![]() |
| GAYA Ayati Tasrip ketika menempa era popularitinya. |
WALAUPUN namanya tidak segah penyanyi irama Malaysia yang lain, tetapi bakat dan kebolehan Ayati Tasrip dalam menyanyikan lagu-lagu irama demikian memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Dengan lagu popularnya Khazanah Dari Malaya, Ayati Tasrip ,49, bukan sahaja telah mencipta populariti sendiri.
Bahkan, populariti lagu itu juga telah membawa Ayati menghiburkan masyarakat di luar Malaysia.
"Saya tidak menyangka lagu tersebut mendapat sambutan daripada para peminat. Bukan itu sahaja malah kerana lagu itu jugalah orang mula mengenali Ayati Tasrip," cerita penyanyi itu ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Ayati, meskipun album Di Mata Cinta ciptaan A. Ali dengan lirik Wan Zul diterbitkan pada tahun 1990, namun Khazanah Dari Malaya yang diterbitkan pada tahun 1995 lebih membawa tuah buatnya.
"Bayangkan dengan lagu itu, barulah nama saya dikenali. Dengan lagu itu jugalah saya berpeluang menyanyi hingga ke Pakistan, China dan Indonesia," kata Ayati.
Berkat tuah dan rahmat lagu itu, Ayati dibawa merantau ke negara-negara berkenaan oleh Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sempena Festival Makanan Malaysia di Pakistan (1996) dan di Beijing, China (1998).
Sementara pada tahun 1999 pula, di bawah program negara berkembar Selangor dan Malang, Surabaya, Indonesia Ayati diundang menyanyi di sana.
"Peluang saya ke sana memang menyeronokkan. Di samping memperkenalkan Malaysia, ia secara tidak langsung juga memperkenalkan lagu-lagu asli, joget dan diri saya sendiri.
"Bukan setakat itu, saya juga mengikuti rombongan kebudayaan di bawah Lembaga Penggalakan Pelancongan dan mengadakan persembahan di Brunei Darussalam sempena 31 Ogos pada 2006.
Khazanah Dari Malaya
"Semua peluang yang saya peroleh hanya kerana populariti lagu Khazanah Dari Malaya. Walaupun ada yang memandang rendah pada lagu itu, tapi saya bangga kerana ia merupakan jambatan populariti saya," cerita Ayati dengan bangga sambil tersenyum mengimbau masa silam itu.
Selepas album yang diterbitkan SCS Record, Ayati muncul dengan beberapa buah album antaranya 500 Dangdut pada tahun 2000 bersama penyanyi Adila, Wann, Syikin dan Maslina.
Album terbitan Rock Record itu mengabadikan dua lagu dangdut popular nyanyian Ayati iaitu Tidak Tahan dan Cubit-Cubitan.
Kemudian pada tahun 2002, Ayati muncul sebagai penyanyi undangan dalam album duet Datuk Ahmad Jais dengan menyanyikan enam buah lagu bersama.
Daripada lagu-lagu berkenaan, lagu Tarik Tali merupakan lagu yang kembali mempopularkan dua penyanyi tersebut.
Menyusul selepas itu, Ayati yang bermula sebagai penyanyi ghazal dan sering mengikut Grup Ghazal pimpinan Allahyarham Fadzil Ahmad berehat seketika dari bidang rakaman.
Bagaimanapun, lantaran didorong oleh minat dan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya, Ayati membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya seninya dengan memenuhi undangan persembahan pentas.
"Setiap kali muncul bertemu peminat, mereka sering bertanya pada saya bila mahu terbitkan album baru. Kerana itu, terbit rasa rindu pada bidang rakaman dan membuatkan saya terfikir ke arah itu.
"Bagi saya, ingatan peminat terhadap saya merupakan petanda bahawa kehadiran saya masih diterima," katanya dengan hati penuh berbunga.
Beritik tolak daripada situ juga, Ayati dan suaminya, Zulkefly Halim, 50, mengasaskan syarikat produksi, Zulayat Enterprise.
Usaha mereka memperlihatkan hasil apabila Ayati muncul dengan single Teman ciptaan Umarul Iklim yang menampilkan muzik yang lebih segar dan sesuai untuk semua peminat.
Penghasilan single berkenaan benar-benar menggembirakan Ayati yang juga ibu kepada ibu kepada empat cahaya mata, Mohd. Fazli, 24, Mohd. Faizal, 21, Siti Nurfazlina, 19, dan Siti Nordalila, 14.
Album single yang diterbitkan dengan kos RM3,000 itu diharap menjadi kesinambungan populariti dan minat Ayati dalam bidang seni suara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: