Tuesday, May 26, 2009

Kes cerai Nash: Saya lepaskan dia, bukti saya tidak zalim!

PETALING JAYA: Bekas vokalis Lefthanded, Nasharuddin atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias sudah boleh menghela nafas lega sekarang kerana segala urusan perceraiannya dengan bekas isteri, Sosilawati Lawiya berakhir dengan aman pagi tadi.

Bertempat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, tepat jam 11 pagi Nash telah melafazkan cerai talak satu kepada jutawan produk kecantikan, Sosilawati.

Lafaz cerai itu dilakukan dengan kebenaran mahkamah di hadapan hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Wan Mahyuddin Wan Muhammad setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik.

Sebelum lafaz cerai, Sosilawati memohon diberi peluang untuk memohon maaf kepada suaminya.

Mahkamah juga merekodkan persetujuan bahawa Sosilawati selaku plaintif memberi aku janji dan bersetuju menggugurkan semua permohonan beliau berkaitan nafkah idah, mutaah dan apa juga tuntutan lain bersangkutan nafkah tertunggak dan hutang yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah.

Pasangan itu berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat Johor.

"Saya berasa syukur sangat kerana kesudahannya berakhir dengan aman. Saya harap selepas ini tidak ada lagi dakwa-dakwa lagi. Itu yang dia nak (cerai) dan saya sudahpun beri," kata Nash ketika dihubungi sebentar tadi.

Sambungnya lagi, "Ini membuktikan yang saya tidak zalim. Sebelum ini dia pernah mengemukakan permohonan yang saya sudah lafazkan cerai dan kemudian dia ada buat permohonan 'cerai taklik.'

"Tapi kedua-dua itu saya tidak bersabit salah. Ini juga membuktikan yang saya bukan jenis suami macam tu. Saya hanya ingin tuntut hak saya sebagai lelaki dan suami, juga membetulkan segala tohmahan yang dilemparkan pada saya selama ini. Macam-macam orang tohmah saya. Kata saya gila harta, gila duit...

"Saya harap selepas ini tiada tuntutan atau bersangkutan lagi. Saya doakan agar dia bahagia. Insya Allah, saya akan buat doa kesyukuran selepas ini. Tunggulah...," kata duda popular ini.

Meskipun sudah dua kali kecundang, Nash tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku. Pintu hati Nash masih terbuka untuk berkahwin lagi.

"Saya akan mencari wanita yang sederhana. Kalau dulu, kedua-dua bekas isteri saya suka sangatkan saya bagai nak rak. Biarlah kali ini terbalik pula...," Nash berkata dalam senda tapi penuh makna.

Bagi Nash, ikatan perkahwinan bukan sekadar satu tuntutan melepaskan nafsu.

"Saya bukan kahwin untuk seks tapi untuk companion. Bila anak-anak sudah besar, kita akan kesunyian. Tambah pula kalau kita lihat orang lain berpasangan. Makan minum, sakit pening ada yang menjaga. Itu yang saya inginkan," jelas ayah tunggal kepada empat orang anak ini.

Nash juga akur dan redha, segala ketentuan datang dariNya.

"Saya redha pasangan saya sebelum ini dan menganggap semuanya bersifat sementara. Sebagai lelaki tulin saya terima siapapun jodoh yang Allah sudah tetapkan. Tapi yang saya cari kini biarlah wanita itu berhemah," kata Nash yang kini menetap di Shah Alam.

"Saya sudah dapat wanita biasa dan wanita yang berduit. Kali ini biarlah yang sederhana dan berhemah. Yang penting dia mesti beriman, menghormati suami dan mampu tunaikan tanggungjawab sebagai isteri," kata Nash yang kini sedang aktif berlakon semula.

Drama terbaru lakonannya yang kini sedang dalam pengambaran ialah "Suamiku dari seberang, kekasihku...." di bawah pengarah Yusof Wahab dan bergandingan dengan Rosnah Mat Aris dan Liza Abdullah.

"Watak saya sebagai lelaki Indonesia bernama Hariyanto, seorang supir yang bercinta dengan tiga wanita sekali gus. Salah seorang darinya ialah wanita dangdut," kata Nash yang mulakan karier lakonannya dalam filem Memori pada tahun 1997 bersama Ogy Ahmad Daud.

Tawaran berlakon agak lebat dewasa ini buat Nash dan rasa terharu kerana masih ada yang berminat untuk memberinya peluang.

Setelah selesai pengambaran drama ini, Nash akan berlakon dalam telemovie bertajuk 'Poco-poco' diikuti dengan drama 20 episod.

"Semua ini rezeki anak-anak. Saya bersyukur sangat apa yang saya peroleh sekarang," kata Nash menamatkan perbualan petang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: