televisyen.
Bakat penulisan turut dikembangkan dalam konteks drama. Dia kini cuba menyiapkan skrip drama yang masih dirahsiakan dan sedang dalam perbincangan.
Mengenai rahsia kelihatan ceria dan cantik, Normala yang pernah mendapat jolokan Wanita Melayu Terakhir suatu masa dulu memaklumkan, tiada petua khusus sebaliknya hati perlu senang dan gembira.
Mengenai senario bidang pengacaraan dewasa ini, Normala bersyukur kerana pernah merasai sendiri zaman kegemilangan itu. Malah dari segi saingan dalam bidang pengacaraan itu sendiri agak berbeza. Sekadar memberi beberapa nama yang mencuri tumpuannya dalam bidang pengacaraan seperti Sarimah Ibrahim, Aznil Nawawi dan Nurul Shuhada.
"Menjadi penerbit dan pengacara bukan mudah. Selain perlu mempunyai pasukan yang baik, ia juga memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada setiap individu itu sendiri. Saya sudah melalui zaman popular atau glamor. Dengan faktor usia yang semakin meningkat, sasaran saya lebih kepada berkongsi idea, pengalaman dan maklumat.
"Kita perlu sedar tidak semua individu boleh mengacara. Sebagai permulaan, mungkin saya akan melatih anak yang sudah menunjukkan minat dalam bidang pengacaraan sebelum melatih orang lain," katanya.
Normala juga berbesar hati apabila diminta bergambar bersama artis muda dan semakin meningkat naik dalam dunia lakonan seperti Rozita, Ayu Raudhah dan Fauziah. Masing-masing turut meluahkan kekaguman kerana dipertemukan pada majlis ringkas dan penuh bermakna itu.
Bagi Fouziah, sememangnya kesempatan diganding bersama Normala dalam sesi fotografi itu satu penghormatan buatnya yang cukup mengagumi idola ramai wanita muda dalam bidang penyiaran.
"Pada saya Datin Normala seorang yang cantik, peramah dan mempunyai pesona tersendiri. Saya juga cukup kagum dengan penampilannya ketika menonton rancangan TV3 beberapa tahun lalu. Ternyata dia mempunyai tarikan tersendiri berbanding selebriti televisyen lain," katanya.
Fouziah yang tampil bergaya dengan rekaan Wan Huzairil mengakui, biarpun masih penat kerana terikat dengan jadual penggambaran, kesempatan menghadiri majlis itu cukup bermakna buatnya apatah lagi Rafflesia sentiasa memberi sokongan kepada golongan selebriti pada majlis tertentu.
Rakan seangkatan, Ayu Raudah pula berkata, selain merapatkan hubungan antara selebriti majlis berkenaan juga dapat memberi informasi kepada semua mengenai rekaan fesyen dan perhiasan terbaru.
"Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai Datin Normala menerusi televisyen. Bagaimanapun kesempatan ini membuatkan saya teruja dan bangga kerana dapat bertemu dengan antara selebriti televisyen yang boleh dijadikan contoh oleh masyarakat," kata Ayu yang hadir bersama kakaknya, Rozita tampil berseri dengan rekaan Kelvin Thoo.
Manakala Rozita juga kagum dengan penampilan dan perwatakan Normala yang peramah walaupun sebelum ini pernah berstatus isteri menteri. Malah dia sangat berbesar hati kerana diberi kesempatan menjayakan sesi fotografi berkenaan.
Perhiasan mutiara Rafflesia cukup sinonim dengan gemerlapan sinar cahaya dan glamor. Tentunya kehadiran selebriti popular pada majlis itu membuatkan majlis tambah berseri dan meriah.
Ning hadir bersama suami, Omar Shariff begitu juga Anita ditemani Mahathir Abdullah. Turut sama, Pengarah Urusan Casa Impian, Datin Noorlinda Abd Talib dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.
Sementara itu, Pengarah Jewellery Circles serta Rafflesia, Winnie Sin berkata, pihaknya sentiasa merangka beberapa strategi dan memperbanyakkan promosi untuk mengukuhkan jenama barangan itu.
"Ini sebahagian daripada pertunjukan untuk mempromosikan set mutiara terbaru di samping rekaan terkini pereka fesyen yang sering bekerjasama dengan kami, Melvin Lam. Menerusi majlis ini, kami mempamerkan beberapa koleksi eksklusif kepada tetamu yang hadir.
"Majlis ini juga sebagai penghargaan kepada pelanggan dan mereka yang menyokong dalam memastikan jenama kami terus kukuh di pasaran. Majlis ringkas ini mendapat maklum balas yang baik daripada rakan-rakan, selebriti dan keluarga.
"Ini kali pertama kami menganjurkan majlis di sini, jadi kami mahu menjadikan ia cukup bermakna kepada semua yang hadir. Pada masa sama, majlis ini turut meraikan hari lahir Melvin pada 17 Mei.
"Malah secara kebetulan pula hari lahir saya juga selang beberapa hari iaitu 20 Mei, jadi kami menggunakan kesempatan ini untuk meraikan hari jadi sempena majlis ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: