
KUALA TERENGGANU - Tidak serik-serik walaupun sudah enam kali ditahan polis atas kesalahan sama memproses dan mengedar air daun ketum.
Demikianlah kisah seorang lelaki berusia 44 tahun yang ditahan lagi di rumahnya di Kampung Jelapang, Sungai Lerek di Setiu pada pukul 3.15 petang kelmarin.
Bagaimanapun, serbuan kali ini amat mengejutkan apabila kegiatan lelaki tersebut turut dibantu oleh anak lelaki dan isteri suspek yang berusia 25 serta 39 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, ketika serbuan, tiga beranak itu sedang memproses air ketum dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah tegar di kampungnya.
"Suspek sama pernah ditahan enam kali sebelum ini iaitu kes pertama telah dijatuhi hukuman, dua kes masih dalam proses mahkamah dan tiga kes lagi di peringkat siasatan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis menjumpai 96 paket plastik lut sinar kecil yang berisi cecair kehijauan disyaki air daun ketum disimpan dalam peti ais besar di dapur rumah itu.
Selain itu, turut dirampas 48 liter air ketum, satu dapur, dua buah tong gas, satu mesin pengisar dan satu alat penimbang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: