Saturday, May 9, 2009

Ibu idola kami

Setiap individu punya cara tersendiri menghargai kasih sayang ibu mereka, bagaimana dengan para selebriti ini?

ESOK, merupakan hari istimewa buat wanita yang bergelar ibu, mama, emak, mummy, umi atau apa sahaja panggilan yang dipanggil oleh anak-anak. Biarpun berbeza panggilan, tetapi peranan dan tanggungjawab yang dipikul tetap sama.

Proses mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak ditunaikan sebaik mungkin.

Semuanya dilakukan bagi memastikan anak-anak menjadi individu berguna pada keluarga, negara, bangsa dan agama.

"Mama adalah segala-galanya buat saya. Sejak dilahirkan sehinggalah apa yang dikecapi pada hari ini semuanya dibantu dan mendapat dorongan daripada mama.

"Biar sesibuk mana sekalipun dengan aktiviti harian dan kelab yang disertainya, mama sentiasa memastikan kebajikan rumah tangganya diselesaikan terlebih dahulu," jelas penyanyi Bila Rindu, Gadaffi Ismail Sabri, 21, atau Dafi mengenai ibunya, Muhaini Zainal Abidin yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.


DAFI banyak belajar erti kesabaran daripada mamanya, Muhaini Zainal Abidin.


Bahkan, personaliti ibunya yang sabar, berbudi bahasa dan bertutur secara lembut dengan anak-anak cukup menyenangkan hati Dafi dan tiga adik-beradiknya yang lain.

Belajar daripada sikap ibunya itu, bekas pelajar Akademi Fantasia 5 (AF5) tersebut menjadi seorang yang sabar dan menghormati orang lain tanpa mengira umur, darjat dan bangsa.

"Pernah sebelum ini saya bercakap kasar dan marah-marah, tetapi mama dengan tenang menyarankan saya supaya bercakap lembut. Tidak rugi mengamalkan sikap sedemikian, malah ia membuatkan kita dihormati.

"Menariknya tentang mama, dia tidak pernah membezakan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak. Walaupun sudah meningkat dewasa, mama tetap menegur kesalahan yang kami lakukan," jelas anak kedua daripada empat beradik ini.

Bercerita mengenai sambutan Hari Ibu, Dafi dan adik-beradiknya kerap berkongsi wang membelikan hadiah dan kad ucapan.

"Kami pernah menghadiahkan mama tas tangan, pen, kasut, baju dan banyak lagi. Mama begitu menghargai pemberian kami kerana kebanyakan hadiah yang diterima masih disimpan rapi, khususnya kad ucapan," tambah Dafi yang pernah menuntut di Sekolah Menengah Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyampai radio Sinar FM, Roslindah Onn atau Linda Onn, melahirkan rasa gembira setiap kali menjelang Hari Ibu.

Pada hari istimewa itulah, Linda akan membelikan hadiah dan melayan ibunya, Saadiah Khamis, 67, bak tuan puteri.

"Lagipun ibu saya sudah sedia maklum bahawa dia akan menerima hadiah istimewa daripada keempat-empat anaknya.

"Ini kerana selain Hari Ibu, hari ulang tahun dan ulang tahun perkahwinan ayah ibu akan kami raikan," terang pengusaha restoran My Mom Chicken Rice dan My Asam Pedas Shop yang diinspirasi daripada ibu tercinta.


LINDA ONN mengagumi ketabahan ibunya Saadiah membesarkan anak-anak.


Mengimbas detik manis dan pergorbanan ibunya, luah Linda, memori tersebut tidak mampu dihuraikan satu-persatu.

Namun, kegigihan dan kecekalan hati ibunya membesarkan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah cukup mengusik jiwa.

"Bayangkan masyarakat kini yang hanya memiliki dua orang anak sudah menggunakan khidmat pembantu, tetapi ibu sebaliknya.

"Selain menguruskan suami dan anak-anak, ibu cekal berniaga makan daripada bisnes kecil-kecilan, warung, kantin dan berjaya membuka restoran," kata Linda yang tidak berkesempatan menyambut Hari Ibu kerana bertolak ke Eropah pada hari ini (Sabtu) atas urusan kerja.

Angkasawan kedua negara, Mejar Dr.Faiz Khaleed, pula memberitahu ibunya, Mazenah Mohamed, kerap memberikan pandangan positif dan risiko yang perlu dihadapi dalam sesuatu bidang yang ingin diceburinya.

"Sebagai contoh, sekiranya saya melahirkan hasrat berkecimpung dalam bidang sukan, ibu tidak akan membantah. Sebaliknya menjelaskan beberapa perkara positif mengenai dunia sukan.

"Namun, pada masa yang sama, ibu tidak lupa menerangkan beberapa risiko yang boleh timbul apabila saya melibatkan diri dalam sukan," tutur Dr. Faiz ketika dihubungi Kosmo!.

Sempena sambutan Hari Ibu, Faiz yang gemar bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama keluarga menambah pemberian hadiah mewah bukanlah keutamaan beliau.


MAZENAH MOHAMED kerap memberi pandangan positif dan kritis kepada Dr. Faiz.


Tambah abang sulung kepada Faizal dan Faira: "Apa yang penting mereka akan keluar makan bersama-sama dan cuba menghidupkan suasana harmoni dan mengucapkan terima kasih kepada ibu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: