![]() |
| DRAMA Mexico, La Usurpadora merupakan antara drama alih bahasa popular satu ketika dahulu. |
Selepas setengah abad bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, rasanya sangat molek kalau hari ini kita sudah boleh menonton drama Cina dan Tamil dalam bahasa Melayu.
Sudah tiba masanya (walaupun sangat terlambat sebenarnya) penerbit drama dan stesen televisyen mengusahakan drama dalam bahasa Melayu begini. Masalah sangatkah atau sememangnya kita leka untuk memahamkan orang bahawa bahasa Melayu itu bahasa semua.
Tak realistik? Tak realistik kepada apa bendanya kalau drama Mexico boleh cakap bahasa Melayu? Inilah tahap "kelekaan" kita kalau ada stesen televisyen yang menggunakan alasan itu. Adalah stesen lebih rela menggunakan bahasa "longkang" daripada bahasa Melayu?
Cukuplah kalau ada satu dua drama sedemikian dan lain-lainnya masih menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Lagipun tak salah Wanda rasa kita menerbitkan drama Cina dan Tamil dalam bahasa Melayu. Ia adalah bahasa untuk semua bangsa di negara ini.
Lagipun, apa salahnya terbitkan drama sebegitu dalam bahasa Melayu? Bukankah lebih mudah dan senang untuk penonton menikmatinya. Satu ketika dulu, ada juga sebuah drama Cina yang penerbitannya seratus peratus dalam bahasa Melayu. Wanda dengar sambutannya memberansangkan juga.
Tapi dah lama pula drama-drama sebegitu tidak lagi disiarkan oleh stesen televisyen kita. Tak pastilah Wanda sama ada stesen yang tak mahu lagi menyiarkannya atau penerbit kita yang tak mahu membikin drama sebegitu.
Sedangkan itulah sebenarnya masyarakat yang patut kita julangkan di kaca televisyen. Semua bangsa bercakap dalam bahasa Melayu. Dengan baik dan fasih pula.
Barulah bahasa kebangsaan itu berada dalam piawaiannya sendiri. Barulah bahasa Melayu itu sendiri perkasa di buminya. Tak gitu!
Entah apa rasionalnya bahasa longkang ini kita angkat dalam drama-drama tempatan, Wanda kurang pastilah.
Mungkin itu sebahagian rasa kemodenan masyarakat kita yang menganggap bercakap dalam bahasa Melayu yang dicampur Inggeris itu lebih standard.
Mungkin nampak lebih korporat bila guna bahasa carca marba begitu. Itu keparat bukan korporat. Bukankah itu alasan pembikin drama itu sendiri apabila kita mempertikaikan relevannya mereka menggunakan bahasa Melayu-Inggeris dalam drama masing-masing.
Memanglah kalau ikutkan masyarakat kita hari ini, kita menggunapakai bahasa melayu dan Inggeris dalam percakapan sehari-hari. Tetapi bagi Wanda, kalau kita di luar ini bercakap campur Melayu-Inggeris, apa salahnya pihak penerbit drama atau filem itu sendiri memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam terbitan masing-masing. Yang penting adalah kehendak. Bak kata orang dulu-dulu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jadi, tepuk dada, tanya selera!
Wanda harap penerbit akan memberi reaksi bahawa mereka hendak menerbitkan drama berbahasa Melayu tapi stesen televisyen pilih bahasa longkang. Kalau tak ada reaksi, Wanda anggap penerbit pun dua kali lima.

Kalau filem atau drama Negro Amerika boleh dalam bahasa Inggeris Amerika, kenapa filem atau drama Cina Malaysia atau Tamil Malaysia tidak boleh berbuat demikian dalam bahasa Melayu Malaysia? Pada hal itulah sewajarnya dilakukan. Kan kita orang Malaysia. Kita bukan lagi kaum Cina negara China dan bukan juga kaum Tamil India.
ReplyDeleteRakyat Malaysia ada tanggungjawab terhadap bahasanya. Komunikasi bukan hanya sesama manusia tetapi juga dengan negara. Bahasa kebangsaan negara bahasa Melayu dan bukan sesekali bahasa longkang. Hormati bahasa kebangsaan negara. Jangan biarkan bahasa kebangsaan tergadai, tersadai dan tersidai. Sikap curang kepada bahasa sendiri inilah yang perlu ditentang habis-habisan. Syabas Wanda.
ReplyDelete