Friday, May 1, 2009

'Hari kami dapat bercuti'

Apakah definisi Hari Buruh di kalangan rakyat Malaysia?


KEBAJIKAN pekerja harus dijaga kerana mereka adalah tonggak kejayaan sesebuah syarikat.


SETIAP hari, sebelum pukul 8 pagi Mohd. Amir Rashid sudah pun berada di pejabat. Bertugas sebagai pembantu penguat kuasa di Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Amir perlu keluar dari rumah seawal pukul 7 pagi.

Rutin kerjanya hanya akan berakhir pada pukul 5 petang, tetapi jika ada operasi tertentu, Amir akan meneruskan tugas yang diamanahkan selewat-lewatnya sehingga pukul 3 pagi.

Itulah yang dilalui pemuda berusia 26 tahun ini sejak tiga tahun lalu. Namun, apa yang pasti setiap kali tibanya 1 Mei, Amir akan berasa gembira kerana pada hari itu dia tidak perlu bekerja. Hari tersebut adalah cuti umum sempena sambutan Hari Buruh.

Bagi Amir, Hari Buruh atau Hari Pekerja sememangnya sinonim dengan golongan pekerja di seluruh dunia.

"Sebagai salah seorang daripada jutaan pekerja yang ada di Malaysia, saya menganggap tarikh 1 Mei sebagai 'hari kebesaran' bagi diri sendiri. Pada hari inilah saya rasa dihargai kerana bergelar pekerja.

"Malah, saya rasa gembira apabila mengenangkan betapa bertuahnya nasib diri berbanding ramai lagi insan di luar sana yang masih belum mendapat pekerjaan dan terpaksa menganggur. Disebabkan itulah Hari Pekerja ini amat bermakna bagi saya," jelas Amir kepada Kosmo!.

Pendapat ini diakui oleh Pengarah Cima Agro Sdn. Bhd., Mazlina Karim, seorang usahawan cendawan wanita yang berjaya.

Walaupun bergelar pengarah sebuah syarikat persendirian, namun Mazlina tetap menganggap dirinya juga seorang pekerja sama seperti kakitangannya.

"Setiap kali 1 Mei menjelma, saya tidak teragak-agak untuk memberi cuti kepada pekerja yang selama ini banyak membantu meningkatkan produksi syarikat.

"Tetapi, ada juga sesetengahnya yang tetap mahu bekerja dan saya tiada masalah membenarkannya selain membayar gaji yang lebih berbanding bekerja pada hari biasa," kata Mazlina sambil memaklumkan kesemua pekerjanya seramai 25 orang diberi kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kebajikan pekerja harus dijaga kerana mereka adalah tonggak utama kejayaan sesebuah syarikat. Jika pekerja merasakan hak mereka sentiasa terbela dan tidak diabaikan, pasti mereka lebih bersungguh-sungguh melakukan tugas yang telah dipertanggungjawabkan," tuturnya.

Sementara itu, bagi Azizul Syazwan Mohd. Jamil yang bekerja sendiri, dia juga mempunyai persepsi yang sama dengan golongan pekerja dalam sektor awam mahupun swasta.




Azizul yang menjalankan perniagaan barangan pejabat secara kecil-kecilan berkata, Hari Pekerja tetap istimewa kerana ia mengiktiraf golongan yang mempunyai kerjaya.

"Ironinya, tidak kira apa jua pekerjaan yang dilakukan sama ada kerjaya anda dalam bidang profesional atau pun sebaliknya, anda tetap seorang pekerja. Begitu juga saya. Meskipun tidak bekerja makan gaji, tetapi saya mengetahui bahawa saya juga seorang pekerja.

"Cuma, bagi saya yang bekerja sendiri, waktu cuti tidak menentu. Jika terasa hendak cuti, maka saya akan bercutilah tanpa perlu dilarang atau ditegah.

"Ini berbeza dengan mereka yang bekerja makan gaji. Jika mahu bercuti, banyak prosedur perlu dilakukan seperti mengisi borang permohonan," kata bapa kepada seorang cahaya mata.

Berlainan pula dengan Mohd. Sani Mohd. Shariff, 42. Dia hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk meraih pendapatan menyara kehidupan. Bagi Mohd. Sani sambutan Hari Pekerja tiada langsung dalam kamus hidupnya.

"Apa yang saya tahu, setiap hari saya akan lakukan kerja-kerja seperti mengambil upah memesin rumput, bercucuk tanam, menangkap ikan dan sebagainya. Jadi, setiap hari adalah hari bekerja bagi saya. Cuma, anak-anak saya yang bersekolah akan bercuti pada hari tersebut kerana sekolah ditutup sempena cuti umum," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: