Monday, May 25, 2009

Jenama paling laris

Jenama Singer dan mesin jahit tidak boleh dipisahkan. Kerana itulah walaupun terdapat pelbagai jenama lain di pasaran, sebanyak 51 peratus pasaran mesin jahit di negara ini dikuasai oleh Singer.




“KETIKA anda melangkah keluar dari rumah, pernahkah anda terfikir tentang pakaian yang dijahit yang menutupi tubuh anda. Pernahkah juga anda terfikir betapa pentingnya ciptaan mesin jahit,” soal Lim Cheng Hoe.

Kenyataan beliau dipersetujui oleh Pengurus Besar Singer (M) Sdn. Bhd., Ng John Kit yang mencelah: “Sebelum anda meneka, saya ingin beritahu bahawa terdapat baju yang dibeli pada harga beribu-ribu ringgit dihasilkan oleh mesin jahit Singer.”

Wacoal, umpamanya adalah contoh pakaian dalam wanita yang bergantung pada teknologi Singer. Ini tidak termasuk penghasilan jean, tapak dalam kasut, kasut kanvas, sarung bantal dan banyak lagi.

Keperluan mesin jahit hanya wujud setelah berlaku revolusi ke atas penggunaan tulang dan bulu haiwan sebagai alat menjahit kira-kira 20,000 tahun lalu. Pada tahun 1790, sebuah mesin jahit ringkas dicipta di Eropah. Mesin jahit praktikal yang agak primitif pula menyusul sekitar tahun 1830.


SEORANG cikgu kelas jahitan Singer, Doreen, menampilkan kehebatan skil menjahit secara kreatif dengan mesin jahit terbaru Singer.


Dalam satu ucapan, Mahatma Gandhi, pejuang kemerdekaan India yang disegani, pernah berkata, bahawa ‘mesin jahit merupakan salah satu ciptaan yang paling berguna kepada umat manusia’.

Singer ‘lahir’ pada tahun 1850 apabila Isaac Meritt Singer membangunkan mesin jahit praktikal lock stitch di sebuah kedai di Boston, Amerika Syarikat.

Berusia hampir 160 tahun, Singer melakar beberapa sejarah penting di negara asalnya. Tahun 1853 menyaksikan penubuhan kilang Singer di New York dengan penjualan mesin pertama pada harga RM352 (AS$100). Pada tahun 1855, Singer memenangi tempat teratas di World’s Fair di Paris, Perancis.

Sejarah paling manis berlaku pada tahun 1856 yang mana skim atau rancangan pembelian secara bulanan diperkenalkan buat pertama kali kepada mereka yang berpendapatan rendah. Dari sinilah bermulanya era penjualan barangan dengan pembayaran secara ansuran oleh Singer dan syarikat-syarikat lain yang menyusul mengamalkan idea tersebut.

“Di Malaysia, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup setiap isi rumah, Singer bertindak menjadi instrumen penting untuk membangunkan negara secara menyeluruh.

“Singer adalah jenama elektronik yang pertama mengimport televisyen warna di negara ini,” ujar John yang menjelaskan kesungguhan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi mendekati masyarakat di luar bandar.

Selama bertahun-tahun, cawangan dan kedai francais menghampiri rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki kesenangan hidup melalui skim pembayaran mudah dan fleksibel yang meliputi tempoh bayaran antara tiga hingga 48 bulan.


HIASAN ini direka secara automatik sebaik sahaja anda memilih corak yang dikehendaki.


Program Sendaloka Bersama Singer juga menyumbang kepada popularitinya. Sebab itulah, tidak hairan hampir sejuta rakyat Malaysia telah menikmati faedah pembayaran seperti ini.

Pada awal milenium ini, Singer juga menganjurkan pertandingan menjahit peringkat antarabangsa. Ini diikuti dengan sambutan ulang tahun Singer yang ke-100 di Malaysia pada tahun 2006. Sebuah mesin Centennial edisi terhad dikeluarkan dalam jumlah 1,000 unit di seluruh dunia.

Dipasarkan pada harga RM1,388, sebanyak RM500 daripada setiap jualan unit didermakan kepada Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Persatuan Kanser Malaysia, Persatuan Diabetes Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan Pertubuhan Kiwanis Down Sindrom.


TEROKAI kreativiti rekaan anak patung untuk anak perempuan anda.


Pada tahun sebelumnya, selimut berukuran 25 x 25.2 meter dengan 10,200 jahitan tampal hias dihasilkan sekali gus layak untuk dianugerahi gelaran Selimut Terbesar daripada Malaysia Book of Records (MBR). Selimut itu adalah 70 kali ganda lebih besar daripada rekod terdahulu.

Dengan kekuatan sebanyak 3,000 jurujual yang setia memperkukuhkan lagi strategi penjenamaan semula Singer pada tahun lalu, ia memanfaatkan infrastruktur sedia ada termasuk mempelbagaikan aktiviti bersifat kemasyarakatan.

Walaupun terdapat pelbagai jenama mesin jahit antarabangsa, Singer tetap menawan 51 peratus pasaran Malaysia dan muncul sebagai peneraju pengeluaran mesin jahit. Terbaru, ia terjun ke dunia penjualan skrin televisyen LCD.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: