Sunday, May 17, 2009

Empat tahun ‘melekat’ bau busuk ternakan babi


Dua orang penduduk Taman Chepor Impian dekat Ipoh menunjukkan kawasan ternakan babi yang menyebabkan persekitaran perumahan mereka sentiasa berbau busuk.


IPOH – Mula-mula bau busuk. diikuti pencemaran akibat kumbahan. kemudian serangan lalat.

Semua itu menjadikan kemarahan penduduk Chemor dekat sini terhadap 18 ladang ternakan babi di kawasan mereka semakin memuncak.

Bukan sehari dua kira-kira 1,500 penduduk di situ hidup dalam keadaan tidak selesa akibat ternakan itu, malah sehingga kini sudah empat tahun mereka terpaksa ‘berjiran’ dengan ladang babi yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Bertindak Memindahkan Ladang Ternakan Babi Chemor (Gabungan), Mohd. Zain Abdul Rani berkata, jarak terlalu dekat dengan ladang babi menyebabkan bau busuk seolah-olah ‘melekat’ di kawasan rumah penduduk.

“Air kumbahan yang digunakan semasa membersihkan najis babi dari ladang itu dialirkan melalui parit dan penduduk pernah mengesan najis ternakan itu masuk ke longkang bersebelahan sebuah surau di sini yang kemudian mengalir ke sungai,” katanya kepada wartawan Ronda-Ronda Kosmo! di sini semalam.

Lebih menyedihkan, ujar Mohd. Zain, terdapat sebuah daripada ladang tersebut terletak berhampiran dengan rumah kebajikan orang tua.

“Pengusaha ternakan itu pula tanpa mengambil kira sensitiviti penduduk yang 80 peratus beragama Islam kemudian membawa keluar masuk babi di atas lori tanpa penutup,” jelasnya.

Difahamkan, jumlah ternakan babi di kawasan tersebut melebihi 4,000 ekor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: