Monday, May 4, 2009

Krisis penghuni setinggan

Walaupun Afrika Selatan telah membina jutaan rumah, namun ia masih gagal menyelesaikan masalah setinggan.




ELIZABETH TOLL bertuah kerana berpeluang menikmati panorama indah dari kediamannya. Namun, apabila matahari mula terbenam di balik gunung, dia mula menggigil kesejukan di dalam pondok kayu kecil yang didiaminya. Tiupan angin kuat bagai mahu menerbangkan atap besinya.

Banyak lagi pondok-pondok yang tidak seimbang membelakangi gunung. Gunung itu terletak tidak jauh dari pusat pelancongan terkenal di luar Cape Town, Afrika Selatan.

Wanita berusia 49 tahun itu telah tinggal di tanah yang pernah mencetuskan polemik selama 15 tahun. Dia pernah berjuang secara sah daripada dihalau dari situ. Kini, dia terus menunggu dan menunggu sebuah rumah daripada kerajaan.

"Saya telah memohon sejak sekian lama, tapi tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Saya belum berputus asa," katanya terbatuk-batuk kesejukan sambil memegang sehelai salinan rujukan permohonan rumah.

Toll merupakan salah seorang daripada berjuta rakyat Afrika Selatan yang masih tinggal di dalam pondok. Walaupun kerajaan telah membina jutaan rumah sejak berakhirnya era aparteid, namun kawasan perkampungan melarat terus berkembang.

Di bawah sistem aparteid, rakyat kulit hitam dipaksa tinggal di pinggir bandar. Di situlah masyarakat setinggan yang miskin berkembang.

Kailash Bhana, Ketua Eksekutif Kumpulan Tindakan Pembangunan (DAG), iaitu sebuah kumpulan perunding rumah berkata, walaupun kerajaan membina 2.8 juta buah rumah yang impresif dalam tempoh 15 tahun ini, situasinya sehingga kini masih dahsyat.

"Secara keseluruhannya, dari segi angka, kerajaan Afrika Selatan telah melaksanakan tanggungjawabnya. Hanya kualiti rumah dan akses kepada perkhidmatan yang dipersoalkan," katanya.

Ramai pengkritik berpendapat, skim perumahan kerajaan sebenarnya telah memperkukuhkan lagi perancangan urban era sistem aparteid, sekali gus membuatkan si miskin di tanah murah terus tinggal dalam rumah yang menakutkan berbanding pejabat, sekolah, pusat penjagaan kesihatan dan perkhidmatan yang lain.

Moegsien Hendricks, pengurus program kumpulan itu, memberi amaran Afrika Selatan boleh berdepan dengan krisis setinggan gergasi seperti India dan Amerika Latin.

"Setiap bukti seolah-olah mencadangkan kami sedang menuju ke arah setinggan mega," katanya.

Itumeleng Kotsoane, Pengarah Besar Jabatan Perumahan Afrika memberitahu, hanya 1.1 juta keluarga Afrika Selatan kini masih tinggal dalam pondok.
NASIB 1.1 juta keluarga di Afrika Selatan masih samar-samar sama ada mereka akan mendapat rumah yang selesa atau terpaksa terus tinggal di kawasan setinggan.


Bagaimanapun, perangkaan DAG menunjukkan pada masa yang sama, 200,000 isi rumah kehilangan pekerjaan setiap tahun.

Kotsoane mengakui bahawa cita-cita kerajaan mahu membina sejuta rumah dalam tempoh lima tahun menyebabkan kerja-kerja pembinaan akhirnya kurang baik dan kurang terancang.

"Sebelum ini, kami hanya melihat pada angka, sekarang kami melihat pada peluang perumahan," beritahunya sambil menerangkan polisi telah berubah bagi mencipta kawasan kejiranan yang lebih baik.

Kenaikan harga hartanah merupakan salah satu cabaran utama, sehingga para guru dan jururawat terpaksa tinggal dalam penempatan tidak formal kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyewa rumah berhampiran bandar.

"Walaupun berlaku campur tangan pihak berkuasa negeri, ia belum tentu dapat menyelesaikan masalah itu," katanya.

Kira-kira 40 kilometer di luar Cape Town, terdapat sebuah penempatan berdebu yang dihuni oleh sebuah komuniti kecil. Mitchells Plain tinggal di dalam rumah yang dicat terang dengan warna merah, merah jambu, kuning dan biru selepas 17 tahun tersenarai menunggu untuk mendapatkan sebuah rumah.

Tetapi, bilangan mereka yang berpeleseran dalam panas terik pada siang hari menunjukkan tahap pengangguran yang tinggi. Kebanyakannya tidak mampu membayar tambang teksi 15 rand (RM5.80) ke bandar untuk mencari kerja.

Grafiti berupa makian tercoret di dinding-dinding pusat komuniti. Kecurian berleluasa dan ibu-ibu tunggal sehingga tujuh anak tinggal dengan saraan sendiri tanpa sebarang pendapatan.

"Skim perumahan Afrika Selatan juga tidak dapat membantu. Kehidupan rakyat lebih penting daripada perumahan," kata Aaron Hobongwana, seorang pakar pembangunan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: