
![]() |
| |
![]() |
| MUHD. KAMARULZAMAN TAIB memegang peranan sebagai Memanda Bijaksana. |
![]() |
| ZIZI ingin memperkenalkan dengan lebih luas tentang Mak Yong. |
WAJAH pemilik nama penuh Zamzuriah Zahari atau disapa sebagai Zam di luarnya nampak tenang sekali. Tiada sebarang kelainan apatah lagi keistimewaan andai ingin dibandingkan dengan raut muka wanita lain.
Namun jangan mudah membuat sebarang andaian awal sebelum mendasari jiwa wanita yang berusia 27 tahun itu.
Apabila dia berbicara terutama membincangkan hal yang berkaitan seni budayanya iaitu Mak Yong, watak Zam pantas berubah sekali gus memperlihatkan kredibilitinya yang tidak banyak ada dalam diri wanita lain.
Impiannya untuk bergelar anak seni bukanlah sembarangan malah jauh sekali mahukan glamor yang tiada bertepi. Zam sebaliknya didorongi oleh cita-cita tinggi melangit untuk memartabatkan budaya pusaka peninggalan orang-orang lama agar ia tidak mati tanpa nisan.
Menurut Zam yang kini bertugas sebagai pensyarah tari sepenuh masa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), minatnya terhadap Mak Yong bercambah sejak sedekad yang lalu.
"Minat terhadap Mak Yong muncul dengan sendiri apatah lagi saya merupakan anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan.
"Semua bermula apabila saya melanjutkan pelajaran dalam peringkat Diploma Seni Tari di Aswara pada tahun 2004.
"Sejak itu saya mula mengkaji dengan lebih mendalam terhadap asal-usul Mak Yong yang hampir dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda.
"Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun 2008 dengan mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Drama.
"Kini saya masih lagi belajar banyak perkara baru tentang Mak Yong. Tempoh selama 10 tahun masih belum mencukupi untuk saya mendalami Mak Yong," katanya ketika ditemui di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Kuala Lumpur Rabu lalu.
Menjelaskan keunikan Mak Yong Zam berkata, ia merupakan suatu bentuk drama tari Melayu yang bersifat tradisional.
"Mak Yong menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan, tarian, muzik, vokal, instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal serta bersahaja.
"Ia juga ditonjolkan sebagai hiburan dan tidak terkecuali dalam upacara perubatan.
"Mak Yong dipersembahkan sebagai pementasan Diraja dan tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan keistimewaannya seperti pakaian yang berhias cantik.
"Ada sesetengah pihak yang beranggapan Mak Yong mengamalkan elemen spiritual bagi menyembuhkan satu-satu penyakit yang berkaitan emosi manusia yang tidak stabil.
"Hakikatnya Mak Yong tidak membuatkan si pengamalnya menjadi khurafat atau terpesong daripada akidah Islam. Ia sebaliknya bergantung kepada individu yang menjiwai Mak Yong ini sendiri.
"Pada pandangan saya kalau kita sudah mampu melampiaskan emosi semasa melakonkan tarian Mak Yong maka pergerakan yang dilakukan muncul dengan ikhlas melalui luahan dalaman.
"Ada juga teman-teman terdekat dan pelajar saya yang mengatakan saya juga seolah-olah pernah terkena rasukan Mak Yong semasa menonjolkan tarian ini tetapi saya tidak percaya kepada perkara yang mampu menggugat keimanan ini.
"Apabila kita sudah berada dalam emosi Mak Yong lantas segala pergerakan dan mimik muka bersatu menjadi lebih bernyawa.
"Ia tidak melibatkan sebarang pemujaan atau bacaan yang mampu membuatkan saya berada dalam keadaan di luar kawalan," ulas Zam panjang lebar sambil memperbetulkan tanggapan negatif sesetengah pihak yang bersikap skeptikal terhadap Mak Yong.
Pikul dua tugas serentak
Zam yang pernah menerima Anugerah Seni Kebangsaan dalam kategori Anugerah Bakat Muda Seni Tari pada tahun 2006 kini sedang sibuk melibatkan diri dalam teater Mak Yong Titis Sakti yang diadaptasikan menerusi karya William Shakespear, A Midsummer Night's Dream.
Zam bukan sahaja bertindak selaku pelakon sebaliknya dia juga memikul tanggungjawab berat dengan menyusun koreografi Mak Yong untuk teater yang bakal dipentaskan kepada orang ramai pada 3 hingga 7 Jun nanti.
Tidak dinafikan, memikul dua tanggungjawab dalam waktu sama bukanlah menjadi perkara mudah kepada Zam. Biarpun sarat dengan pengalaman dalam Mak Yong namun ia tetap memberi cabaran terhebat kepada empunya diri untuk menyelenggara misinya.
Zam memberitahu, dia membawakan watak Raja Dewa Kayangan atau Pak Yong dalam karya Mak Yong Titis Sakti yang akan bertandang di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Kuala Lumpur.
"Watak ini menonjolkan saya sebagai Pak Yong yang berasal dari kayangan dan mempunyai kuasa merangkumi raja di kayangan dan di bumi.
"Saya ada dua pembantu iaitu Peran Tua yang dilakonkan oleh Asrulfaizal dan Peran Muda (Rosdeen Suboh) serta dianugerahkan kuasa keseluruhan yang membolehkan dirinya terbang, ghaib dan mampu memandang perkara yang bakal atau selepas terjadi.
"Menariknya tentang Mak Yong Titis Sakti apabila saya kena meluahkan skrip dengan cara yang berlainan berbanding perbualan seharian.
"Ia nampak mudah secara luaran tetapi penyebutan dialog ini memang sukar walaupun saya sendiri berasal dari Kelantan," terang Zam lebih lanjut.

Berbicara tugasannya pula sebagai pakar koreografi Zam dan pada waktu sama harus melakonkan watak sebagai Raja Dewa Kayangan, dia berdepan dengan sedikit masalah kecil pada awalnya.
"Untuk mengajar langkah dan tari Mak Yong dan melakonkan babak Pak Yong dalam satu-satu masa bukanlah perkara yang menyenangkan.
"Masalahnya saya terlalu sibuk untuk mengajar pelakon lain menari Mak Yong sehingga ada waktunya saya sendiri terleka untuk buat latihan watak Pak Yong.
"Nasib baiklah saya selalu tersedar tentang situasi ini. Alhamdulillah, secara tidak langsung ia memberi kesedaran kepada saya untuk seimbangkan dua tugas ini serentak," jelasnya bersungguh-sungguh.
Terharu dapat kepercayaan Zizi
Selama ini Zam hanya mendengar nama Norzizi Zulkifli atau Zizi yang diakui turut memperjuangkan kebudayaan yang diwarisi nenek moyangnya sejak berkurun lama.
Angan-angan Zam untuk bekerjasama dengan Zizi akhirnya menjadi kenyataan apabila suatu hari wanita itu memohon bantuannya untuk melunaskan perjalanan Mak Yong Titis Sakti.

Gembira tidak terkata. Zam lekas bersetuju tanpa berfikir panjang lagi apabila meraih peluang keemasan itu. Kini impian Zam bukan lagi ibarat angan-angan kosong yang tiada ertinya.
"Sudah lama saya bercita-cita untuk kerja dengan Zizi. Saya tahu dia juga minat Mak Yong dan dianggap sebagai salah seorang anak seni yang berbakat di negara ini.
"Saya selalu berhubung dengan Zizi yang biasanya akan meminjam kostum Mak Yong daripada saya. Ada jugalah saya tertanya-tanya bila agaknya dia akan mengajak saya untuk terlibat dengan karyanya.
"Pada awal tahun ini, dia ada meminta bantuan daripada saya untuk membacakan skrip yang dihasilkannya bersama Nan Megat berkaitan Mak Yong.
"Akhirnya barulah Zizi mengetahui bahawa saya merupakan anak jati Kelantan setelah kami berborak lebih panjang. Dengan pantas dia mempelawa saya untuk berlakon dalam Mak Yong Titis Sakti.
"Selepas ditawarkan watak Raja Dewa Kayangan Zizi kemudiannya mengajak saya untuk koreograf tarian Mak Yong pula. Setiap yang berlaku ini bagaikan mimpi jadi kenyataan," akhiri Zam sambil tersenyum puas.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: