![]() |
| Yong Toe semasa memakai gogal dan selepas menanggalkannya di Mahkamah Majistret Rompin semalam. |
ROMPIN – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengedar dadah syabu seberat 978.015 kilogram di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih di sini pada 2 Mei lepas.
Lee Yong Toe, 48, dari Taman Iskandar, Johor Bahru, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 6.45 pagi bersama seorang lagi yang masih bebas.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1998 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Ema Shahriana Ali menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan berat sebenar dadah berkenaan.
Tertuduh diwakili peguam, Mas Hanida Mohamad manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud.
Tertuduh yang berpakaian lokap dengan matanya ditutup dengan sejenis gogal tiba di mahkamah pada pukul 2.45 petang dengan diiringi oleh lima buah kereta polis dan anggotanya lengkap bersenjata mesingan.
Mata tertuduh hanya dibuka sebelum dia memasuki bangunan mahkamah.
Turut mengiringi tertuduh ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan.
Tertuduh berada di bangunan mahkamah selama kira-kira sejam sebelum kesnya disebut.
Keadaan di mahkamah sepanjang kes tertuduh disebut aman.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: