
KEPALA BATAS – Bagaikan berada di negara paling mundur di dunia. Bayangkan apa perasaan anda ketika saat menghadapi ‘waktu kecemasan’ untuk membuang air besar atau kecil, anda dapati keadaan tandas yang dimasuki terlalu kotor dan menjijikkan.
Sudah pasti anda tidak sanggup memasukinya sebaliknya menangguhkan sahaja hasrat untuk melepas hajat itu.
Begitulah yang dirasai oleh orang ramai setiap kali mengunjungi tandas di perhentian bas dan teksi Kepala Batas berhadapan Hotel Seri Malaysia di sini.
Tinjauan Kosmo! di tandas berkenaan semalam mendapati bukan sahaja lantai yang kotor, malah keadaan kedua-dua tandas lelaki dan wanita di situ juga memualkan sesiapa sahaja yang memasukinya.
Memburukkan keadaan, tandas yang terlalu kotor dan berdaki di sana-sini itu kini telah dijadikan tempat menyimpan pelbagai peralatan milik pekerja pembersihan di situ.
Tandas itu menjadi sedemikian rupa kerana sikap si pengotor dan kegagalan pihak berkenaan menguruskannya dengan baik.
Menurut seorang peniaga berhampiran stesen bas tersebut, Rokiah Abu Taib, 27, tandas di perhentian bas itu tidak boleh digunakan sejak tiga tahun lalu memandangkan keadaannya yang tidak terjaga dan terlalu kotor.
“Kami sebenarnya tidak tahu di bawah jagaan siapakah tandas tersebut. Memang ramai pengguna perhentian bas bertanyakan saya untuk tumpang guna tandas di kedai saya kerana tandas yang ada di perhentian tersebut kotor sangat,’’ katanya.
Seorang pengguna, Nor Aida Hassan, 19, pula berkata, dia pernah ke situ untuk menggunakan tandas tetapi tidak sanggup berada di situ kerana keadaan di dalamnya terlalu kotor dan berbau busuk.
“Tandas di sini berbau busuk serta hancing dengan najis yang kering dan basah bersepah-sepah. Walaupun ia tidak dapat digunakan, namun mungkin ada orang yang terdesak tetap menggunakannya dan ia ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: